SEMAKIN dekat dengan tarikh akhir tempoh PRU-13, semakin rancak perang kempen pilihan raya berlaku di seluruh negara.
Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri dan Ketua-Ketua Bahagian antara yang sibuk ke hulu ke hilir berjumpa rakyat.
Apa yang menarik, program mereka ini bukan datang dengan tangan kosong dan janji kosong seperti dilakukan pemimpin pembangkang, mereka ini datang dengan pelbagai peruntukan dan janji yang menjadi kenyataan.
Perdana Menteri datang berjumpa nelayan, maka jatuhlah peruntukan untuk memajukan golongan nelayan. Perdana Menteri datang jumpa belia, maka tidak sia-sia usaha untuk memperkasa belia dijanjikan.
Begitu juga bila Perdana Menteri berjumpa dengan ibu tunggal, usahawan kecil dan sederhana serta anggota keselamatan, pelbagai inisiatif dan insentif diberikan kepada golongan ini.
Pemimpin pembangkang pula apa yang mereka sediakan? Berapa peruntukan, sumbangan atau bantuan jatuh kepada golongan yang memerlukan ini?
Tidak ada. Yang ada hanyalah janji, janji dan janji. Mereka menabur janji seolah janji itu boleh ditukarkan kepada wang tunai atau barangan keperluan untuk meringankan beban rakyat.
Mereka datang dengan tangan kosong bukan kerana mereka tidak ada duit atau keupayaan, tetapi kerena kedekut untuk mengagihkan kekayaan yang dimiliki sama rata dengan rakyat.
Contoh ketara, negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang seperti Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, apa yang kerajaan dari ketiga-tiga negeri ini buat untuk kebajikan rakyatnya, sedangkan hasil masyhurnya banyak?
Sebenarnya saya bangga dan kagum dengan usaha bersungguh-sungguh pemimpin dari kerajaan BN. Mereka berkhidmat kepada rakyat tidak kira masa dan musim.
Kita tengok Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pemimpin-pemimpin BN lain, mereka bekerja siang malam sejak dulu lagi, bukan dekat PRU baharu muncul. Tidak.
Pemimpin ini bekerja siang malam termasuk pada hari minggu, di mana kebanyakan rakyat sedang berehat bersama keluarga masing-masing. Mereka pula terpaksa tinggalkan ahli keluarga tercinta demi rakyat.
Jadi, tidak ada sebab kenapa rakyat perlu tolak kerajaan BN yang ada hari ini untuk terus mentadbir kerajaan di peringkat persekutuan. Janganlah sekali-kali memperjudikan nasib kita kepada pembangkang kerana sekali terkena, susah untuk pulih.
Tengoklah apa terjadi kepada Kelantan yang 28 tahun di bawah Pas, Pulau Pinang di bawah DAP dan Selangor di bawah pentadbiran kerajaan gabungan antara PKR, DAP dan Pas. Selama lapan tahun rakyat tidak menikmati atau mengecapi pembangunan sebenar yang dibawa oleh kerajaannya.
Di Selangor, sekian lama rakyatnya dibelenggu dengan masalah ketiadaan bekalan air. Sekali gangguan bukan dua atau tiga jam, bukan juga satu atau dua hari, tetapi mengambil masa sehingga lima, enam hari.
Bayangkan rakyat Selangor menderita dengan masalah ketiadaan air. Begitu juga masalah sama dihadapi rakyat Kelantan. Dan masalah penempatan dihadapi oleh orang Melayu di Pulau Pinang.
Saya merayu, berilah undi kepada calon BN anda pada PRU-14 ini. - theRakyat (Siaran 1hb April 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan