TEMPOH satu penggal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) hampir ke penamat. Wakil rakyat yang menang pilihan raya lalu akan berdepan dengan penilaian rakyat, sama ada mereka lulus untuk disambungkan kontrak satu penggal lagi atau ‘disembelih’ spada PRU14 ini.
Sebagai wakil rakyat, sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), kalau mereka berjiwa rakyat dan sentiasa dekat dengan rakyat, tidak ada sebab untuk takut kalah pada PRU ini.
Rakyat tidak zalim. Rakyat adalah manusia yang tahu membalas jasa, kenang budi dan berterima kasih. Rakyat hanya akan memberi undi kepada pemimpin yang cakna, ambil berat, menyelesaikan masalah dan bekerja untuk kebajikan rakyat.
Yang tunjuk muka sekali atau dua kali dalam tempoh lima tahun, walhal beliau adalah wakil rakyat di kawasan itu, yang ini memang boleh dihumban ke gaung. Jangan beri peluang untuk menang.
Keadaan ini samalah dialami rakyat dalam Parlimen Batu Pahat. Beberapa penduduk mengadu, sejak lima tahun lalu mereka tidak pernah didatangi wakil rakyat untuk bertanya khabar. Ada beras ke tidak. Zink rumah bocor ke tidak.
Sehinggakan seorang makcik, yang hanya mahu namanya dikenali sebagai Wan Rogayah, 67, mengakui tidak pernah kenal wakil rakyat Parlimen Batu Pahat.
“Entah, makcik tak kenal… tak pernah jumpa. Dia (wakil rakyat) pun tak pernah datang nak tengok atau jenguk rakyat,” katanya ketika ditemui portal theRakyat di program Ijtimak Majlis Perundingan Islam Kebangsaan 2018 di Cyberjaya, baru-baru ini.
Batu Pahat diwakili wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd Idris Jusi. Beliau menang mencabar penyandangnya, Datuk Mohd Puad Zarkashi pada PRU 13 dengan majoriti 1,732 undi.
Sebelum menyertai Pakatan Harapan, Mohd Idris adalah seorang guru dan bekas Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN). Dalam pertandingan itu, beliau mendapat 38,667 undi, manakala Mohd Puad memperoleh 36,935 undi.
Mohd Puad pula ketika menyandang Parlimen Batu Pahat adalah Timbalan Menteri Pelajaran II. Beliau banyak terlibat dalam mentranformasikan sistem pendidikan ke arah kecemerlangan murid dan guru.
Walaupun kalah tipis kepada calon PKR pada PRU13, Mohd Puad meneruskan khidmat baktinya kepada rakyat Batu Pahat. Sekali tengok, seolah beliau wakil rakyat di kawasan itu, padahal beliau kalah.
Yang menang ialah Mohd Idris dari PKR. Tapi wakil rakyat ini lebih lama hilang dari timbul. Penulis tidak kata, tapi Wan Rogayah yang kata. Kata makcik ini lagi, Ahli Parlimen itu tinggal menetap di Kuala Lumpur. “Dia ada rumahnya di sana, tentulah sayang nak tinggal datang duduk di Batu Pahat,” katanya.
Difahamkan, kalau Mohd Idris balik ke kawasan pun, beliau bukan balik atas program bersama rakyat, sebaliknya berjumpa dengan jentera partinya. Dia juga dikenali sebagai pemimpin yang tidak mesra rakyat, selain tidak pernah nampak muka.
Sepanjang lima tahun dari 2013 sehingga kini, beliau gagal menyelesaikan masalah rakyat seperti rumah daif, masalah banjir dan pelbagai masalah berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kalau ada rakyat mengadu masalah, dia hanya jawab, itu urusan kerajaan bukan bawah tanggungjawab dia. Apa lagi rakyat nak kata, kalau wakil rakyat dia dah jawab macam tu?
“Senangnya jadi wakil rakyat bawah Pakatan Harapan ni. Mereka boleh lari dari berdepan dengan masalah rakyat, tetapi hairannya, dia boleh menang dalam pilihan raya,” katanya mengakhiri perbualan dengan wartawan theRakyat.
Difahamkan, dalam PRU14 ini, Mohd Idris bakal dicabar Mohd Puad, yang merancang dan bercadang akan mengambil alih semula kerusi Parlimen Batu Pahat.
Mohd Idris memang patut dikalahkan kerana dalam tempoh satu penggal PRU13, beliau bukan seorang Yang Berhormat yang cergas dan cerdas. Bukan setakat di kawasan selalu mengilat, di Dewan Rakyat pun beliau tidak pernah membangkitkan isu atau masalah rakyat yang berlalu di kawasannya.
Ini kali, Parlimen Batu Pahat perlu ditukar kepada Barisan Nasional (BN). – theRakyat (Siaran 18hb Mac 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan