Jumaat, 26 Februari 2016

Pesawat TUDM mendarat cemas dalam hutan paya bakau


Suasana hening pagi Jumaat di Pantai Asam Jawa, Kuala Selangor bertukar kalut tiba-tiba selepas sebuah pesawat pengangkut milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235 terbang rendah sebelum melakukan pendaratan cemas di sekitar hutan paya bakau di kawasan itu.

Lokasi itu cuma sekitar 300 meter dari pantai dan kejadian pada jam 8.40 pagi itu melibatkan lapan anggota TUDM.

Mereka semuanya dilaporkan selamat kecuali seorang patah tangan.
Ia berlaku sekitar 15 minit selepas pesawat berlepas dari TUDM Subang. Mereka diselamatkan oleh beberapa nelayan yang berada berhampiran lokasi nahas.

Pihak TUDM telah membawa semua mereka ke Pengkalan Udara TUDM Subang.

Lapan anak kapal terdiri dari tiga berpangkat Major dan masing-masing seorang Kapten, Leftenan, Pegawai Waran dan dua Sarjan Udara.

Gambar-gambar yang beredar di media sosial menunjukkan pesawat tersebut berlegar-legar sebelum mendarat cemas dan terbakar.

Dari jauh kelihatan asap yang menjulang tinggi dari kawasan hutan bakau itu. Pesawat terapung di atas air dan sebahagiannya kelihatan terbakar.

CN235 ialah pesawat ringan TUDM buatan Indonesia.
 
BERITA AWAL SEBELUM INI:

Sebuah pesawat milik TUDM terhempas di kawasan hutan bakau di pantai berdekatan Asam Jawa, Kuala Selangor, kira-kira jam 8.40 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Ruslan Abdullah mengesahkan perkara itu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah pesawat berkenaan yang terbakar.

"Penumpang berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada di situ.

"Anggota penyelamat yang bergegas ke sana nampak asap dari arah 200 meter dan mereka terpaksa memasuki kawasan dengan menggunakan bot," katanya.

Sementara itu, TUDM dalam reaksi segeranya berkata akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

TUDM juga akan berusaha untuk membuat recovery pesawat tersebut.

Tiada ulasan: