Mayat Sudarmin ditemui
anggota pasukan SAR, dengan bantuan ROV, di mana kaki mangsa terbelit
tali nilon yang mempunyai pencangkuk besi. - Foto Bernama
KUANTAN: Mayat seorang anak kapal ‘FMSUV FOS LEO’ yang sebelum ini dikhuatiri terjatuh di 86.8 batu nautika dari Tanjung Berhala, Kemaman, Terengganu pada Ahad lalu, ditemui pagi tadi.
Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) Sudarmin Aminuddin, 31 dilaksanakan pada kedalaman 70 meter di lokasi sama pada jam 3.30 pagi tadi.“Mayat ditemui anggota pasukan SAR, dengan bantuan Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) dan berdasarkan monitor ROV, kaki mangsa terbelit tali nilon yang mempunyai pencangkuk besi.
“Kerja-kerja untuk menaikkan mayat sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bagi mengelak keadaan mayat tersebut daripada terjejas,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan perlu dijalankan dengan segera, memandangkan keadaan laut semakin bergelora dan Kapal KM Amanah juga telah bersedia di lokasi penemuan mayat itu untuk membawa balik mayat ke pelabuhan.
Sudarmin yang berasal dari Tawau, Sabah dilaporkan sedang menjalani latihan menyelamat “Fast Rescue Force” di atas kapal berkenaan, sebelum terjatuh ke dalam laut, pada petang Ahad lepas.
Sebaik menerima maklumat berhubung perkara itu, Maritime Rescue Command Centre (MRCC) telah menghubungi Maritime Rescue Sub Centre Kuantan (MRSC), bagi memaklumkan kejadian itu.
Operasi SAR telah diaktifkan pada 14 Februari lalu jam 3.30 petang dan Wilayah Maritim Timur (WILTIM) telah mengarahkan kapal KM Redang ke lokasi kejadian bersama tujuh penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diketuai seorang pegawai dari Tanjung Gelang, Kuantan.
Pada masa sama, pihak kapal berkenaan turut melakukan kerja SAR, dengan menggunakan bot keselamatan, namun tidak menemui mangsa.
Dilaporkan, ketika kejadian, keadaan laut dengan ombak satu hingga 1.5 meter, manakala tiupan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam.
Sementara itu, jenazah Sudarmin akan dibawa pulang ke Tawau untuk dikebumikan.
Menurut kakak mangsa, Hariayati Aminuddin, syarikat mangsa bekerja telah berjanji akan membawa jenazahnya pulang ke Tawau.
“Saya telah dihubungi oleh pegawai tempat adik saya bekerja sekitar 3.30 pagi memaklumkan Sudarmin telah dijumpai.
“Jenazahnya sekarang dalam perjalanan ke darat,” katanya ketika ditemui di Tawau, hari ini. - AL-FATIHAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan