PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah hampir tiba. Congak pergi congak mari tidak sampai satu bulan lagi.
PRU kali ini amat penting bagi UMNO kerana lawannya bukan calang-calang parti. Lawannya bukan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tahun 1990 yang menyaksikan Pas bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan bukan juga UMNO melawan Pakatan Rakyat (PR) tahun 2008 yang menggabungkan Pas, DAP dan PKR.
PRU kali ini adalah pertembungan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
UMNO tidak boleh main-main lagi, atau dengan kata lain, berasa selesa sangat dengan kejayaannya menewaskan APU dan PR pada PRU sebelum ini. Sesungguhnya pihak lawan, setiap kali kalah, bukan bermakna mereka tidak ada strategi. Bahkan, mereka akan terus menyusun strategi demi strategi untuk menang.
UMNO pula setiap kali menang dengan APU dan PR, bukan bermakna kerana parti itu kuat, tetapi disebabkan keyakinan rakyat masih teguh ketika itu, dan keyakinan boleh luntur pada bila-bila masa sahaja jika UMNO alpa, lalai dan cuai.
Kalau dalam strategi perang, pihak lawan lebih tersusun dalam serang balasnya. Mereka menyerang balas dengan beberapa penambahbaikan yang dibaiki dari kelemahan terdahulu. Sebab itu, UMNO tidak boleh memandang remeh dengan PH.
Tetapi malangnya, dalam ketika kepimpinan pusat sudah bersiap sedia menghadapi perang ke-14 ini, masih ada kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian bergolak. Mereka ini bergolak seolah tidak ada pilihan raya.
Cantas mencantas makin kuat di akar umbi. Mana-mana individu yang dilihat galak turun padang berbuat kebajikan kepada rakyat, akan dicantas sehingga jatuh. Ini semua boleh mengakibatkan berlaku perpecahan.
Kehilangan undi berlaku kerana seseorang individu itu mempunyai jentera dan pengikut masing-masing. Kalaulah seorang individu yang ada nama di sesebuah kawasan berhasrat nak menjadi calon, beliau sekurang-kurangnya mempunyai 200 hingga 500 penyokong atau pengundi.
Bayangkan kalau ada lima individu yang bukan dalam kalangan kepimpinan parti berhasrat menjadi calon, tetapi telah dicantas secara ganas atau kejam oleh jentera parti, sudah berapa ribu pengundi calon itu akan lari.
Tidakkah ini merugikan parti? Dalam keadaan yang tidak terkawal ini sepatutnya kepimpinan parti di peringkat negeri atau pusat perlu merangka sesuatu agar perkara berebut menjadi calon ini dapat dibendung.
Memang sukar untuk mengawal makhluk bernama manusia ini. Tetapi, jika dilatih dan dididik dari awal, ia tidak akan berlaku perebutan calon sepertimana berlaku setiap kali musim pilihan raya.
Kaedah mencantas calon ini dilakukan dengan pelbagai cara. Ada menggunakan risalah. Ada menggunakan duit. Ada juga menggunakan strategi keburukan calon.
Sebagai contoh di bahagian Tumpat, ketika ini tersebar satu risalah yang memaparkan 10 dalil kenapa si polan-si polan tidak layan menjadi calon. Sedangkan, si polan sudah bekerja keras menarik sokongan pengundi.
Perbuatan seumpama ini sebenarnya tidak merugikan calon itu, tetapi parti yang akan menanggung kemaslahatan, iaitu kehilangan satu kerusi kepada PH akibat daripada kelemahan diri sendiri.
Pas dari Gagasan Sejahtera (GS) dan PKR, PPBM, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) hanya menunggu masa untuk menerkam BN. Ibarat seekor singa bersiap sedia menerkam mangsanya.
Saya percaya kepimpinan pusat dan negeri tahu hal ini. Tetapi, tidak ada tindakan diambil bagi mengawal atau sekurang-kurangnya mengekang perkara itu dari terus berulang. - theRakyat (Siaran 25hb Mac 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan