Sebaik sahaja meninggalkan Wisma Darul Aman selepas
mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar, Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir pulang ke rumah keluarganya di Titi Gajah, Kepala
Batas dekat sini.
Puluhan kenderaan diletakkan di tepi jalan utama serta di kawasan rumah tersebut dengan ahli keluarga serta para penyokong tidak putus-putus mengunjunginya.
Beberapa khemah putih turut didirikan bagi menyambut kedatangan serta menjamu tetamu yang hadir.
Awalnya suasana kelihatan tenang dan ceria seolah-olah tiada apa yang berlaku, namun masing-masing mula sebak sewaktu ketibaan ibu Mukhriz, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dari Kuala Lumpur di rumah berkenaan pada pukul 11.50 pagi.
Sebaik sahaja bertemu, dua beranak itu berpelukan di hadapan kaum keluarga serta rakan-rakan termasuk isteri Mukhriz, Tok Puan Norzieta Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra, Datuk Aminuddin Omar serta Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Dr. Siti Hasmah turut memberikan kata-kata semangat kepada anak kelimanya itu.
Bagaimanapun, ayah Mukhriz yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak hadir dan difahamkan beliau menanti ketibaan Mukhriz bersama ahli keluarganya yang akan berlepas ke Kuala Lumpur menaiki pesawat pada pukul 4 petang.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan Mukhriz memaklumkan, kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon mula dikosongkan sejak awal pagi sebelum Mukhriz menuju ke Wisma Darul Aman.
"Beliau terlebih dahulu bersalaman bersama kakitangan di situ serta mengucapkan terima kasih untuk khidmat diberikan sepanjang beliau dan keluarga tinggal di situ.
"Masing-masing bersedih dengan kebanyakan kakitangan di situ mengalirkan air mata ketika pertemuan itu berlangsung," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan