Sabtu, 31 Mac 2018

Persempadanan semula lulus, pembangkang ke longkang

USUL kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu bersamaan 28 Mac 2018.
Undian bagi yang menyokong atau bersetuju dengan usul itu ialah 129 Ahli Parlimen, manakala tidak bersetuju seramai 80 orang, yang tentunya pembangkang dari blok Pakatan Harapan (PH).
Tidak hairan kalau usul ini mendapat bantahan keras dari puak pembangkang, sebab mana ada usul yang pembangkang setuju untuk menyokongnya.
Sejak dahulu lagi tidak ada satu pun usul dipersetujui oleh pembangkang sama ada akta baharu atau pindaan. Semuanya ditolak mereka, seolah Malaysia ini ditadbir tanpa sebarang akta atau rang undang-undang.
Dengan lulusnya persempadanan kawasan pilihan raya ini, maka PRU 14 nanti akan menyaksikan pengundi bertukar kawasan DUN atau Parlimen, termasuk perubahan nama lama kepada nama baharu.

Sungguh pun persempadanan semula ini tidak menyaksikan pertambahan kerusi DUN dan Parlimen, tetapi ada sesetengah kawasan itu bertukar daerah mengundi. Ada daerah mengundi yang sebelum ini berada dalam Parlimen A, tiba-tiba bertukar ke kawasan Parlimen B. Begitulah seterusnya.
Tetapi yang pasti kawasan Parlimen tetap kekal sebanyak 222 kerusi dan DUN sebanyak 587 kerusi.
Persoalan sekarang kenapa pembangkang melenting marah dengan persempadanan semula ini? Ada dalam kalangan mereka mendakwa, mereka telah kehilangan pengundi tegar.
Mustahil dakwaan itu. Langsung tidak masuk akal. Macam mana persempadanan semula boleh ‘menghilangkan’ atau ‘menghaibkan’ pengundi tegar pembangkang dengan sewenang-wenangnya?
Kalau pengundi itu telah ‘hilang’ dari kawasan yang dimaksudkan, mereka boleh saja berkunjung ke pejabat SPR atau pejabat Pos Malaysia yang terdekat untuk tukar alamat atau tukar tempat mengundi.
Biasanya pembangkang lebih bijak dalam hal ini, kenapa apabila tiba masa untuk usul kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya ini mereka nampak gelabah dan takut? Mereka bantah habis-habisan.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya ini bukan dibuat sesuka hati atau secara tergesa-gesa. Ia dibuat berdasarkan Perkara  113(2) Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut Perkara 113(2), SPR bertanggungjawab melakukan kajian semula persempadanan bagi Persekutuan dan negeri-negeri kepada bahagian pilihan raya di seluruh negara dalam satu tempoh tidak kurang daripada lapan tahun, yang dikira dari tarikh selesainya urusan yang sama sebelum ini.
Maknanya, setiap lapan tahun sekali SPR perlu mengadakan kerja-kerja mengukur sempadan untuk persempadanan semula.
Urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya yang pertama dijalankan oleh SPR pada tahun 1958, diikuti lapan tahun kemudian pada 1966. Ketika itu, dari 104 kerusi Parlimen dan 282 kerusi DUN kepada 100 kerusi Parlimen dan kekal 282 DUN).
Kajian semula persempadanan diteruskan lagi pada tahun 1974 melibatkan 114 Parlimen dan 312 DUN kepada 222 Parlimen dan 576 DUN pada persempadanan baharu kali terakhir pada tahun 2003.
Takkan pembangkang tidak tahu perkara itu. Sudah lama SPR tidak melakukan persempadanan semula selepas tahun 2003 dan memang wajar jika kajian semula persempadanan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan pembangkang di Malaysia ini agak ke longkang berbanding pembangkang negara lain. Pembangkang di negara luar betul-betul bertindak sebagai pembangkang yang menegur kerajaan, bukan pembangkang yang menghina dan mencaci kerajaan seperti pembangkang longkang Malaysia. – theRakyat (Siaran 30hb Mac 2018)

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran