Khamis, 4 Februari 2016

Mukhriz berundur selepas tiga tahun

Mukhriz
Selepas tiga tahun, Kedah sekali lagi mendapat Menteri Besar baharu apabila Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md.Hanipah, 66, dilantik menduduki jawatan itu berkuat kuasa esok.

Pelantikan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 dilakukan selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman pelantikan Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din di Wisma Darul Aman, di Alor Setar sejam selepas Mukhriz mengadakan sidang akhbar di ba­ngunan yang sama.

Pengunduran Mukhriz dan pelantikan Ahmad Bashah sekaligus menamatkan konflik politik yang berlanjutan sejak 20 Januari lalu, apabila Ahmad Bashah mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan pendirian wakil rakyat dan ketua bahagian UMNO negeri itu hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Walaupun pada mulanya Mukhriz cuba bertahan namun ia tidak kekal apabila Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang mengadakan dua pertemuan secara berasingan dengan ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada kelmarin dan semalam bersetuju beliau tidak lagi mendapat sokongan bagi mentadbir negeri Kedah.

"Apa yang paling ketara beliau kehilangan sokongan daripada wakil-wakil rakyat daripada partinya sendiri, biarpun ADUN-ADUN pembangkang cuba menyebelahi beliau,," kata satu sumber ketika dihubungi di Alor Setar hari ini.

Sumber itu berkata, berikutan keadaan itu Mukhriz dilihat akan mampu menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan berkesan dan ia boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

"Oleh itu keputusan terpaksa dibuat, Mukhriz diminta mengundurkan diri bagi membolehkan Menteri Besar yang baharu dilantik," kata sumber berkenaan.

Berhubung dakwaan bahawa Mukhriz sebenarnya keberatan untuk meletakkan jawatan, sumber itu berkata, sebagai seorang yang taat kepada Sultan Kedah dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, semua pihak yakin Mukhriz akan akur apabila diperintah berbuat demikian.

"Atas sebab itulah malam tadi, kita sudah menjangkakan bahawa penggantian Menteri Besar pasti akan berlaku," kata sumber berkenaan.

Kali terakhir Kedah menyaksikan pertukaran jawatan Menteri Besar ialah pada tahun 2013, apabila Allahyarham Tan Sri Azizan Ahmad yang mengemudi Pas merampas negeri itu dalam pilihan raya umum 2008 terpaksa berundur selepas parti tersebut tumbang dalam pilihan raya umum 2013.

Sebelum Azizan, lima lagi Menteri Besar Kedah turut dicatatkan terpaksa turun dalam keadaan kontroversi iaitu Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabudin, Tan Sri Osman Aroff, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran