Rabu, 13 Julai 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI HARI KE 7: Beberapa Barang Kes Ditemui Dalam Kereta Sosilawati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bahawa beberapa barang kes termasuk pencungkil gigi ditemui di dalam kereta mewah BMW X5 milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang ditinggalkan di tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya.

Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob yang bertugas sebagai pegawai penyiasat tempat kejadian dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, beliau bersama pasukannya pergi ke lokasi itu pada pukul 10.30 malam, 6 September 2010, selepas menerima arahan daripada pegawai penyiasat Asisten Suprintendan Ishak Yaakob.

"Saya buat pemeriksaan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran WTL 11 yang telah dikelilingi dengan garisan kuning polis dan mendapati ia tidak berkunci serta berada dalam keadaan basah dan kotor," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Mazli berkata, semasa pemeriksaan itu beliau menjumpai serangkai kunci pelbagai jenis dan saiz, serangkai kunci yang terdapat huruf 'P' dan dua pencungkil gigi di tempat letak air di bahagian penumpang.

Selain itu, katanya siasatan menemui dua kesan cap jari pada pemegang dalam pintu pemandu dan pada kotak di bahagian tempat letak minuman di antara penumpang hadapan dan pemandu.

Mazli berkata, beliau menggunakan proses "dusting" iaitu meletakkan sejenis serbuk ke atas permukaan untuk menimbulkan jalur cap jari sebelum menggunakan "sticker" dan putik kapas bagi mendapatkan keputusan lebih jelas.

Bagaimanapun ketika ditanya Saiful Edris apakah keputusan cap jari itu, beliau memberitahu ia adalah negatif.

Saksi pendakwaan itu juga menemui sehelai rambut di bahagian tempat duduk selain membuat "swabbing" pada stering dan pemegang tangan kereta serta sampul surat yang berada di tempat duduk belakang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran