Jumaat, 9 November 2012

Sekolah Pondok dipertahan


AMPANG: Institusi pondok di negara ini masih relevan kerana ia menjadi benteng mempertahankan identiti Melayu-Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata institusi ini perlu dipertahankan kerana ilmunya boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah serta trend pascamodenisme yang sedang berlaku.
Beliau berkata, sistem pondok memenuhi maqasid syariah meliputi hal agama, akidah, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.

“Banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok, malah ia turut dibaca oleh orientalis Barat dan musuh Islam,” katanya berucap pada majlis pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di Masjid Taman Bukit Indah di sini, semalam.

Beliau berkata, ulama dan intelek Islam perlu berdiri satu saf untuk melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh Islam.

“Bagi menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, maka hujah daripada teks pondok sangat mantap.

“Banyak kitab lama seperti karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Abdul Qadir al-Patani dan Sheikh Zainal Abidin al-Patani mengandungi penerangan jelas mengenai pelbagai hal agama serta worldview bangsa Melayu,” katanya. 
 
Sementara itu, Najib berkata, perlu disedari liberalisme dan pluralisme antara ancaman terbesar umat Islam di negara ini, malah fahaman itu sedang menular dan menggugat keharmonian serta kestabilan kehidupan beragama dan bermasyarakat.

Katanya, ada pihak jelas silap konsep kemajmukan sehingga melihat semua agama sama, sedangkan soal akidah mesti dipertahankan tanpa kompromi walaupun wujud nilai sejagat yang dikongsi bersama antara agama.

Beliau berkata, sungguh malang apabila golongan mengamalkan fahaman silap itu disokong pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan mereka.

“Mutakhir ini, banyak tuduhan dan kenyataan tidak bertanggungjawab dibuat mengenai agama Islam dan amalannya di negara kita. Majoritinya tidak berdasarkan ilmu dan dibuat bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

“Malangnya lagi, pengikut orang yang mengeluarkan pendapat itu juga kurang pengetahuan, lalu mudah mempercayainya.

“Mereka hanya mengulangi apa yang didengar tanpa memahami konsep sebenar dan tidak mampu membuat penilaian secara objektif.

“Mereka berdebat serta mempertikai tanpa memahami asal-usul perkara itu secara mendalam atau berdasarkan ilmu pengetahuan secukupnya, malah sewenang-wenang menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang benar,” katanya.

Najib berkata, agama, bahasa, pendidikan dan tempat ibadat adalah isu sensitif, justeru masyarakat jangan terbawa-bawa dengan sikap liberal melampau tanpa mengambil kira perasaan atau sensitiviti dan ketegangan kaum ketika membicarakannya secara terbuka dan bebas. - BERITA HARIAN

Tiada ulasan: