Khamis, 5 April 2018

‘Raya makin dekat, dah boleh pasang pelita’

PARA penganalisis media-media arus perdana sudah memalu gendang masing-masing mengenai bila tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Majoriti daripada mereka meramalkan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja Dewan Rakyat habis bersidang pada 4 April ini atau selewat-lewatnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Jumaat ini.
Jika diteliti, ramalan mereka itu hampir tepat kerana Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifesto BN Sabtu 7 April ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam.
Jika benar Parlimen dibubarkan minggu ini, maka pilihan raya yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat jelata akan diadakan pada minggu pertama Mei.
Bahkan, kenyataan Najib yang hari ini berada dalam satu majlis di Bera, Pahang bahawa ‘raya’ semakin dekat, menguatkan lagi ramalan penganalisis media dengan klu bahawa PRU 14 hanya tinggal beberapa hari atau minggu sahaja lagi.

“… ini ertinya raya sudah dekat dan sudah boleh pasang pelita. Kalau di luar bandar, kita pasang pelita masa hendak raya atau malam tujuh likur,” katanya.
Selain Najib, kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengenai tarikh PRU 14 juga menambahkan lagi keyakinan seluruh jentera parti untuk bersiap siaga turun bertempur.
“Dewan Rakyat berkemungkinan dibubarkan pada akhir minggu ini. Perdana Menteri dijangka berbuat demikian sebelum pelancaran manifesto BN yang difahamkan di Putrajaya, manakala hari terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah 5 April,” kata Abdul Rahman.
Sekarang ini, terutama pemimpin dari BN, Pakatan Harapan (PH) mahupun Gagasan Sejahtera (GS) sedang mencongak bila tarikh PRU. Mereka dilihat seolah tidak sabar untuk ‘berperang’ menunjukkan kekuatan masing-masing.
Apa yang pasti, PRU kali ini menyaksikan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan iaitu pertandingan tiga atau empat penjuru antara BN, PH dan GS.
GS diketuai Pas bersama Parti Berjasa dan Parti Ikatan Rakyat (Ikatan), tetapi dua daripadanya hanya sekadar barang hiasan yang tersangkut di dinding atau disimpan dalam almari, tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakan kuatnya, Pas.
Parlimen Malaysia ke-13 mempunyai tempoh dua bulan 21 hari sahaja lagi untuk tamat mandat penggalnya pada 24 Jun ini.
Jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, dengan sendirinya pada 24 Jun itu Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh berkenaan.
Saya percaya, bukan sahaja pemimpin pembangkang tidak sabar, Perdana Menteri dan barisan kepemimpinan BN juga menunggu-nunggu tarikh keramat itu untuk bertarung dan membuktikan kepada rakyat bahawa BN masih diperlukan.
Kerja keras jentera BN ialah memastikan Kelantan yang dipegang oleh Pas selama hampir 28 tahun dapat dirampas kembali, selain Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh PH sejak 10 tahun lalu perlu ditukar.
Tiga negeri yang dimenangi BN, tetapi mempunyai majoriti tipis seperti Terengganu, Perak dan Pahang juga perlu diperkasakan.
Matlamat BN pada PRU 14 ini ialah menang. Menang dengan kerusi dua per tiga. Untuk mencapai tujuan itu, pucuk kepimpinan perlu melupakan seketika soal ‘kesian’ atau ‘simpati’ kepada calon yang dilihat tidak mampu menyumbangkan kemenangan.
PRU 14 bukan medan ‘tak apa kalah pun’, asalkan calon yang disayangi itu dapat bertanding. Kalah belakang kira, yang penting calon itu tidak bersedih kerana tidak dipilih.
Sikap sedemikian harus dikikis oleh pucuk pimpinan parti. Mereka harus mengambil kira aspek dan kekuatan pihak lawan yang sentiasa bersemangat untuk mengalahkan BN. – theRakyat (Siaran 2 April 2018)

Tiada ulasan: