Rabu, 13 Julai 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI HARI KE 7: Wati ada RM40j

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh pada Ogos tahun lalu mempunyai RM40 juta simpanan dalam akaun peribadinya dan memang gemar berniaga jual beli tanah untuk mendapatkan keuntungan.

Buhari yang menjawab pertanyaan peguam Manjeet Singh Dhillon, dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, semalam berkata beliau mendapat sedikit maklumat mengenai status kewangan dan kedudukan syarikat milik Sosilawati pada Ogos 2010.

Manjeet: Tahun lalu, beliau kena tindakan sebab buat perjanjian tetapi tak mahu jual?

Buhari: Ya

Manjeet: Bila dapat tahu kes itu?

Buhari: Saya tidak tahu. Tapi saya mengendalikan kes itu sekarang. Bila beliau dah tak balik rumah, anak saya minta tolong dan kes itu sudah selesai.
Manjeet: Bangunan itu sudah dijual kepada orang berkenaan?

Buhari: Ya.

Beliau juga memberitahu mahkamah, tidak tahu tanah itu dijual kepada syarikat milik seorang wakil rakyat, Datuk Abdul Rahman Palil atau kepada pihak lain.

Ketika pemeriksaan utama, Buhari yang juga saksi pendakwaan ke-24 memberitahu mahkamah, Sosilawati pernah membuat perjanjian pembelian tanah di Pulau Pinang dengan Muthuraja Allal Kathan pada 2008.

Buhari berkata, bekas isterinya itu pernah memintanya melihat satu dokumen perjanjian jual beli sebidang tanah di Pulau Pinang, di pejabat tertuduh pertama, N Pathmanabhan, pada 2008 kerana beliau ada sedikit pengetahuan mengenai perjanjian dan pernah bekerja sebagai pengurus bank.

“Saya komen maklumat penjual atau pemegang 'title'. Nama pada perjanjian iaitu Muthuraja a/l Allal Kathan, tidak lengkap. Sekurang-kurangnya (perlu) ada nombor kad pengenalan atau pasport untuk ketahui identiti penjual," katanya kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof.

Sebelum ini, akhbar pernah melaporkan kehilangan seorang ahli perniagaan dari India bernama Muthuraja Allal Kathan ketika siasatan kes kehilangan Sosilawati dan tiga rakannya sedang dijalankan. Bagaimanapun, semalam, identiti sebenar lelaki bernama Muthuraja dalam perjanjian itu tidak ditimbulkan.

Buhari berkata, beliau juga mengulas nama syarikat dalam perjanjian berkenaan, iaitu Southern Symphony tidak ditulis dengan nombor pendaftaran syarikat serta hanya tandatangan pembeli tanpa maklumat pengenalan diri.

Katanya, beliau juga mempertikaikan bahawa Sosilawati ketika itu tidak pergi ke Madras, tetapi perjanjian ada membabitkan peguam di India serta tiada pengesahan kewujudan individu dalam perjanjian itu dari kedutaan di India.

Buhari: Saya kata, perjanjian ini (tanah) bermasalah yang ada lagi kaveat. Last (akhirnya) saya tanya dia (tertuduh) andai kata masalah timbul selepas tanah dibeli dan dijual semula dan keuntungan dibahagikan, pihak ketiga akan buat tuntutan dan tanah tidak boleh didaftar balik atau dipindah milik, siapa akan tanggung kerugian ini.

Ishak: Apa reaksi Sosilawati dan Pathmanabhan?

Buhari: Pathma kata seorang peguam yang agak lama dan berkata masalah ini boleh diselesaikan. Sosilawati tidak ada komen, cuma saya kesal (kerana) ketika beliau bawa saya, perjanjian itu sudah ditandatangani dan duit deposit 10 peratus sudah dibayar.

Ishak: Macam mana awak tahu?

Buhari: Sebab beliau beri saya salinan dokumen ditandatangani.

Saksi itu berkata, suasana perbincangan sedikit hangat kerana beliau banyak mengulas mengenai perjanjian itu, tetapi Pathmanabhan ada berkata dia adalah peguam dan lebih faham daripadanya (Buhari).

Terdahulu, Buhari memberitahu mahkamah, beliau menerima panggilan telefon daripada anaknya, Erni Erinawati Sofia, kira-kira jam 10 pagi pada 31 Ogos lalu, dan memaklumkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas keluar ke Banting pada 30 Ogos.

Katanya, beliau ke Banting untuk mencari pejabat lama Pathmanabhan di Jalan Abdul Samad, tetapi gagal selepas mencari dua hingga tiga jam dan selepas berbincang, anak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana diminta membuat laporan polis dan laporan orang hilang pada 2 September.

"Saya ada hubungi Pathmanabhan pada 2 September dan bertanya di mana Sosilawati yang pergi berjumpa dengannya pada 30 Ogos (kerana) hingga sekarang tidak balik-balik. Saya beritahu, anak saya sudah buat laporan polis dan beliau terpaksa bertanggungjawab.

"Dia kata ‘Sosilawati seorang yang baik dan pernah berurus niaga dengannya. Macam mana boleh hilang.’ Saya tidak komen terhadap apa yang dia katakan," katanya.

Buhari juga memberitahu mahkamah, beliau mendapat nombor telefon Pathmanabhan ketika perjumpaan pada 2008, tetapi ketika mencari pejabat peguam itu, beliau tidak mengingati nombor telefon kerana ditulis pada salinan dokumen perjanjian jual beli tanah diberikan kepadanya dan dokumen itu ada di pejabatnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Manjeet, saksi itu mengakui ada bertanya kepada Sosilawati sama ada sudah membayar wang deposit 10 peratus itu dan dimaklumkan wang berkenaan sudah dibayar tetapi jumlahnya tidak mencecah 10 peratus.

Katanya, beliau tidak ingat jumlah sebenar, tetapi RM1.2 juta hingga RM1.5 juta.

Tiada ulasan: