SEPANJANG lima hari bercuti, dua berita hangat yang sempat saya dengar tapi tak sempat nak saya ikuti sebab sibuk selesaikan urusan keluarga.
Pertamanya, berita mengenai kematian pelakon filem Hindi dan Tamil, mendiang Sridevi Kapoor di Dubai dan kedua, berita seorang pelakon tempatan yang jelita telah tersalah langkah menganjurkan pelancaran tudung di sebuah kelab malam tersohor di ibu kota.
Hangatnya berita kematian Sridevi kerana ada dua versi. Pertama, kematiannya dikaitkan dengan serangan jantung.
Selang beberapa jam kemudian, pihak berkuasa Dubai menyatakan pelakon itu mati akibat lemas dalam tab mandi di bilik hotelnya selepas pengsan.
Saya tidak pasti yang mana satu punca kematiannya, tapi berita pemergian pelakon itu satu kejutan besar bagi peminat mendiang termasuk saya yang tak pernah ketinggalan mengikuti filem lakonannya.
Bab kematian kita tidak boleh persoalkan. Berada di mana-mana pun kalau tiba masanya, ajal akan menjemput.
Ada yang mati sedang makan, ada yang meninggal dunia ketika sedang solat dan macam-macam keadaan kematiannya mengikut ketentuan Allah S.W.T.
Yang hidup, teruskan kehidupan. Yang belum cukup amal ibadah, pertingkatkan dari sekarang, ketika sisa-sisa hidup masih diizinkan Allah.
Kita hidup tidak boleh menghambakan diri untuk dunia sahaja, bekalan untuk akhirat pun kena banyak supaya dapat sampai ke satu matlamat, syurga.
Berita keduanya, mengenai jiran saya, Neelofa Mohd. Noor. Pelakon itu dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikatakan senang.
Datuknya, neneknya, ibunya, bapa saudaranya dan ibu saudaranya tidak asing dengan saya dan keluarga saya.
Kami hidup berjiran sejak sekian lama, kecuali Neelofa, setelah dia berusia remaja, dia berhijrah ke ibu kota kerana kerjayanya dalam dunia lakonan dan peragaan. Hanya jarang-jarang sekali dia balik ke Pasir Mas, Kelantan dan kami amat jarang sekali berjumpa.
Kalau dikira dengan kejayaannya, kami sebagai anak jati Pasir Mas tentunya berasa bangga kerana kemasyhurannya turut menaikkan nama daerah kami yang terkenal sebagai ‘kilang’ pengeluaran wanita cantik dan jejaka hensem.
Kami sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya, yang kami anggap satu-satunya duta kami yang telah mengharumkan nama daerah kami, Pasir Mas.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang tidak maksum, tentunya tidak dapat lari daripada kesilapan, sama ada berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Menipulah kalau saya katakan, mustahil gadis secantik Neelofa boleh melakukan kesilapan, kerana dia juga manusia sama seperti saya.
Tetapi, setiap yang silap harus diberi peluang untuk memperbaikinya. Kalau kita sedar kita telah membuat silap dan segera insaf serta berjanji tidak akan mengulangi lagi, nescaya kita akan dihormati oleh masyarakat sekeliling.
Mulanya saya cuba mempositifkan diri melihat tindakan Neelofa melancarkan tudung terbaharunya di sebuah pusat hiburan, kerana bagi saya nak berdakwah tidak semestinya di masjid, surau, balaisah dan majlis ilmu.
Di mana-mana pun kita boleh berdakwah tetapi dalam kes Neelofa saya tidak dapat terima ialah nyanyian dan tarian beberapa gadis Melayu @ Islam.
Menari dengan rentak mengeleng-geleng kepala, terkangkang-kangkang, terhenyut-henyut, menonggeng menonggek macam Inul gerudi amat tidak sesuai dengan adat dan budaya kita orang Melayu @ Islam.
Saya percaya Neelofa tak berniat begitu. Mungkin dia sendiri pun tak menyangka penari-penari yang dijemput berada bawah sedar kerana syok dengan muzik disko yang begitu rancak dan mengkhayalkan.
Mungkin niat dia nak berdakwah di kelab malam, ikhlas tapi lokasi dan pengisiannya agak tersasar sedikit dari perancangan sebenar.
Namun, itu boleh diperbaiki dan dijadikan pengajaran untuk dia meneruskan usaha mengajak kaum sejenisnya menutup aurat pada masa akan datang.
Saya tidak menyalahkan Neelofa seratus peratus dalam hal ini, kerana dia juga manusia biasa seperti kita yang tidak dapat elak dari melakukan kesilapan. Sebab itu, sehari selepas kes itu, dia tampil memohon maaf.
Bab dia dikecam tu memang tidak dinafikanlah. Ramai netizen termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad turut campur tangan.
Dr. Zulkifli segera menulis surat menegur dan meminta Neelofa agar tidak berbuat begitu lagi.
Saya sendiri tengok pun dah ramai orang perempuan memakai tudung. Tapi malangnya, tudung yang pakai bukan untuk menutup aurat. Ia hanya sekadar fesyen dan gaya berpakaian.
Kalau kaum perempuan benar-benar memakai tudung untuk menutup aurat, mereka tidak akan pakai tudung yang hanya menutup rambut di kepala. Mereka akan pakai tudung labuh yang turut menutup bahagian dada dan pinggul.
Sekarang, kerana galak nak berfesyen, kaum perempuan menonjolkan bahagian dada untuk tatapan umum, tapi rambut di kepala ditutup.
Dari segi ghairah dan berahi, mana satu yang menggalakkan maksiat? Bahagian dada yang menonjol atau bahagian rambut?
Tapi orang perempuan sekarang ada kisah itu semua? Kerana gaya, mereka tidak lagi ada rasa malu. Mereka mempermainkan sewenang-wenangnya tudung, yang dulu untuk menutup aurat, sekarang bukan lagi untuk mengelak maksiat. – MalaysiaGazette (Siaran 5/3/18)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan