NAMPAKNYA ramai yang gelabah dan gelisah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Berita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat ketika ini.
Paling ramai menentang dengan kewujudan RUU itu ialah pemimpin dan cybertrooper dari Pakatan Harapan (PH). Mereka menganggap dengan adanya RUU berkenaan, usaha untuk menyebarkan berita tidak benar untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tergendala.
Sebenarnya, jika difikir secara logik, RUU berita palsu ini juga turut membantu mereka, kerana selama ini pun tidak sedikit pembangkang ‘menafikan’ berita-berita yang disebarkan oleh pemimpin BN dengan pelbagai alasan.
Tetapi disebabkan rasa takut pada bayang-bayang sendiri, maka mereka terpaksa menentangnya dengan pelbagai helah supaya kerja menghasut dapat dilakukan.
Pada dasarnya, pemimpin BN terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak paling banyak menerima fitnah daripada pembangkang. Walaupun Najib berulang kali menafikan tuduhan itu, tetapi pembangkang tetap memainkan isu berkenaan supaya dapat memperdayakan rakyat.
Saya mengambil isu 1MDB sebagai contoh. Banyak kali Najib cuba menafikan skandal yang mendapat perhatian dunia itu, tetapi setiap kali fitnah itu ditangkis, semakin hebat pula pembangkang memainkannya.
Hatta pemimpin pembangkang dari DAP, Dr. Tan Seng Giaw sendiri menafikan Najib terlibat, namun rakan-rakannya dari PH tetap dengan fitnah masing-masing.
Tidak cukup menyebarkan fitnah dalam negeri, mereka menggunakan media luar negara untuk memburuk-burukkan kepimpinan Najib, sehingga yang tidak tahu menahu isu berkenaan terpedaya dan termakan dengan dakyah berkenaan.
Mereka dilihat begitu bebas menabur fitnah. Menyebarkan berita tidak benar, sehingga ia membarah dan merosakkan negara. Ini yang pembangkang mahu. Mereka tidak fikir lagi apa yang bakal berlaku kepada rakyat dan negara dengan fitnah itu, asalkan matlamat untuk menjatuhkan kerajaan BN tercapai.
Sekarang, dengan adanya RUU berita palsu, segala fitnah dapat dihentikan, atau sekurang-kurangnya dapat dikekang daripada membarah dan menjarah ke akar umbi. Ini yang memanaskan punggung pembangkang ketika ini.
Mengikut RUU berkenaan, mana-mana individu yang didapati bersalah menyebar atau menerbit laporan palsu boleh dikenakan denda RM500,000 atau 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.
Ia adalah sebahagian daripada 14 fasal yang terkandung dalam RUU berkenaan yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Malah, jika kesalahan itu dilakukan secara berterusan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu.
Ini jelas menakutkan pembangkang kerana mereka perlu berhati-hati dalam menyeluarkan kenyataan tidak benar mengenai kepimpinan kerajaan. Mereka sekarang mempunyai dia pilihan, pertama, terpaksa berdiam diri dan keduanya, terpaksa menyelitkan fakta yang tepat.
Tetapi nyata, bercakap benar semestinya tidak disenangi oleh pihak yang selalu menabur fitnah dan suka menyebarkan berita palsu.
Syabas diucapkan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat kerana berjaya juga mewujudkan akta baharu antiberita palsu yang jelas memanaskan punggung pembangkang.
Selepas ini, pembangkang melalui cybertropper mereka kena berhati-hati dalam menabur berita palsu. Akaun facebook yang dibuka atas nama samaran juga dapat dikesan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Jadi, pembangkang dalam kesempitan hidup. Rasa takut mulai membayangi mereka. Jika memfitnah, hukuman menanti. Jika bercakap benar, itu bukan pembangkang namanya. - theRakyat (Siaran 26hb Mac 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan