Masalah enjin gagal berfungsi memaksa pesawat Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan pendaratan kecemasan di
kawasan pantai berpaya di sini, pagi Jumaat kata polis.
Walaupun semua lapan pegawai TUDM terselamat, polis berkata seorang
nelayan lemas semasa cuba mengeluarkan mangsa keluar dari pesawat jenis
CN235 itu.
Pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan TUDM Subang kira-kira pukul
8.30 pagi untuk menjalani sesi latihan rutin dan mengeluarkan isyarat
kecemasan 10 minit kemudian.
Anak kapal yang diketuai juruterbang Mohd Azri Yacob, 41, kemudiannya
melakukan pendaratan cemas di perairan cetek dekat kawasan berpaya
berhampiran Taman Malawati Utama.
Berlaku kebakaran kecil di bahagian tengah pesawat kesan hentakan kuat.
Namun sekumpulan nelayan yang berada di lokasi kejadian bergegas membantu mengeluarkan anggota di dalam pesawat tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritenden Ruslan Abdullah berkata
seorang nelayan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa selepas terjerlus
di kawasan berlumpur.
Pembantu juruterbang Ahmad Syazwan Mohammed, 32, patah tangan kirinya manakala mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Anggota lain yang turut berada di dalam pesawat itu adalah Mejar
Muhamed Afizan Jaafar, 32; Kapten Nurul Azrie Rofdi, 32; Leftenan Meor
Ahmad Ali Meor Abdul Wahab, 26; Pegawai Warran 2 Muhd Sayfull Neezam
Abdul Manan, 35; Sarjan David Tonge, 35 dan Sarjan Suhaila Pathil, 33.
Mayat nelayan yang mati lemas itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang
manakala pegawai TUDM diterbangkan semula ke Pangkalan TUDM Subang.
"TUDM sedang menyiasat punca kemalangan itu dan akan mengeluarkan pesawat dari lokasi kemalangan yang terbenam di dalam lumpur.
"Ia akan mengambil masa selama dua hari. Polis dan anggota bomba masih
berada di lokasi untuk memberi bantuan kepada TUDM," kata Roslan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan