Isnin, 20 Mei 2013

‘Utusan’: Tiada iklan AirAsia sehingga Azran Rani Omar minta maaf

Azran Osman Rani - Si botak yang lupa asal usul
Harga iklan syarikat penerbangan AirAsia lebih murah daripada iklan-iklan kecil yang lain, kata Awang Selamat dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini, serta menggesa ketua pegawai eksekutif anak syarikatnya, AirAsiaX, Azran Osman Rani, meminta maaf.

Awang Selamat dalam ruang kolum tersebut mendakwa harga iklan yang diberikan kepada AirAsia adalah terlalu murah dan tidak memberikan sebarang keuntungan kepada Utusan Malaysia, malah lebih rendah daripada iklan-iklan kecil yang lain.

"Tanpa Air Asia, Utusan tidak akan hadapi sebarang masalah. Lagipun nilai iklan yang diberi sangat kecil, lebih rendah daripada iklan jamu dan rawatan rambut," kata Awang Selamat yang dipetik berkata dalam akhbar tersebut.


Selain itu, Awang Selamat juga mencadangkan Utusan Malaysia supaya menerima permohonan sebarang iklan daripada syarikat penerbangan tambang murah itu selagi Azran tidak meminta maaf kepada akhbar milik Umno tersebut.

"Biarlah iklan syarikat itu ada pada akhbar lain tetapi bukan Utusan," kata Awang Selamat lagi.

Dalam ruangan kolum Mingguan Malaysia hari ini, Awang Selamat berkata AirAsia sepatutnya bersyukur kerana Utusan Malaysia tidak pernah menulis atau mengkritik mereka dengan artikel negatif.

"Awang juga tidak mahu mengungkit betapa Utusan telah banyak memberi bantuan antaranya, dengan tidak menyiarkan banyak perkara negatif berkaitan AirAsia," kata Awang Selamat yang dipetik dalam Utusan Malaysia hari ini.

Dalam ruang itu lagi, Awang Selamat juga membuat perbandingan antara AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS), yang mana menyifatkan MAS sebagai memiliki khidmat yang lebih baik dan kental nasionalismenya.

"Kepada yang berbudi kita berbahasa, terutama penerbangan Malaysia yang servisnya lebih baik dan kental nasionalismenya," kata Awang Selamat lagi.

Azran sebelum ini dilaporkan mengkritik pendirian editorial akhbar itu menerusi akaun Twitter beliau.
Beliau dilaporkan meluahkan rasa jengkelnya terhadap isu perkauman yang dimainkan editor akhbar tersebut akhir-akhir ini.

Beliau dilaporkan turut mengkritik Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai pertubuhan tidak relevan yang menyebabkan orang Melayu berfikiran sempit.

Dalam reaksi balas, akhbar milik Umno itu kemudiaan menyiarkan kenyataan dari pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan juga kenyataan aktivis anti-PKR yang antara lainnya menyelar Azran sebagai "bongkak" dan "lupa diri".

Berang dengan tulisan Azran, pemangku presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar dalam laporan Utusan berkata, eksekutif tersebut "angkuh" kerana lupa bahawa beliau mungkin tidak mampu berada di kedudukan tersebut tanpa "kuasa Melayu yang diperjuang Utusan Malaysia".

"Tidakkah Azran terfikir lesen yang dikeluarkan kerajaan kepada Air Asia adalah kerana pada peringkat awalnya syarikat penerbangan itu dimiliki orang Melayu?," Abdul Rahman dilaporkan berkata.

Tiada ulasan: