Apa kata Mukhriz dan pemimpin UMNO?
Tun Dr. Mahathir Mohamad telah umum keluar dari UMNO. Bekas Perdana Menteri itu membuat pengumuman itu di majlis anjuran Himpunan Melayu Kedah di Alor Star.
Sebelum itu, ketika majlis dialog dengan kira-kira 1,000 orang yang menghadirinya, beliau mencadangkan Ketua-ketua UMNO cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan.
Katanya, ini kerana jika mereka tunggu sehingga pemilihan UMNO Disember ini Abdullah akan menang tanpa bertanding jawatan itu.
Beliau terus membuat pengumuman keluar parti apabila salah seorang hadirin mencabarnya beliau membuat pengumuman itu.
Menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Dr. Mahathir memberitahu, beliau akan hantar surat rasmi keluar UMNO kepada Setiausaha Agung UMNO dalam masa terdekat.
Katanya, beliau akan masuk semula UMNO jika Abdullah letak jawatan. Dr. Mahathir bagaimanapun, tidak meminta ahli UMNO yang nak ikut tindakannya itu masuk parti lain.
Sementara itu, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, buat masa ini beliau enggan memberi sebarang ulasan mengenai tindakan bapanya umum keluar UMNO tengah hari tadi dan meminta masa untuk berfikir.
"Sekarang ini saya sedang berfikir," kata Exco Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Jerlun itu," katanya.
Beliau juga memberitahu telah dihujani panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakannya seluruh negara sejak Dr. Mahathir umum tindakan itu di Alor Star.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee dalam reaksi segera kepada tindakan Dr. Mahathir itu meminta Perdana Menteri segera duduk dan berbincang dengan bekas Perdana Menteri itu.
Beliau menilai tindakan keluar parti itu tidak wajar dan boleh menggugat kestabilan parti.
Beliau juga mendesak semua pemimpin UMNO khususnya ahli Majlis Tertinggi bertindak segera menyelesaikan kemelut terbaru ini.
Katanya, mereka tidak boleh lagi diam diri dalam soal ini.
Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim pula merayu kepada Dr. Mahathir agar menarik balik tindakannya keluar UMNO.
Katanya, tindakan itu lebih banyak merugikan daripada menguntungkan.
Beliau akan mengetuai satu rombongan Badan Perhubungan UMNO Perlis untuk bertemu segera dengan Dr. Mahathir.
Serentak itu, beliau juga menyeru seluruh pimpinan UMNO menggembeling usaha segera menyelesaikan kemelut itu.
Katanya, mereka tidak patut menunggu arahan Pak Lah dalam soal itu.
"Ada kalanya kita semuanya nak tunggu arahan Pak Lah... dalam soal ini semua kena bertindak serta merta.
Katanya, Dr Mahathir sebagai pejuang nombor satu UMNO tidak harus berbuat demikian.
"Kalau nak kira kecewa, saya sendiri pun kecewa, tetapi tidak bertindak begitu... lagi pun masalah Dr. Mahathir hanya dengan Presiden parti bukan dengan seluruh ahli UMNO... maka ia harus diselesaikan dengan baik," katanya.
Shahidan berkata, tentu sesetengah orang yang beliau sifatkan sebagai ‘pelaq-pelaq‘ gembira dengan tindakan Dr. Mahathir itu.
Katanya, golongan ini yang terdiri dalam kalangan ahli UMNO dan bukan ahli UMNO banyak menikmati faedah daripada perjuangan UMNO, tetapi tidak memberi apa-apa sumbangan kepada parti.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin pula meminta ahli UMNO bertenang dalam menghadapi kemelut Dr. Mahathir bertindak keluar parti.
Beliau berpendapat tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah.
"Kita masuk UMNO ini bukan kerana Pak Lah atau Dr. Mahathir," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Beliau berharap ahli UMNO tidak akan menyertai langkah Dr. Mahathir itu.
Menurutnya, mereka harus berpegang kepada asas penyertaan mereka dalam parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said juga menilai tindakan Dr. Mahathir tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya memberi kekuatan kepada pembangkang.
Katanya, ketika keadaan parti tertekan semua pihak termasuk pemimpin serta bekas pemimpin mesti bekerjasama memulihkan UMNO supaya kembali kukuh dan kuat.
"Apa yang dialami UMNO masa ini adalah masalah keluarga dan perlu diselesaikan dalam cara dan semangat kekeluargaan. Tindakan melulu keluar parti hanya akan merosakkan parti dan beri kekuatan pada pihak lain," katanya.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meminta Dr. Mahathir menimbang semula keputusannya itu sekiranya keputusan tersebut boleh mencetuskan masalah baru kepada orang Melayu dan rakyat negara ini.
"Saya juga tidak mahu apa yang berlaku kepada Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein iaitu pemimpin UMNO yang mengakhiri kehidupannya di luar UMNO berlaku kepada Tun," katanya.
Sehubungan itu beliau menjelaskan, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
Pengerusi Badan perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid dalam reaksi ringkasnya menegaskan, tindakan Dr. Mahathir itu ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar dan yakin apa juga masalah yang timbul ada jalan penyelesaiannya.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir dan tidak menyangka sama sekali beliau mengambil tindakan berani itu.
Sambil mengakui menerima banyak SMS daripada ahli cawangan yang berhasrat mengikuti langkah tersebut, beliau bagaimanapun, memilih untuk terus bersama parti kerana yakin penyelesaian sesuatu masalah boleh dibuat secara dalaman.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad berkata, tindakan mengejut Dr. Mahathir itu boleh membawa kepada pilihan raya umum.
Katanya, sementara UMNO berdepan dengan usaha bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menarik Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang, tindakan Dr. Mahathir itu boleh membawa kepada Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti dan pilihan yang ada kepada Perdana Menteri ialah untuk mengadakan pilihan raya bagi mendapatkan mandat yang baru.
PAK LAH TAK AKAN LETAK JAWATAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terkejut dan tidak menyangka Tun Dr. Mahathir akan bertindak keluar parti.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan letak jawatan berikutan tindakan terbaru bekas Perdana Menteri itu.
Sambil mengakui tindakan Dr. Mahathir itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan parti, beliau meminta semua ahli UMNO bertenang dan menunjukkan kesetiaan kepada parti.
KU LI TETAP BERSAMA UMNO
Kebetulan Tengku Razaleigh Hamzah juga menghadiri satu majlis di Alor Star. Namun majlis beliau dengan Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah itu diadakan sebelah petang, sedangkan majlis dihadiri Tun Dr. Mahathir anjuran Himpunan Melayu Kedah pada sebelah pagi.
Menjawab soalan wartawan, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak akan ikut jejak Tun Dr. Mahathir meninggalkan UMNO.
Katanya, perjuangannya dalam UMNO belum selesai dan menyifatkan tindakan Dr. Mahathir itu adalah keputusan peribadinya.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu beliau akan terus dengan langkahnya menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti Disember ini.
INI SUARA ORANG MUDA BERHUBUNG ISU TUN
Keputusan mengejut Tun Dr. Mahathir mengumumkan tindakannya keluar daripada UMNO mengundang reaksi pelbagai pihak.
Namun dalam banyak-banyak komen yang diberikan berikut adalah komen Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim yang amat menarik perhatian dan perlu disiarkan secara penuh.
Berikut adalah komen beliau yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS):
"Bagi generasi muda dalam UMNO, banyak perkara yang kita belajar, malah jadi ikutan selama ini dengan mencontohi teladan baik kepimpinan terdahulu, sama ada dalam mengasah daya kepimpinan seterusnya memastikan usaha menyumbang bakti demi mengangkat martabat agama, bangsa dan negara terlaksana.
Yang pasti, apa yang berlaku di antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah bukan contoh teladan yang baik. Ia sangat-sangat mengejut dan mengecewakan. Suasana diluah mati emak, ditelan mati bapak sebegini tidak menguntungkan sesiapa.
Jalan keluar pastinya sukar, tetapi ia perlu ditangani segera kerana perjuangan UMNO bukan untuk mempertahankan pemimpin, tetapi jauh lebih besar dari itu.
Situasi ini seperti menang jadi arang, yang kalah jadi abu... dan tidak akan sesekali dibenarkan daripada berlaku kerana ia tidak langsung mencerminkan usaha untuk mengukuhkan parti, tetapi pasti melemahkan UMNO.
Suasana hari ini sangat-sangat tidak diperlukan dan ia tidak berlaku adil kepada generasi muda yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional selepas pilihan raya umum yang lalu.
Siapalah kita hendak nasihatkan. Cuma ketepikanlah perbezaan dan carilah titik persamaan dengan duduk berbincang untuk sekali ini demi masa depan UMNO dan orang-orang Melayu.
Jangan pandang ke belakang... kalau kita telah banyak perkara yang salah selama ini, pandanglah ke hadapan. Buatlah satu yang betul untuk sekali ini sahaja.
Duduk. bincang dan selesaikan demi masa depan UMNO dan orang-orang Melayu. Sepayah mana sekalipun tentu ada jalannya. Hanya mereka berdua yang tahu... sekali ini sahaja".
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad terkilan dengan tindakan yang diambil oleh Dr. Mahathir itu.
Katanya, ia bertentangan dengan tunjuk ajar Dr. Mahathir kepada pemimpin muda sebelum ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan