Ahad, 18 Mac 2018

PM dua penggal? Khalid dijatuhkan selepas 6 tahun jadi MB

DALAM banyak-banyak janji yang ditabur oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Manifesto PRU14 mereka ialah Janji 12 (janji ke 12): Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri.
Antara intipati kepada tajuk ini ialah Pakatan Harapan menetapkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sahaja. Mereka kata, amalan tadbir urus yang baik ini akan juga diterapkan untuk jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Jadi, apa yang menarik minat saya untuk memperkatakan topik tempoh bagi jawatan nombor satu kerajaan persekutuan dan jawatan nombor satu kerajaan negeri ini ialah perkara yang terkena pada batang hidung mereka sendiri.
Seperti Perdana Menteri kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak cakaplah,, kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak laksanakan tempoh dua penggal itu pada zaman pentadbirannya?
Kenapa selepas memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun, baharu sekarang, selepas berada dalam blok pembangkang, Dr Mahathir nak perkenalkan tempoh itu dalam pentadbiran Pakatan Harapan?

Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, sepatutnya sudah melepaskan jawatan nombor satu kerajaan negeri itu kerana tempoh dua penggal atau 10 tahun sudah pun tamat. Tapi sampai sekarang Guan Eng masih seronok dengan jawatan itu dan tidak nampak pun tanda-tanda beliau akan melepaskan jawatan itu.
Jika benar Pakatan Harapan ikhlas hendak melaksanakan apa yang dijanjikan berdasarkan pada Janji 12 itu, mereka sepatutnya melaksanakan dari sekarang untuk dijadikan contoh kepada rakyat. Tapi mereka tak buat, dan yang pastinya mereka tak akan buat begitu.
Apapun, saya sebagai rakyat Malaysia, akan menunggu selepas PRU 14 ini. Kalau ditakdirkan Pulau Pinang masih kekal DAP memerintah dan Guan Eng masih Ketua Menteri, jelas sekali Pakatan Harapan tidak boleh dipercayai untuk menerajui pentadbiran kerajaan persekutuan.
Selain Pulau Pinang, satu lagi negeri contoh yang rakyat perlu buka mata akan pembohongan Pakatan Harapan dan agak mustahil Pakatan Harapan akan tunaikan janjinya ialah Selangor.
Menteri Besar Selangor bawah Pakatan Rakyat selepas menang dalam PRU 12 ialah Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau memerintah dan mentadbir dengan adil dan saksama. Beliau banyak menghabiskan masa mendengar masalah rakyat dan mencari jalan mengatasi masalah rakyat.
Tup! tup! masuk tahun keenam, beliau sudah diguling oleh rakannya sendiri, Datuk Seri Azmin Ali melalui percaturan “Langkah Kajang” yang disusun atur oleh perancang strategi tersohor PKR, Rafizi.
Belum sampai tempoh 10 tahun, Khalid sudah dicantas dan diganti oleh Azmin. Nampak sangat jawatan menteri besar ini penting sehingga menjadi rebutan yang mencetuskan pergaduhan.
Inilah yang berlaku dalam ‘kerajaan’ Pakatan Harapan. Ini baharu berlaku di peringkat negeri. Bagaimana pula kalau ia tercetus di peringkat persekutuan? Perebutan jawatan Perdana Menteri?
Selain Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pertama Pakatan Harapan, yang beliau berjanji nak pegang selama dua tahun sahaja, sebelum diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah Anwar akan berpegang pada janji untuk memegangnya selama 10 tahun?
Lagipun, dalam kalangan pemimpin parti-parti komponen Pakatan Harapan seperti PPBM, PKR, PAN dan DAP juga masing-masing berangan-angan hendak menjadi Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin umpamanya, sebelum keluar UMNO, beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan layak untuk menjadi Perdana Menteri. Mustahil beliau tidak memasang angan-angan hendak menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Begitu juga halnya dengan Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Azmin Ali. Semuanya merasakan diri mereka layak menjadi Perdana Menteri. Kalau Azmin boleh rampas kuasa dari Khalid, takkan di peringkat Perdana Menteri, calon-calon yang saya sebut itu tidak ada niat mahu mencantas.
Rakyat Malaysia kena fikir-fikirkanlah. - theRakyat (Siaran 11hb Mac 2018)

Tiada ulasan: