Selasa, 14 Mei 2013

Kepimpinan Muka Baru Diperlukan Dalam Wanita Umno - Rafidah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan golongan muda menawarkan diri untuk menjadi calon menerajui kepimpinan tertinggi pergerakan itu pada perhimpunan agung dijangka Oktober ini.

Rafidah yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata wanita berkenaan dari peringkat akar umbi sekalipun perlu berani menampilkan diri bagi memastikan mereka yang berpotensi turut diberi peluang mengepalai pergerakan itu.

"Saya saran kepada Wanita Umno, yang muda, awal 40-an ke atas, tampil ke hadapan tawar diri.

"Boleh kerja, ada azam tapi mungkin takut tak diterima (pun), saya harap tampil ke hadapan dan Wanita (Umno) pandanglah (mereka)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membayangkan untuk terus mempertahan jawatannya.

Jawatan naib ketuanya pula kosong ekoran pemegang jawatan dahulu Datuk Kamilia Ibrahim dipecat setelah bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Rafidah berkata Wanita Umno perlu memberi peluang kepada calon wanita baharu yang bukan sahaja boleh diterima oleh pergerakan tetapi diterima oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini kerana pemimpin Wanita Umno ialah juga pemimpin kepada wanita BN yang disertai rakyat berbilang kaum.

"Justeru itu perlu pilih orang yang ada keupayaan diterima (pelbagai kaum), supaya pergerakan itu bukan sekadar terus relevan namun dihormati," katanya.

Sementara itu Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohamad Faisol Keling berkata calon muka baharu yang lebih muda dalam Wanita Umno wajar diberi peluang menerajui kepimpinan dalam usaha meremajakan pergerakan itu sesuai dengan cabaran senario politik masa kini.

"Dalam pergerakan Wanita Umno kini kita lihat wujud beberapa kelemahan yang sepatutnya dikaji semula, sekiranya nak perkukuh maka ia bukan sekadar mengambil kira faktor luaran sahaja tetapi pengukuhan perlu datang dari dalam organisasi itu sendiri. "Golongan muda untuk mengisi jawatan utama misalnya adalah relevan dalam senario semasa untuk melihat transformasi yang lebih baik dalam Wanita Umno," katanya.

Mengenai kabinet baharu, penganalisis politik Prof Dr Ramlah Adam berkata memandangkan lebih separuh daripada rakyat Malaysia ialah golongan wanita, justeru, penyertaan golongan itu dalam kabinet adalah perlu untuk mewakili hasrat dan aspirasi mereka dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Beliau berkata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon dan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said berpotensi untuk menyertai kabinet baharu itu, yang dijangka dibentuk esok.-BERNAMA

Tiada ulasan: