Jumaat, 9 November 2012

Institusi Pondok Masih Relevan Sebagai Benteng Pertahan Identiti Melayu – Islam : Najib



KUALA LUMPUR, 8 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata institusi pondok masih relevan pada masa kini kerana ia menjadi benteng dalam mempertahankan identiti Melayu-Islam di rantau ini.

”Ia berfungsi untuk mempertahankan sistem nilai dan kehidupan umat Melayu-Islam Nusantara, yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berucap di majlis ramah mesra bersama warga pondok dan pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di sini, hari ini

Najib menarik perhatian bahawa sistem pondok memenuhi maqasid atau matlamat syariah termasuk agama, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.

Ia mesti dipertahankan kerana sebagai ilmu yang disalurkan oleh institusi pondok boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah dan trend pasca-modenisme yang sedang berlaku, katanya.

Najib berkata dalam menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, “hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap.”

Menurut beliau, banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok dan dibaca oleh orientalis Barat dan musuh-musuh Islam.

Justeru, beliau berkata para ulama dan intelek Islam perlu berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan penghujahan yang mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh.

Pada majlis itu, Najib, yang juga penaung YPPM mengumumkan geran RM100,000 bagi penubuhan sebuah pusat sumber di ibu pejabat yayasan itu.

Beliau berkata geran itu harus digunakan untuk mengumpul bahan-bahan ilmiah, manuskrip dan jurnal, serta sebarang penerbitan atau catatan berkaitan sejarah pondok, ulama pondok dan karya-karya mereka. - Umno Online.

Tiada ulasan: