HAMPIR 10 tahun berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH), rakyat Selangor masih hidup menderita dengan pelbagai infra rakyat dan pembangunan sosio ekonomi gagal dilaksanakan sepenuhnya.
Penggal pertama memerintah atas nama Pakatan Rakyat (PR) bermula tahun 2008, kerajaan negerinya memberitahu, “manifesto bukan janji”. Manifesto hanya sekeping kertas yang menawarkan janji jika PR berjaya membentuk kerajaan”.
Dari situ sudah nampak rakyat Selangor tertipu dengan janji manis kerajaan PR yang diumpan untuk memancing undi. (Saya sebut kerajaan PR kerana penggal pertama masih kekal sebagai kerajaan gabungan antara PKR, DAP dan Pas).
Kerana termakan dengan gula-gula itu, rakyat Selangor menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada dan menukar selera memberi mandat kepada kerajaan baharu, kerajaan PR.
Selama lima tahun, belum kelihatan janji-janji yang termaktub dalam manifesto PR dilaksanakan. Rakyat menunggu setahun demi setahun, tetapi yang ada hanya alasan demi alasan sebagai usaha untuk rakyat lupa dengan janji itu.
Masuk PRU13, kerajaan PR menang untuk penggal kedua bermula tahun 2013. Kali ini juga janji tinggal janji, walaupun menteri besarnya mendabik dada Selangor bawah PR mencatat perolehan ekonomi menjangkau bilion ringgit setahun.
Duit saja banyak, tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk pembangunan ekonomi sebagaimana diharapkan rakyat, akan dianggap gagal juga.
Setahun selepas PRU13, berlaku krisis dalam kerajaan PR, yang mana rakan gabungannya, Pas membuat keputusan keluar dari pakatan. Tinggalkan PKR dan DAP dalam pakatan itu, yang kemudian dinamakan Pakatan Harapan.
Sejak Pas tidak ada lagi dalam PH, yang kemudian disertai dua parti baharu iaitu Parti Amanah Negara (PAN), serpihan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti serpihan UMNO, pentadbiran kerajaan Selangor semakin celaru.
Beberapa projek kerajaan Persekutuan yang cuba dibawa masuk oleh UMNO dan BN Selangor seperti projek Langat II ditolak mentah-mentah oleh kerajaan negeri.
Projek ini sepatutnya menjadi berita baik kepada seluruh rakyat Selangor yang sejak 2008 lagi berdepan dengan krisis air, telah dinafikan. Kerajaan PH tidak mahu projek itu diteruskan kerana bimbang sokongan rakyat akan beralih kepada BN.
Nampak di sini sandiwara kerajaan PH. Mereka sanggup melihat rakyatnya menderita menanggung masalah ketiadaan air sepanjang masa, daripada melihat rakyatnya gembira.
Agak ketara, sepanjang tahun 2018 dan suku pertama tahun ini, hampir lima kali rakyat berdepan dengan ketiadaan bekalan air. Sekali masalah berlaku, berlarutan dari tiga hingga lima hari.
Bayangkan, rakyat Selangor menghadapi masalah ketiadaan air selama lima hari, manakala usaha mencatu dan menghantar bekalan air ke lokasi kritikal amat terhad.
Ada penduduk di beberapa kawasan dijanjikan bekalan air dihantar dengan lori akan sampai pada petang, tetapi tunggu sehingga tengah malam lori tangka tidak sampai ke lokasi.
Kerajaan PH tidak pernah mengambil berat masalah itu. Pemimpinnya juga langsung tidak menunjukkan muka di lokasi penduduk menunggu air. Takut dan bimbang dikecam oleh penduduk.
Semalam, BN Selangor melancarkan manifestonya untuk PRU14. Dalam manifesto itu, BN negeri berjanji, jika rakyat memberi mandat kepada, perkara pertama yang mereka akan laksanakan ialah menstrukturkan semula jabatan air dan memastikan bekalan air tidak terputus.
Saya yakin kerajaan BN boleh melakukannya berdasarkan tawarannya sebelum ini untuk membina projek Langat II. Projek ini adalah jalan penyelesaian kepada segala ibu masalah berkaitan ketiadaan air. - theRakyat (Siaran 9hb April 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan