Laungan ‘Qu Puteh...Qu Puteh...Barulah Puteh’ yang bergema di
Stadium Sultan Muhammad IV ketika majlis memperkenalkan pasukan
Kelantan kelmarin membuatkan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman amat terharu
dan bersemangat untuk membantu perjuangan skuad Kijang dalam saingan
Liga Malaysia (Liga M), musim ini.
Lebih 20,000 penonton membanjiri stadium untuk majlis memperkenalkan pemain, disusuli dengan perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur, yang berkesudahan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) tewas 0-2.
Malah, penyokong juga langsung tidak berganjak dari tempat duduk sepanjang perlawanan biarpun hujan lebat membasahi stadium, sebaliknya mereka menggamatkan suasana dengan laungan Qu Puteh...Qu Puteh...Barulah Puteh’.
"Ini adalah kali pertama saya membuat penampilan rasmi di depan puluhan ribu penyokong Kelantan, selaku Penasihat Kehormat Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan).
"Saya amat terkejut (dengan reaksi penyokong) sehingga meremang bulu roma saya.
"Saya akan bersama mereka di setiap penjuru dan saya rasa, sokongan itu juga datang daripada penyokong-penyokong perempuan yang julung kali menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium," kata Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, majlis memperkenalkan pemain PQPTRW kepada umum dibuat Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sebelum sepak mula aksi persahabatan yang menyaksikan tuan rumah tewas kepada pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur menerusi jaringan Madibo Konte dan penalti Leonardo Moreira.
Mohd. Badhri Radzi selaku ketua pasukan mengetuai majlis pengenalan pemain, diikuti penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain lain.
Kembalinya pemain yang dianggap legenda, Indra Putra Mahayuddin memberi nafas baharu kepada PQPTRW, sekali gus mengembalikan minat penyokong untuk ke stadium.
Malah, kehadiran pemenang Kasut Emas Liga Super musim lalu, Dramane Traore turut melengkapkan skuad kendalian K. Devan dan meletakkan mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan musim ini.
Dalam perkembangan lain, penyokong Kelantan mungkin terpaksa menunggu sehingga hujung bulan ini untuk melihat stadium keramat berusia 49 tahun itu bertukar kepada merah jambu ekoran proses pemilihan cat yang dikehendaki masih belum sesuai.
SKUAD KELANTAN MUSIM 2016
PENJAGA GOL
Khairul Fahmi Che Mat (penolong kapten), Mohd. Shahrizan Ismail, Ramadhan Abd Hamid.
PERTAHANAN
Norhafiz Zamani Misbah, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Mohd. Daudsu Jamaludin, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Farisham Ismail, Jonathan McKain (Australia), Zairul Fitree Ishak, Mohd. Noor Hazrul Mustafa, Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin, Mohd. Qayyum Marjoni Sabil, Mohamed Zafran Akramin Abd Razak.
TENGAH
Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Badhri Radzi (kapten), Brendan Gan, Jonatan Lucca (Brazil), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Indra Putra Mahayuddin (penolong kapten), Mohd. Rozaimi Azwar Mat Noor, Mohd. Amir Zikri Mohd Pauzi.
PENYERANG
Dramane Traore (Mali), Blazhe Ilijoski (Macedonia), Mohd. Norfarhan Muhammad, Abdul Manaf Mamat, Mohd. Faizal Abu Bakar, Mohd Khairul Izuan Rosli, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan