Jumaat, 8 Julai 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI HARI KE 4: Rita tak tahu syarikat berhutang RM10 juta

Oleh SALWA SHA'ARI

SHAH ALAM: Anak sulung kepada pengasas kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mengakui bahawa beliau tidak mengetahui bahawa syarikat yang diusahakan oleh ibunya mempunyai hutang jangka panjang dengan bank berjumlah RM10 juta.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau lebih mesra dipanggil Rita yang disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon juga mengakui bahawa, beliau tidak ingat bahawa akaun syarikat Nouvelles Beauty Centre Sdn Bhd juga menunjukkan beban kewangan semasa sebanyak RM2.4 juta.

Selain itu, beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, juga memberitahu tidak mengetahui bahawa syarikat berkenaan mempunyai rizab simpanan berjumlah RM1.9 juta pada Disember 2009.

Beliau juga tidak mengetahui pergerakan wang yang terdapat dalam akaun peribadi Sosilawati.

Meskipun begitu, Rita menafikan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang akaun syarikat yang beralamat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Saya tahu, tetapi tidak dapat dipastikan jumlah yang tepat," kata lulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Nottingham Trent, United Kingdom.

Selain itu, anak sulung daripada enam beradik itu juga memberitahu, kali terakhir beliau memeriksa akaun syarikat adalah pada beberapa bulan yang lalu, namun tidak dapat memastikan tarikh tepat.

Manjeet: Adalah kamu tahu bahawa akaun yang diaudit mesti didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)?

Rita: Saya tidak pasti.

Manjeet: Saya cadangkan bahawa carian di SSM pada Jun 2010 menunjukkan akaun terakhir yang difailkan adalah bagi tahun 2009?

Rita: Saya tidak pasti.

Saksi pendakwaan ke-15 itu juga mengakui bahawa beliau tidak mengetahui siapakan setiausaha syarikat Nouvelles.

Pada keterangan lain, Rita memberitahu bahawa beliau tidak menandatangani dokumen berkaitan akaun syarikat pada sekitar tahun 2010, yang diuruskan oleh ibunya.

Wanita berkulit cerah itu seterusnya mengakui bahawa beliau tidak mengetahui berapa banyak bidang tanah atau bangunan yang dimiliki oleh Nouvelles.

Rita juga memberitahu, Sosilawati mempunyai lebih daripada sebuah syarikat termasuk syarikat bernama 'Southern Symphony Sdn Bhd' dan salah seorang pengarahnya ialah anak lelaki sulung mangsa, Erwan Suwari Rizuwan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui bila syarikat itu ditubuhkan, siapakah setiausaha syarikat, perihal syarikat dan juga jika syarikat itu adalah aktif.

Rita seterusnya memberitahu, semasa beliau melanjutkan pelajaran di luar negara, ibunya akan tetap memaklumkan mengenai urusan syarikat menerusi panggilan telefon, termasuk mengenai urusan pembelian tanah di Pulau Pinang.

Namun begitu, Rita berkata, perkara itu tidak diberitahu secara terperinci seperti harga belian, cara pembelian dilakukan mahupun dari mana ibunya mendapat duit untuk membeli tanah terbabit.

"Dia hanya beritahu beli tanah, tapi kenapa, kawasan atau di mana tanah saya tidak tahu," katanya.

Beliau juga memberitahu, tidak mengetahui jika ibunya, seperti yang dicadangkan oleh Manjeet membuat pelaburan sebanyak RM1.2 juta dalam pembelian tanah tersebut dan wang tersebut telah dikembalikan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-empat di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir juga menyaksikan saksi mengakui bahawa beliau tidak dapat mengingati sekiranya beliau ada menyerahkan sebarang dokumen kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan.

Rita juga turut diasak oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang menyifatkan keterangan beliau di mahkamah bersifat 'terpilih' kerana banyak menjawab 'tidak tahu' dan 'tidak pasti' kepada soalan yang diajukan oleh barisan pembelaan.

Perbuatan itu juga menyebabkan Manjeet dan Amer Hamzah menyifatkan perkataan 'tidak pasti' sebagai perkataan Bahasa Melayu yang 'bagus'.

"Saya tidak setuju. Saya cuba untuk ingat," jawabnya.

Jawapan Rita juga ditegur oleh Akhtar yang berkata: "Perkara itu hanya berlaku beberapa bulan. Ogos (waktu kejadian) hingga Jun tidak sampai setahun. Tidak pasti bukan satu jawapan.

"Cuba ingatkan. Tapi itu hak kamu untuk jawab 'tidak pasti' tapi cubalah untuk ingat."

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Rita mengakui bahawa jawapan tersebut diberikan kerana beliau terlalu gugup.

"Saya terlalu gugup. Saya tidak boleh nak berfikir. Banyak benda yang saya lupa untuk beritahu. Saya cemas pada waktu kejadian dan juga bila saya mahu ingat semula," katanya.

Dalam kes ini, seorang peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.
Perbicaraan akan bersambung Jumaat.

Tiada ulasan: