Rabu, 1 Februari 2012

Selayaknya dia dapat

SHAH ALAM - Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abd Jalil Ali antara 34 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Selain beliau, turut menerima darjah sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Shaharudin Abdul.

Manakala, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama mengetuai senarai 279 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan.

Turut menerima SUMW ialah Yang Dipertua Persatuan Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Hassan Omar.

Lima penerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri pula ialah Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ahmad Kabit; Pengerusi KUB Malaysia Berhad, Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad; Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong Ten Soo dan Timbalan Presiden Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia, Datuk Seri Mohamed Iqbal Kuppapitchai Rawther.

Selain Abd Jalil, seramai 33 lagi dianugerahkan PMW, antaranya Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr Khair Mohamad Yusof; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Datuk Dr Che Abdul Rahim Nik.

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Melawati, Putrajaya pagi ini.

Tiada ulasan: