Khamis, 19 April 2012

Mahasiswa boleh berpolitik? hancurlah negara selepas ini...

Entah bagaimanalah nasib anak cucu aku esok apabila mereka berdepan dengan pekerja yang langsung tidak profesional dalam bidang atau profesion masing-masing.

Maksud aku, kalau anak cucu aku nak beli rumah, nak ke hospital atau klinik jika sakit demam, nak memandu kereta atau menunggang motosikal di jalan raya, nak ke pejabat untuk urusan harta dan macam-macam lagi?

Adakah rumah yang akan dibelinya tidak selamat kerana strukturnya tidak kukuh dan dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan. Adakah apabila ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan, sakit dan demam anak cucu aku makin teruk?

Atau selamatkah mereka ketika berada di jalan raya kerana dikhuatiri jalan akan berlubang, berlopak sana sini sehingga tinggal tanah, bukan lagi tar? Apa agaknya akan berlaku setelah anak cucu aku ke pejabat tanah, pejabat Pos, pejabat hasil dalam negeri dan sebagainya untuk selesaikan urusan?

Untuk makluman, aku ada sebab untuk bertanya, untuk bimbang, untuk berasa cemas dan gundah gulana memikirkan nasib dan masa depan anak cucu aku, sebabnya ketika anak cucu aku sudah meningkat remaja, mereka ketika itu sudah berdepan dengan kakitangan kerajaan atau swasta yang sebelum ini menuntut di universiti terutama bermula tahun 2012 dan 2013.

Kenapa dengan mereka yang menuntut di universiti atau kolej bermula tahun 2012 dan 2013? Apa kena mengena dengan masa depan anak cucu aku dan tahun itu?

Kalau tuan-tuan nak tahu, penuntut tahun itulah antara mereka yang pada aku paling tidak berkualiti. Mereka berada di universiti dan kolej mengikut bidang masing-masing bukan untuk belajar, tapi berpolitik.

Apabila mereka berpolitik terutama yang memihak kepada pembangkang, sudah tentu kualiti mereka tidak terjamin. Mereka belajar di universiti dan kolej sampai tamat, tapi kebanyakan mereka gagal mendapat keputusan cemerlang.

Dan mereka-mereka ini mendapat pekerjaan sebagai doktor, jurutera, juruteknik, mekanik, guru, pegawai tadbir, kerani, posman dan macam-macam kerja lagi itu bukan kerana mendapat keputusan cemerlang, tapi kerana pengaruh mereka dalam politik.

Itulah yang saya maksudkan. Kalau jadi doktor, bukan doktor yang profesional. Begitu juga kalau jadi jurutera, bukan mendapar jawatan itu melalui keputusan yang layak, tapi kerana panel penemuduga takut kepada mereka sebab mereka berpengaruh dalam politik.

Justeru, mereka adalah doktor yang boleh mematikan rama pesakit dan jurutera yang boleh meragut nyawa orang ramai yang membeli rumah tidak tahan lama, rumah yang cepat siap dan mudah runtuh.

Inilah yang aku bimbang. Mereka akan menghabiska masa siang dan malam berpolitik sehingga mengabaikan pelajaran.

Mahasiswa Dibenar Berpolitik Tanpa Sekatan

KUALA LUMPUR: Perbahasan selama lebih tiga jam jam menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 dengan pindaan bagi memberi kebenaran penuh tanpa sekatan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menyertai dan menjadi ahli serta memegang jawatan sebarang parti politik.

Rang undang-undang itu menyaksikan kerajaan meminda Fasal 5 dengan memotong sepenuhnya perenggan dalam seksyen 15(2)(c) yang melarang pelajar daripada bertanding dalam pilihan raya bagi memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar di dalam kampus jika pelajar itu memegang apa-apa jawatan dalam sesuatu parti politik.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan menerima cadangan usul yang dikemukakan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBCC).

"Kementerian bersetuju supaya perenggan ini dipotong," katanya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini, menerusi rang undang-undang yang dibacakan kali pertama pada 9 April lalu melarang mahasiswa bertanding dalam pilihan raya atau memegang apa-apa jawatan dalam sebarang pertubuhan atau kumpulan pelajar dalam kampus jika memegang jawatan parti politik.

Sementara itu, ketika membentangkan usul bagi meminda Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, Khairy berkata, sebarang pindaan yang dilakukan kepada undang-undang usang hendaklah bertepatan dengan hasrat perubahan dan juga norma sosial yang mendasari kehendak kepada pindaan tersebut.

"Tujuan larangan yang dicetuskan oleh subseksyen 15(2)(c) adalah bertujuan untuk mengekalkan keberkecualian di dalam kampus.

"Sungguhpun kami mengakui keperluan itu agar perjalanan akademik tidak diganggu oleh kegiatan politik, tetapi janganlah sampai kehendak ke arah ini melibatkan sekatan regresif kepada kebebasan yang diberi.

"Bagi kami, larangan ini memberi gambaran bahawa transformasi yang dibawa oleh kerajaan cuma perubahan separuh masak dan akan menimbulkan lebih banyak polemik negatif sedangkan pindaan ini berhasrat untuk memberi kebebasan kepada golongan mahasiswa dan sepatutnya menjadi perkara yang dianggap sebagai pindaan yang popular," katanya.

Malah Khairy menegaskan, pilihan yang diberikan kepada mahasiswa sama ada untuk memegang jawatan politik atau pertubuhan dalam kampus boleh disifatkan seperti tidak mengiktiraf sepenuhnya kebebasan golongan mahasiswa untuk menyertai parti politik.

"Ia umpama melabelkan golongan mahasiswa yang mempunyai keahlian dan jawatan dalam politik sebagai kelompok negatif dalam kegiatan pelajar di dalam kampus, sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah salah satu daripada hak asasi mereka untuk berpersatuan. Ia umpama beri tapi tak beri sepenuhnya.

"Subseksyen 15(2)(c) hanya akan memberi ruang yang sangat besar kepada pembangkang untuk menghentam kerajaan dengan hujah bahawa kerajaan sebenarnya tidak ikhlas dan tidak komited dengan semangat keterbukaan dan pengiktirafan kepada golongan mahasiswa," katanya.

Tiada ulasan: