Selasa, 7 Mei 2013

Kerajaan BN Sedia Dengar Suara Rakyat, Terima Nasihat & Teguran - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Mengambil semangat kebertanggungjawaban sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, Barisan Nasional (BN) akan sentiasa bersedia mendengar suara rakyat dan menerima sebarang bentuk nasihat serta teguran dalam memberikan khidmat terbaik kepada mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata mandat yang diberikan rakyat untuk terus menerajui negara adalah satu amanah besar yang mesti dilaksanakan dengan sempurna.

"Kita telah membuat satu aku janji kepada rakyat dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang, Insya-Allah, akan kita laksanakan sebaik mungkin.

"Dengan mandat ini juga, kerajaan BN akan dapat meneruskan usaha transformasi yang sedang berlangsung dan Insya-Allah dengan izinNya jua, kita dapat mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Isnin, beliau berkata Pengerusi BN itu berjaya memimpin parti gabungan itu dengan memenangi PRU-13.

"Sesungguhnya dalam tempoh empat tahun yang lalu, beliau telah berusaha dengan amat gigih dengan mengorbankan seluruh jiwa dan raga demi memastikan kemenangan BN.

"Maka, sewajarnyalah seluruh anggota BN memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib untuk terus menakhodai parti dan kerajaan," katanya.

Muhyiddin, yang turut melahirkan rasa syukur terhadap pemberian mandat rakyat untuk membolehkan BN mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang, berkata keputusan pilihan raya kali ini menunjukkan wujudnya polarisasi kaum dalam trend pengundian.

"Ini adalah sesuatu yang tidak sihat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Kita tidak boleh membiarkan satu kaum menyokong satu pihak, manakala kaum yang lain menyokong pihak yang satu lagi," katanya.

Menurutnya keadaan itu jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara kaum dan mengundang ketidakstabilan politik.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta semua pihak bermuhasabah untuk bersama-sama mencorakkan masa depan politik negara dalam acuan persefahaman, perpaduan dan kerjasama antara kaum yang lebih jitu.

Beliau turut menggesa rakyat supaya bersama-sama perdana menteri untuk mewujudkan Malaysia yang lebih bersatu-padu, makmur dan progresif.

Langkah itu penting kerana dalam tempoh tujuh tahun akan datang, semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama perlu bersatu hati menggiatkan usaha menjayakan transformasi nasional untuk membolehkan Malaysia mencapai cita-cita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik supaya kembali bersatu.

"Lupakan segala sengketa semasa pilihan raya dan anggaplah ia sebagai sebahagian daripada proses demokrasi matang yang sedang dilalui oleh rakyat negara kita," katanya.

Muhyiddin turut meminta pihak pembangkang supaya menghormati keputusan rakyat yang telah memberikan mandat kepada BN untuk menerajui negara dan mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya, sebagaimana BN menghormati dan menerima keputusan rakyat di negeri-negeri yang dimenangi pembangkang.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin parti-parti komponen BN, seluruh jentera BN, pendukung parti dan semua pihak yang telah menyumbang kepada kemenangan BN sama ada secara langsung atau tidak langsung. - BERNAMA

Tiada ulasan: