Jumaat, 24 Mei 2013

'Siasatan kes bertaraf dunia'

Datuk Akhtar Tahir
SHAH ALAM: Siasatan yang dijalankan polis dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya disifatkan bertaraf dunia.

Hakim Datuk Akhtar Tahir, sebelum mensabit dan menjatuhkan hukuman terhadap peguam N Pathmanabhan, 44; pekerja ladang T Thilaiyalagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, berkata, walaupun siasatan yang dijalankan itu bukan 100 peratus ‘mengikut buku’, siasatan menyeluruh sudah dijalankan polis selain penyiasat komited untuk menyelesaikan jenayah berkenaan.


Bicara lebih 100 hari

“Tidak mungkin dapat menjalankan siasatan mengikut buku secara 100 peratus kerana sebaik saja seseorang penyiasat berada di tempat kejadian, banyak faktor yang perlu dilihatnya.

“Walaupun disiasat ketika soal balas, saya menganggap siasatan polis dalam kes ini adalah siasatan bertaraf dunia,” katanya.

Isu mengenai cara siasatan kes itu, katanya, ditimbulkan oleh pembelaan pada prosiding kes berkenaan.

Pada masa sama, Akhtar turut menyifatkan profesionalisme yang ditunjukkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes itu juga bertaraf dunia.

Katanya, selepas lebih 100 hari kes itu dibicarakan di hadapannya, beliau bernasib baik kerana ia dilakukan bersama-sama sepasukan pendakwaan dan pembelaan yang profesional.

“Saya sangat kagum dan gembira dengan prestasi peguam bela yang bukan hanya mahu membuktikan tertuduh tidak bersalah, malah juga memperlihatkan fakta kes yang mungkin dapat atau tidak membantu kes mereka,” katanya.

"Bagaimanapun, bagi saya, mereka sudah menjalankan tugas mereka dengan mengagumkan.

"Saya tidak pernah lihat proses perundangan sedemikian dalam mahkamah saya. Saya mengiktiraf kedua-dua pendakwaan dan pembelaan yang membantu di mahkamah sehingga keputusan dicapai hari ini," katanya.

INFO: Kes bunuh Sosilawati
Saksi Pendakwaan 108
Saksi Pembelaan 30
Bahan bukti dikemukakan 742

Tiada ulasan: