Selasa, 16 Julai 2024
Kenapa parti suka umum calon di saat akhir?
SEBENARNYA banyak soalan nak ditanya kepada pemimpin parti politik, tetapi hari ni Pak Dee hanya nak tanya satu soalan sahaja. Walaupun Pak Dee tahu jawapannya nanti tak logik, tak masuk akal, tapi Pak Dee nak lontarkan juga soalan ni supaya semua rakyat tahu.
Soalannya, kenapa parti politik tak mahu atau nampak macam takut nak umumkan nama calon untuk bertanding pada satu-satu pilihan raya, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri ataupun pilihan raya kecil, lebih awal?
Kenapa, bila esok hari penamaan calon, malam ini baru parti umumkan calonnya yang akan bertanding? Tidakkah, kalau umum lebih awal, memudahkan calon berkenaan masuk kampung-kampung jumpa pengundi?
Tidakkah, masa berkempen dua minggu yang diperuntukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cukup untuk calon turun berkempen, memperkenalkan diri dan menjanjikan itu ini kepada pengundi?
Kenapa, semua parti nampak macam selaras dalam bab dan hal mengumumkan calon lebih awal? Takut ada sabotaj dari dalam parti sendiri? Mustahil. Kalau bab sabotaj, umum pada malam penamaan calon boleh boleh sabotaj.
Dalam hal sabotaj ni sama macam kerja meroboh. Tak perlu ambil masa lama untuk menjatuhkan seseorang calon atau meruntuhkan sesebuah rumah atau bangunan. Dalam tempoh seminggu berkempen pun calon itu boleh dijatuhkan, kalau betul takut disabotaj.
Pada Pak Dee, kalau parti umum awal nama calon, yang nak sabotaj pun boleh diperbetulkan semula sebab calon dan jentera parti ada masa cukup untuk tangkis dakyah kotor si pensabotaj dan perbetulkan semula persepsi pengundi terhadap parti dan calon.
Inilah antara persoalan yang bermain dalam minda Pak Dee setiap kali berlaku pilihan raya umum atau pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil. Ingat kan, bila umum saat-saat akhir, calonnya seorang yang gah dan hebat, tapi rupanya, orang biasa saja.
Jadi, kalau calonnya orang biasa, yang sudah dikenali umum, kenapa perlu diumumkan pada hari terakhir penamaan calon? Kan menyusahkan pengundi dan parti itu sendiri.
Kenapa Pak Dee kata menyusahkan parti? Sebab kalau dekat dengan tempoh pilihan raya, akan ada pemimpin yang syok sendiri turun ke kampung-kampung jumpa penduduk. Adakan kenduri, adakan perjumpaan, anjur sukaneka dan sebagainya.
Mereka turun padang seolah merekalah calon, dan memaklumkan kepada penduduk, parti akan pilihan mereka sebagai calon nanti. Tetapi, bila tiba masa, parti umum orang lain sebagai calon di kawasan itu, dah tentu akan merosakkan nama baik parti.
Sebabnya, pemimpin yang dari awal lagi turun padang berkempen untuk dirinya, akan memesong pemikiran penduduk supaya tidak memberi undi kepada calon lain, selain beliau.
Tidakkah ini merosakkan parti? Dan ini selalu berlaku, hatta di depan mata Pak Dee. Ia bukan kes terpencil, ia adalah perkara biasa yang berlaku di hampir semua kawasan Parlimen mahupun DUN.
Yang merasakan dirinya layak jadi calon, akan turun berkempen untuk dirinya. Hinggakan penduduk sudah mula rasa kasih dan sayang kepada pemimpin itu. Tapi, bila orang lain dicalonkan, secara automatik penduduk merasa kecewa dan merosakkan undi.
Pada Pak Dee, benda maca mini (umum calon lebih awal) perkara mudah saja. Mudah untuk dapatkan sokongan pengundi, mudah untuk calon memujuk pengundi atas pagar dan sebagainya.
Namun, pemikiran Pak Dee jauh berbeza dengan pemikiran pemimpin politik. Mereka sengaja mahu pikul benda yang susah daripada melaksanakan benda yang mudah lagi senang.
Jadi, memang betullah ramai orang berkata, politik itu berbelit-belit. Politik itu mudah bagi yang berpandangan positif dan sudah bagi yang bersifat negatif. Mereka suka kepada benda yang tergesa-gesa dan bertindak di akhir tarikh penutup. – NasionalDaily Siaran 13 Julai 2024
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Dah tentu 6 MP boleh tarik nafas lega
LEGA.. itulah yang boleh dinyatakan mengenai perasaan enam Ahli Parlimen bekas Parti Bersatu, apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan tidak akan mengisytiharkan kerusi mereka dikosongkan.
Yang tak lega dan tak puas hati tentulah pimpinan dari Parti Bersatu. Mereka mengharapkan enam kerusi Parlimen itu dikosongkan dan diadakan pilihan raya kecil untuk dirampas semula.
Tapi, malangnya harapan mereka tak menjadi kenyataan. Biasalah, pembangkang tidak boleh menaruh harapan pihak kerajaan akan memberi keputusan yang memuaskan hati, walaupun mereka mendakwa berlaku pelanggaran akta dan perlembagaan parti.
Keputusan atas sesuatu akta ini sama seperti lain padang, lain belalang. Tafsiran pihak kerajaan tentunya tidak akan sama dengan tafsiran pembangkang, walaupun mereka merujuk kepada akta yang sama.
Tafsiran sesuatu akta boleh berubah bila-bila masa walaupun dianggap tidak logik. Pembangkang kata, mengikut perlembagaan mereka, enam kerusi berkenaan perlu dikosongkan, tetapi kepada pihak kerajaan yang menentukan, mengatakan tidak perlu dikosongkan.
Adakah salah satu daripada dua pihak ini cuba mempermainkan akta mengikut tafsiran tersendiri? Tepuk dada tanya selera. Keputusan yang mengecewakan pembangkang bukan perkara baharu dan bukan baharu berlaku.
Ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dahulu pun, mereka buat perkara yang sama kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang. Begitu juga ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, pun buat benda yang sama kepada pihak pembangkang.
Sekarang, sesiapa sahaja menjadi pembangkang, harus terima kenyataan dan hakikat itu. Mereka tidak akan merasa ketidakpuasan hati dengan tindak tanduk kerajaan.
Dalam hal ini, perlembagaan parti dan akta tidak salah. Perlembagaan mendapat kelulusan daripada ahli parti, manakala akta pula mendapat suara majoriti ahli Dewan Rakyat. Tetapi, kerana mainan politik, perlembagaan dan akta boleh diputarbelitkan mengikut selera masing-masing.
Kita tengok kes di DUN Kelantan. Bawah perlembagaan parti yang sama dan bawah akta yang sama, Speakernya Datuk Mohd Amar Abdullah buat keputusan ada keraguan munasabah untuk mengosongkan kerusi DUN Nenggiri.
Tetapi, bawah perlembagaan parti yang sama dan akta yang sama juga, DUN Selangor masih memeram jawapannya terhadap ADUN Selat Klang.
Kenapa? Sebab DUN Kelantan dan Speakernya bergabung bersama Parti Bersatu bawah PN, sudah tentu keputusan yang dibuat akan memihak kepada rakan gabungannya.
Begitu juga DUN Selangor. Pemerintahannya bawah PH dan ADUN Selat Klang walaupun dari Parti Bersatu dan musuhnya, tetapi kerana mengisytiharkan sokongan kepadanya, tentulah keputusannya nanti bakal mempertahankan ADUN yang pro mereka.
Jadi, apa guna pindaan perlembagaan dan akta? Kedua-duanya hanya hiasan sahaja. Sedangkan, keputusan mutlak terletak kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan.
Sesiapa pun tidak boleh pertikaikan kerana itulah politik. Sistem politik berbeza dengan badan kehakiman. Di mahkamah, setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta. Hakim menjatuhkan hukuman secara adil. Kalau salah hakim kata salah, kalau tak salah hakim kata tak salah.
Lain dengan politik. Yang salah pun boleh dipertahankan kata tidak salah. Sementelah yang tidak bersalah dikatakan bersalah. Itulah bezanya politik dengan badan kehakiman. Politik buat keputusan ikut kepala otak, hakim buat keputusan ikut fakta dan bukti.
Oleh itu, tak ada maknanya kalau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa terkejut, kecewa dan dukacita dengan jawapan Speaker Dewan Rakyat. Beliau kena tengok Speaker itu orang belah mana. Kalau musuh kita, jangan harap keputusannya positif.
Muhyiddin tidak boleh salahkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUNnya, kerana beliau sendiri pun dahulu pernah lompat parti. Beliau dari UMNO lompat menubuhkan Parti Bersatu. Tidak ada pun UMNO ketika itu nak pinda perlembagaan atau desak beliau letak jawatan atau kosongkan kerusi Parlimen Pagoh.
Beliau dibiarkan UMNO berada di luar parti. UMNO tidak hairan pun beliau lompat parti kerana ketika itu belum ada lagi Akta Lompat Parti. Sekarang, beliau menerima hukuman daripada apa yang pernah dilakukannya dahulu terhadap UMNO.
Mungkin Speaker Dewan Rakyat ambil kira tindakan Muhyiddin dahulu dan ini yang dikatakan asbab kepada hukum karma. Kalau Muhyiddin panas punggung dengan keputusan Speaker, inilah yang dirasai UMNO suatu ketika dahulu atas perbuatannya lompat parti.
Untuk tempoh sekarang ini, enam Ahli Parlimen bekas Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim boleh terus berulang alik ke Parlimen dan masih dapat menikmati elaun kehadiran.
Cuma Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri tidak boleh hadir ke sidang DUN Kelantan sebab status wakil rakyatnya sudah dibatalkan dan SPR pun sudah menetapkan tarikh pilihan raya kecil Ogos ini.
Pak Dee nak nasihatkan kepada pemegang kuasa dan mereka yang diberi amanah memegang kuasa, jagalah elok-elok Akta Lompat Parti, jangan kerana perbuatan kita nanti, rakyat akan tukar kepada Akta Lompat Parit. – NasionalDaily siaran 10 Julai 2024
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Perlukah setiap kali kalah, nak post mortem?
PERASAN tak, setiap kali sesebuah parti kalah dalam pertandingan, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, mereka akan adakan post mortem?
Setiap kali kalah juga mereka beri jawapan, akan bedah siasat. Cari punca kenapa calon mereka kalah atau kenapa parti mereka tidak diterima oleh pengundi yang juga rakyat.
Sebenarnya, Pak Dee dah bosan dengan alasan mahu post mortem atau bedah siasat nak cari punca kekalahan. Pada Pak Dee, kalau calon atau parti itu kalah, mudah saja jawapannya, tak perlu nak post mortem atau bedah siasat lagi.
Mereka kalah ada banyak sebab. Pertama, janji bohong. Kedua, cakap tak serupa bikin. Ketiga, muncul hanya hari kempen, selepas pilihan raya menghilangkan diri. Keempat, isu nasional seperti penyasaran diesel (sebenarnya penarikan balik subsidi).
Kelima, kos sara hidup yang semakin hari makin tinggi, makin mahal kesan daripada kenaikan harga diesel dan petrol. Tetapi pihak kerajaan tetap mengatakan harga terkawal. Ini satu pembohongan yang tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat.
Jadi, faktor-faktor semua ini antara sebab rakyat hilang selera untuk menyokong calon-calon yang mewakili kerajaan, seperti yang berlaku pada PRK DUN Sungai Bakap Sabtu lalu.
Kekalahan calon kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan kerana DUN Sungai Bakap kubu kuat pembangkang. Ia juga bukan disebabkan rakyat atau pengundi sukakan calon pembangkang, tetapi kerana kemeluatan (meluat) yang berbuku dalam hati rakyat atau pengundi.
Bila mereka sudah meluat dengan faktor-faktor yang Pak Dee nyatakan di atas tadi, mereka yang sebelum ini menyokong PH pun akan beralih selera memberi sokongan kepada pembangkang. Ini dipanggil protes.
Mereka protes sebab meluat, benci dan marah kepada kerajaan. Kerajaan pula diwakili PKR, DAP, Amanah dan UMNO. Empat parti yang tiap pemimpinnya tidak pernah bercakap benar. Tidak pernah menepati janji dan tidak pernah mengotakan kata.
Antaranya, rakyat masih ingat kata-kata Perdana Menteri ketika menjadi pembangkang dulu… hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun. Apabila Allah makbulkan doanya untuk jadi Perdana Menteri, bukan minyak diturunkan, tapi dinaikkan. Kan bohong namanya. Rakyat pegang ini semua.
Begitu juga ketika jadi pembangkang, janji nak hapuskan PTPTN sebab kononnya duit kerajaan banyak dan boleh bagi pendidikan percuma. Tup tup, bila jadi kerajaan, PTPTN tetap kena bayar. Kan bohong namanya tu. Rakyat pegang kata-kata ini.
Bila dah hampir dua tahun jadi kerajaan, dan satu janji ketika jadi pembangkang dulu tidak ditunaikan, rakyat pun terjemahkah kemarahan dan kemeluatan mereka dalam pilihan raya kecil.
Akhirnya, calon dari kerajaan kalah dan keluarlah kenyataan pemimpin-pemimpin dari parti gabungan ini, nak post mortem. Post mortem apa kebendanya lagi. Dah jelas, terang lagi bersuluh kekalahan itu kerana rakyat kecewa dengan janji yang tidak dikota.
Kehidupan rakyat terutama golongan B40 dan M40 makin hari makin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Kerajaan pula kata, mereka ada RAHMAH. Rakyat boleh beli barang keperluan RAHMAH. Harga murah dan mampu beli. Tapi, kalau nak beli barangan RAHMAH kena pergi ke satu tempat yang dianjurkan.
Ini menyusahkan rakyat namanya. Kena keluarkan duit isi minyak motosikal, minyak kereta, kena bayar tambang pengangkutan awam lagi nak sampai ke tempat RAHMAH. Rakyat mengharapkan harga RAHMAH ini berada di depan rumah, di sebelah rumah atau berhampiran rumah. Bukan ditempatkan di lokasi yang jauh dari mereka.
Jadi, semua ini kerajaan kena kaji semula. Susun semula sistem pentadbiran. Jaga harga, kawal harga betul-betul, bukan sekadar sedap cakap saja, sedangkan rakyat tidak dapat menikmati cakap-cakap itu. Yang rakyat hadapi ialah lain dari yang dicakap.
Mulut menteri kata harga turun, rakyat ke kedai harganya makin tinggi. Jadi, yang mana satu betul? Yang menteri cakap atau yang rakyat berhabiskan duit? Menteri kena berjiwa rakyat, bukan sekadar cakap mendengar denyut nadi rakyat saja.
Kalau ketua-ketua parti faham maksud yang Pak Dee dedahkan ini, masalah kalah dalam pilihan raya tak akan berlaku. Mana-mana menteri yang cakap besar, sombong, bongkak, ego dan walau kalah pun masih nak menyalahkan rakyat, bukan diri sendiri, patut dipecat saja, dibuang ke laut.
Menteri atau pemimpin seperti ini tidak diperlukan. Ia Bagai melukut tepi gantang. Ada tak bertambah, tak ada tak berkurangan. Tapi, kalau dikekalkan ia macam anai-anai, merosakkan struktur bangunan rumah. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Sampai masa muka lama pemimpin dalam persatuan sukan disalin tukar baharu
MEMANG terkejut baca laporan media semalam, MFL iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan entiti perlawanan dalam bola sepak Malaysia telah mengenakan hukuman ke atas pasukan Selangor FC (SFC).
Hukuman itu pada Pak Dee bukan saja tak masuk akal, malah boleh dikatakan sebagai nak ‘membunuh’ terus pasukan atau Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari beraksi.
MFL ialah Liga Bolasepak Malaysia. Tugasnya selain mengurus, ia juga mengatur dan mengendalikan perlawanan. MFL bukan badan penghukum atau membuat duit atas angin dengan kutipan denda dari pasukan yang melakukan kesalahan.
Oleh itu, apabila MFL mengenakan denda atau hukuman ke atas pasukan SFC, Pak Dee terkejut dan marah membara. Takkan begitu zalim MFL bertindak ke atas SFC?
Selain dikenakan denda RM100,000, MFL turut mengenakan beberapa syarat lagi kepada FAS sebagai balasan kerana tidak turun padang berlawan pasukan JDT.
Ketidakhadiran SFC ada sebabnya dan sudah dimaklumkan lebih awal sebaik pemainnya Faisal Halim ditimpa insiden simbahan asid oleh individu tak dikenali.
Sebanyak 40 peratus badan Halim terbakar akibat asid itu dan dirawat di sebuah hospital. Tidak kesiankah MFL akan keadaan yang menimpa Faisal? Mana hilang sifat kemanusiaan?
Itu puncanya FAS tidak menurunkan pasukannya. Tak apalah tak ada mata pun, asalkan semangat persatuan dan pasukan bersama Faisal yang bertarung nyawa di hospital.
Hanya manusia jenis mata duitan yang tak akan ada rasa empati atau belas kasihan dalam dirinya terhadap pemain yang ditimpa musibah. Sebagai tanda solidariti terhadap Faisal, maka SFC tak akan turun bermain.
Jika Pak Dee di tempat MFL dan terima berita seperti ini, apa Pak Dee buat? Dah tentulah Pak Dee panggil semua AJK, adakan mesyuarat tergempar, cari jalan terbaik untuk beri peluang kepada SFC menjalani pemulihan semangat.
Takkan dalam ramai-ramai AJK MFL tak ada seorang yang kreatif dan boleh memberikan pandangan di luar kotak ketika MFL berdepan dengan situasi luar biasa seperti itu.
Pak Dee tak akan guna kuasa veto, iaitu hanya keputusan dari Pak Dee saja boleh diputuskan, suara pihak lain tak boleh diambil, atau tak boleh didengar langsung.
Itu kalau berlaku keadaan seperti sekarang, tapi kalau tak berlaku apa-apa insiden, dah lama Pak Dee letak jawatan beri laluan kepada pelapis muda untuk terajui MFL atau persatuan-persatuan apa sekalipun.
Sama kata pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli. Nak hukum boleh, tapi jatuhkanlah hukuman yang berbentuk pengajaran, bukan hukuman berat berunsur dendam atau nak ‘bunuh’ karier pasukan bola sepak.
Beliau juga sependapat dengan Pak Dee, empat hukuman dikenakan kepada pasukan The Red Giants itu satu hukuman yang agak berat dan zalim. Dahlah pasukan itu ditimpa malang pemainkan diserang dengan asid, MFL lipatgandakan lagi kesakitan yang menimpa SFC.
SFC tarik diri bukan suka-suka, tetapi alasan mereka sangat kuat dan relevan. Malah, Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut merestui tindakan itu dan ia dibuat berdasarkan pertimbangan teliti.
Jadi, memang patutlah semalam, Tuanku baginda murka dalam kenyataan titah berhubung keputusan atau hukuman MFL ke atas SFC dan FAS.
Dalam kenyataan titah, baginda antara lain murka dan kecewa dengan keputusan MFL yang mengenakan denda terhadap pasukan SFC serta baginda menganggap hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak tidak bertanggungjawab.
Baginda juga menyatakan hukuman denda RM100,000 bayaran pampasan, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton sebagai tidak masuk akal dan berlebihan, apatah lagi kemenangan telah diberikan kepada pasukan lawan.
Sultan Sharafuddin menekankan pentingnya sukan bola sepak sebagai platform perpaduan dan menegur MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak serius menangani keganasan dan kezaliman dalam sukan serta mengingatkan mereka agar membuat keputusan dengan berhati-hati demi menjaga imej dan semangat kesukanan bola sepak tempatan.
Pak Dee harap akan ada perubahan dalam arena pengurusan bola sepak Malaysia. Bukan lagi kekal dengan muka-muka lama yang sepatutnya sudah pencen dan bawa anak cucu main bola di taman.
Selagi muka-muka lama yang menyemak ini ada dalam persatuan-persatuan bola sepak, selagi itu sukan bola sepak negara nampak mundur dan malap, semalap baju sukan pasukan kita ke olimpik. Pudar, gelap yang melambangkan kemuraman. – NasionalDaily siaran 27 Jun 2024
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Rabu, 12 Jun 2024
PBB ‘kecam’, ‘kutuk’ pun Israel tetap serang, bunuh rakyat Palestin
PAK DEE sedih dan kecewa dengan sikap dunia seperti pejam mata atas kejadian pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa oleh zionis laknatullah.
Serangan bermula sejak Oktober tahun lalu itu menyaksikan sehingga 27 Mei lalu, lebih kepada 37,000 orang terbunuh dan lebih 82,000 mengalami pelbagai tahap kecederaan.
Semua ini adalah rakyat yang tidak berdosa seperti golongan ibu, bapa, remaja, kanak-kanak dan bayi. Tidak ada satu pun jenazah atau yang cedera itu di kalangan tentera Hamas sebagaimana dijadikan alasan oleh Israel untuk meneruskan pengeboman dan pembedilan kawasan-kawasan penempatan rakyat di Gaza.
Ada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun sekadar patung sahaja. Boneka kepada yahudi dan Amerika Syarikat laknatullah.
Setiap kali berlaku pengeboman oleh Israel dan media melaporkan ada kematian serta kecederaan di kalangan orang awam, apa PBB respons? Keluarkan kenyataan ‘kecam’ dan ‘kutuk’. Tindakan tidak ada.
Esok, zionis laknatullah bom lagi, bedil lagi, serang lagi, bertambah lagi jumlah kematian, kecederaan. PBB ‘kutuk’ lagi, PBB ‘kecam’ lagi. Begitulah sepanjang tempoh lapan bulan genosid Israel ke atas rakyat Palestin.
Selepas ‘dikecam’ dan ‘dikutuk’ PBB, Israel keluarkan kenyataan ‘ada kekeliruan’. Cukup mudah penjajah tanah haram itu beri alasan, dan PBB pun senyap. Seolah menerima alasan itu.
Pak Dee dari dulu lagi tak percayakan PBB. Lantiklah siapa pengerusi mahupun Setiausaha Agung dari negara mana sekali pun, bila pegang jawatan itu, perasaan takut dan gerun kepada Israel tetap tertanam dalam jiwa mereka. Dengan kata lain, tetap patuh kepada yahudi.
Contohnya semalam, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) telah memilih lima lagi negara untuk menganggotai Majlis Keselamatan itu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2025. Negara itu adalah Denmark, Greece, Pakistan, Panama dan Somalia.
Inipun sia-sia. Tidak ada manfaat untuk berperanan memberi kesedaran atau menghukum penjenayah besar seperti Israel dan Amerika. Mereka hanya boleh bangga untuk negara mereka saja dengan pelantikan itu.
Soal peranan dan tanggungjawab hanya di atas kertas sahaja. Dari segi praktikal ke arah mengekang serangan demi serangan yang dilakukan Israel ke atas Palestin, tidak ada.
Mereka hadir mesyuarat sekadar untuk dapat elaun sahaja. Buat teks ucapan ‘mengecam’ dan ‘mengutuk’, baca di Majlis Keselamatan. Selepas itu balik ke negara, minum kopi. Rakyat Palestin tertindas, kebuluran. Tidak ada tempat tinggal, tidak ada makanan, minuman. Keselamatan mereka bagaikan telur di hujung tanduk.
Pak Dee memang tidak mengharapkan langsung kepada PBB. Pak Dee hanya selalu tadah tangan mohon doa kepada Allah agar selamatkan umat Islam di Palestin. Lagipun, kisah yahudi ini terkandung jelas dalam al-Quran. Cuma masa belum tiba untuk umat laknatullah ini dihapuskan sama sekali dari muka bumi ini.
Begitu juga dengan siapa presiden Amerika dan perdana menteri Israel. Mereka adalah golongan yang tetap dilaknat Allah. Golongan yang mempunyai darah daging yahudi, yang dalam jiwa mereka, Palestin adalah musuh dunia akhirat.
Sebab itu Pak Dee tak percaya walau siapa pun jadi presiden Amerika, baik John F. Kennedy, Jimmy Carter, Ronald Reagan, George H. W. Bush, Bill Clinton, George W. Bush Jr, Barack Obama, Donald Trump mahupun Joe Biden. Mereka semua sama saja. Penghisap darah rakyat Palestin dan umat Islam.
Jadi, pada Pak Dee, tak ada PBB pun tak apa. Tak ada Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pun tak apa. Sebab, makin PBB ‘kecam’, makin Israel besar kepala. Makin Mahkamah Antarabangsa keluarkan amaran, makin menjadi-jadi tindakan Israel.
Oleh sebab itu, apa makna ada PBB dan ICJ kalau suara mereka pun Israel dan Amerika tak nak dengar? Cara terbaik ialah Pak Dee ajak seluruh umat Islam, kita pakat tadah tangan berdoa perlindungan dari Allah untuk umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza. – NasionalDaily Siaran 7 Jun 2024
Jemaah haji, umrah terkandas, salah siapa?
MASIH ada lagi laporan berita dan media, para jemaah haji atau umrah kena tipu agen syarikat tours and travel yang menawarkan pakej menarik untuk menunaikan haji dan umrah.
Walaupun berbuih mulut bagi nasihat, teguran, peringatan jangan terpengaruh dengan janji-janji menarik syarikat palsu, ada juga yang abaikan peringatan itu dengan merelakan diri mereka ditipu apabila menerima tawaran ‘menarik’ yang tidak ada pada agensi berdaftar.
Akhirnya, apabila tiba masa nak berangkat, mereka terkandas di lapangan terbang. sebab visa tak lulus, tiket penerbangan tak sah. Duit habis beribu-ribu, agen pula lari dan macam-macam lagi.
Kalau terkandas di KLIA tak apa lagi, boleh terus balik ke rumah dengan menumpang sanak saudara yang turut sama menghantar, tetapi bagaimana kalau terkandas di tanah suci? Nak terbang balik tiket tak ada, visa atau pasport dalam simpanan agen.
Tika ni mulalah cari pihak Tabung Haji minta bantu mereka selesaikan masalah. Sebelum ni, sebut Tabung Haji, mereka sinis. Tak yakin dengan syarikat-syarikat yang disahkan oleh Tabung Haji. Nak cari juga syarikat palsu kerana janjinya manis.
Memang dalam tawaran syarikat palsu, harga murah, hotel penginapan depan Kaabah, makan minum taraf lima bintang, layanan VVIP.
Hakikatnya, bila sudah daftar dan bayar, agen atau syarikat terus menghilangkan diri tanpa pengetahuan kita.
Kita pula sudah heboh memuji syarikat ni bagus, syarikat ni boleh dipercayai, sedangkan syarikat yang dipuji dan dipercayai itu sudah telan duit mereka dan nama mereka tidak didaftarkan pun untuk visa dan tiket penerbangan.
Sebab itu, bila Pak Dee baca berita mengenai bakal jemaah haji atau umrah terkandas, Pak Dee dah sampai ke tahap tak terkejut dah, apatah lagi nak simpati. Bukan Pak Dee tak ada perasaan, tapi Pak Dee sedih dan kecewa dengan kedegilan mereka.
Selama ini pun, bukan mereka tak pernah baca berita atau tak sampai ke pengetahuan mereka nasihat dari menteri, pegawai Tabung Haji dan jiran-jiran agar jangan sekali-kali menggunakan syarikat tours and travel yang tidak berdaftar kalau nak buat umrah atau haji.
Bukan mereka tak tahu, mereka tahu. Tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka tertarik dengan pelbagai pakej yang ditawarkan, pakej yang tidak ada dalam mana-mana syarikat yang berdaftar.
Mereka tertarik dengan tawaran harga murah, jauh lebih murah berbanding ditawarkan syarikat tours and travel yang berdaftar dengan kerajaan. Sebab itu, mereka melanggan dengan syarikat palsu.
Jadi, bila ada kes terkandas, Pak Dee tak tau nak bersimpati atau nak kata apa. Iklan-iklan dari syarikat yang tidak dikenali pun berleluasa di media sosial. Tak termampu nak ditangani oleh pihak berkuasa.
Hanya nasihat dan peringatan sahaja dapat dilakukan, supaya rakyat Malaysia atau umat Islam tidak terpengaruh dengan tawaran itu. Tetapi, ibarat kata, dalam setandan kelapa sawit, tidak semua elok. Yang elok tu eloklah, yang tak elok tu selalunya tak boleh dipakai.
Begitu juga manusia. Lebih lagi yang terlalu impikan untuk ke tanah suci. Rasa simpanan dah banyak, cari syarikat palsu. Kononnya, lebih murah dan lebih menjimatkan.
Padahal, mereka sudah masuk perangkap syarikat menipu. – NasionalDaily Siaran 30 Mei 2024
Ahad, 26 Mei 2024
Tergamak bunuh anggota keselamatan
ITULAH perangai manusia, pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan negara pun sanggup dibunuh. Kalau anggota keselamatan mahu dibunuhnya, apatah sangat kita yang kerja biasa-biasa ini.
Terlebih dahulu, Pak Dee nak sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada dua anggota polis yang terkorban akibat kerakusan manusia yang tidak dididik dengan ilmu agama.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat (17 Mei 2024), Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh diserang seorang lelaki yang disyaki pengikut Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.
Seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan, iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Bagaimanapun, penyerang yang tidak berperikemanusiaan itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian pada awal pagi itu juga. Alhamdulillah.
Agak sedih dan terharu, dua anggota polis yang terkorban itu masih muda. Terlalu muda. Umur baharu awal 20-an. Jika Allah pinjamkan nyawa lebih lama kepada arwah, sudah tentu kehidupannya berubah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya dengan izin Allah.
Namun, nyawa mereka diragut dengan asbab kewujudan manusia yang dikurniakan akal, tetapi tidak digunakan. Manusia yang konon berilmu Islam, tetapi menyeleweng dari ajaran asal dibawa dan dianjurkan Nabi Muhammad SAW.
Manusia beramalkan ajaran sesat tidak boleh diiktiraf sebagai penganut Islam yang menjalani kehidupan berasaskan al-Quran dan Hadis. Manusia seperti ini wajar disisihkan kerana bagi mereka semua pihak termasuk anggota keselamatan adalah musuh.
Perjuangan mereka tidak jelas. Matlamat kehidupan mereka kabur. Kita tidak tahu apa yang mereka mahu perjuangkan dan apa yang mereka matlamatkan. Sedangkan, al-Quran dan Hadis sudah menyatakan dari awal, Islam adalah agama keamanan, kedamaian dan persaudaraan.
Amallah agama secara sederhana, bukan secara ekstrem, keterlaluan dan berlebihan yang mendatangkan ‘kecederaan’ kepada akal kita. Inilah yang berlaku kepada pengikut JI.
Pak Dee cuba nak singkapkan serba sedikit siapa dan apa JI ini. Mengikut carian Pak Dee, JI adalah kumpulan berkaitan Al-Qaeda di rantau ini dan diasaskan di Indonesia.
Ia mula masuk ke Malaysia pada pertengahan tahun 1990-an menerusi penubuhan sekolah pondok dan matlamatnya untuk mewujudkan apa yang dinamakan sebagai Daulah Islamiyah Nusantara, yang merangkumi Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina.
Kumpulan tersebut telah diharamkan di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Pengasasnya ialah Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar pada 1993, yang berakar daripada jaringan sekolah Pondok Ngruki sejak 1971.
Mereka mengasaskan JI susulan pertembungan ideologi dengan gerakan Negara Islam Indonesia yang lebih lama yang diketuai Ajengan Masduki. Namun, Abdullah Sungkar meninggal dunia tahun 1999 pada usia 62 tahun.
Kajian oleh Fletcher School of Law and Diplomacy di Amerika Syarikat pada 2004 menyatakan Abdullah mendapat inspirasi daripada pemikir yang mengangkat tafsiran agama secara literal, seperti pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb dengan doktrin membenarkan jihad bersenjata terhadap regim yang tidak Islamik.
Sementara itu, Abu Bakar, 85, didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di Bali pada 12 Oktober 2002. Namun, tiada bukti secara langsung yang mengaitkannya dengan insiden itu yang dilaporkan meragut 202 nyawa.
Pada 2011, dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan membuat latihan separa tentera untuk militan di Aceh. Namun, hukuman penjaranya dikurangkan dan dia dibebaskan pada Januari 2021.
Sebelum penangkapannya, Abu Bakar menghabiskan masa lebih sedekad di Malaysia bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa Indonesia.
Dia kembali ke Indonesia pada 1999 – selepas era reformasi republik itu – untuk menubuhkan Majlis Mujahidin Indonesia yang bertujuan melaksanakan undang-undang Islam di Indonesia.
Gerakan JI di Indonesia menjadi begitu lemah sepanjang dekad lalu, menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia Adhe Bhakti.
“Tiada serangan berkaitan JI di Indonesia sejak 15 tahun lalu,” katanya sepertimana Pak Dee petik laporan dari portal Malaysiakini.
Dia berpandangan ia berikutan tindakan yang diambil Indonesia terhadap pemimpin JI, termasuk pengganti terakhir Abu Bakar, Para Wijayanto pada 2019.
Adhe turut yakin yang sebarang anggota atau kumpulan berkaitan JI di Malaysia tiada pertalian dan saki-baki gerakan itu di Indonesia, berdasarkan bukti dokumen daripada perbicaraan dan temu bual dengan anggota dan bekas anggota JI sejak 2014.
Abu Bakar dan Abdullah adalah pengasas Madrasah At-Tarbiyyah Al-Islamiyah Luqmanul Hakiem yang terletak di Ulu Tiram di Johor. Madrasah itu tidak lagi beroperasi pada awal 2000-an.
Antara bekas pelajarnya adalah pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia, Noordin Mohd Top yang lahir di Kluang, Johor. Noordin terbunuh ketika serbuan pihak berkuasa Indonesia pada 17 September 2009, atas peranannya di belakang banyak serangan bom di Indonesia pada awal 2000-an.
Turut pernah belajar di sana adalah dua lelaki yang kini ditahan di Guantanamo Bay – warga Indonesia Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, Nazir Lep yang berasal dari Johor. Kedua-duanya ada pengalaman perang di Afghanistan dan ada pertalian dengan Al-Qaeda.
“Abu Bakar dan Abdullah bersembunyi di Johor. Dari Malaysia, Abu Bakar mengaturkan penghantaran rekrut untuk menyertai perang di Afghanistan,” kata Adhe.
Buat sekian lama, pihak berkuasa di Malaysia menggunakan undang-undang penahanan tanpa bicara, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), terhadap individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas.
Kesalahan-kesalahan berkaitan turut disentuh bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z, antaranya bagi kesalahan “melakukan, merekrut, menghasut, menggalak, memberi sokongan dan mengarahkan” kegiatan keganasan.
Felo pelawat di S Rajaratnam School of International Studies Singapura, Noor Huda Ismail berkata, serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat itu menunjukkan betapa ideologi mampu bertahan.
“Ia menekankan keperluan pendekatan peringkat masyarakat secara menyeluruh untuk integrasi anggota kumpulan seperti JI dan keluarga mereka,” kata warga Indonesia itu.
Katanya lagi, serangan itu seperti sangat dipengerahui perkembangan peringkat global dan serantau, terutama menerusi kaedah serangan berteknologi rendah yang pernah dilihat di tempat lain sebelum ini.
Itulah serba sedikit info mengenai JI. Namun, Pak Dee harap, satu hari nanti mereka sedar mereka telah terjerumus dalam ajaran yang salah dan kembali ke pangkal jalan. Aamiin. – NasionalDaily siaran 19 Mei 2024
Kita doakan Akhyar dan Faisal diberi kesembuhan
PAK DEE masih lagi dalam keadaan terkejut. Terkejut dengan insiden yang tak disangka-sangka boleh berlaku ke atas dua pemain bola sepak kebangsaan.
Kes pertama, pemain bola sepak kebangsaan dan Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun berhampiran kediamannya di kawasan Kuala Terengganu pada malam 2 Mei lalu.
Akibat serangan itu, beliau yang baharu berusia 25 tahun, mengalami kecederaan di kepala, luka di kaki kiri dan lengan kiri, dipercayai dipukul dengan besi boleh laras.
Malangnya, penyamun itu memakai ‘mask’ bagi mengelakkan diri dan identiti terdedah. Mereka berjaya membawa lari beg bimbit milik Akhyar yang mengandungi wang tunai hampir RM5,000.
Akibat serangan itu, pemain berusia 25 tahun itu cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri, dipercayai dengan besi yang boleh laras.
Belum reda dengan insiden itu, bumi Malaysia digegarkan pula dengan kes, juga pemain kebangsaan, Faisal Halim disimbah asid di kompleks beli belah.
Alangkah terkejutnya Pak Dee, dalam tempoh tiga hari, dua kes melibatkan dua pemain bola sepak, yang mengharumkan nama negara di persada arena sukan bola sepak Asia dan Asean.
Apa motif penyamun dan penyimbah asid ini sanggup mencederakan pemain kesayangan peminat bola sepak ini, tidak diketahui. Kalau samun, dah tentu penyamun perlukan duit untuk beli barang keperluannya, dadah.
Tetapi, kalau simbah asid ini, bukan duit keutamaan penjenayah ini, sebaliknya nampak seperti ada unsur dendam.
Umum tahu, malah dunia sekalipun tahu, pemain bola sepak ini tidak pernah ada isu atau kontroversi. Mereka bukan artis yang sanggup mencemarkan nama sendiri semata-mata kejar populariti.
Pemain bola sepak tak pernah nak kejar populariti. Kerjaya mereka ialah menaikkan nama pasukan, nama negeri dan nama negara dengan corak permainan di padang ketika bertemu pasukan lawan.
Mereka tidak bercakap banyak sebagaimana artis. Jadi, tidak ada sebab individu terbabit menyimpan dendam dengan pemain bola sepak ini. Ini yang mengejutkan Pak Dee, sehingga sehari dua ini masih dalam keadaan tertanya-tanya.
Pak Dee tertanya-tanya, apa dosa Akhyar dan Faisal hingga sanggup mencederakan tubuh badan mereka. Dan, paling berat sekali Faisal. Kecederaan ditanggungnya di tahap empat.
Dan, hari ini pula, doktor menyatakan, keadaan Faisal kritikal. Allahuakhbar! Sedihnya Pak Dee dengar berita sebegini. Lebih lagi menimpa kepada orang yang tidak berdosa.
Pak Dee, sebagaimana rakyat Malaysia juga, berharap sangat polis dapat tangkap penjenayah yang mencederakan Akhyar dan Faisal. Bawa mereka ke muka pengadilan, bicara dan jika didapati bersalah, jatuhkan hukuman setimpal.
Walaupun luka atau kecederaan dialami Akhyar tidak seserius Faisal, tetapi apabila satu-satu anggota badan terluka, ia akan memberi kesan kepada stamina Akhyar di padang nanti.
Begitu juga Faisal. Kemelecuran anggota tubuhnya yang dimamah asid itu mengambil masa agak lama untuk sembuh sepenuhnya. Ini secara tidak langsung menjejaskan moral dan semangat mereka dalam meneruskan kehidupan.
Namun, Pak Dee mengharapkan akan ada kementerian berkaitan menyediakan khidmat kaunseling kepada Akhyar dan Faisal. Pulih dan kembalikan semangat mereka yang luntur akibat insiden yang menimpa diri mereka.
Dan, kita di luar sana, sebagai rakyat Malaysia, sebagai peminat bola sepak, sebagai penyokong Akhyar dan Faisal, marilah sama-sama kita menadah tangan mendoakan semoga kedua mereka diberi kesembuhan dan dikembalikan semangat yang hilang oleh Allah SWT.
Mari kita berdoa, semoga Akhyar dan Faisal cepat sembuh dan kembali beraksi di padang. Misi dan visi mereka adalah untuk menaikkan nama negara. Mereka bukan kejar populariti.
Kepada penjenayah yang terlibat. Ke mana kamu nak lari atau menyembunyikan diri. Hidup kamu tidak sebebas sebelum ini. Siang malam diri kamu dalam buruan, dalam perhatian pihak berkuasa.
Satu saja Pak Dee nak pesan kepada penjenayah terbabit. Ingat! Polis Diraja Malaysia adalah pasukan keselamatan yang terbaik dunia. – Nasionaldaily siaran 7hb Mei 2024
Ahad, 5 Mei 2024
Taktik bawa keluarga borong minyak masak peket
NI satu lagi Pak Dee nak bagitau pasal taktik pembelian minyak masak peket di pasar-pasar raya runcit mahupun pasar raya borong.
Tengah hari semalam, Pak Dee ambil masa rehat waktu bekerja untuk ke pasar raya borong di belakang rumah. Pasar raya ni terletak kira-kira 700 meter saja dari rumah Pak Dee.
Tujuan Pak Dee ke pasar raya ni sebab nak beli minyak masak. Kebetulan stok kat rumah dah hampir habis. Jadi, Pak Dee rasa perlu beli untuk simpanan. Selalunya, Pak Dee beli minyak masak peket ni satu atau dua peket saja. Tu pun dah bertahan sebulan lebih.
Pak Dee tak beli banyak sebab minyak ni kalau lama tak guna, dia punya rasa akan berubah. Jadi, Pak Dee beli sekadar untuk keperluan dalam dua minggu ke sebulan saja. Maka, cukuplah dua peket.
Sebaik sampai di pasar raya tu, Pak Dee menuju ke lokasi minyak masak. Kebetulan ada enam orang sedang mengelilingi rak tempat letak minyak masak peket sedang memasukkan minyak masak dalam plastik.
Pak Dee beratur, tunggu belakang salah seorang dari mereka, sebab cara mereka mengelilingi rak menyukarkan Pak Dee nak mencelah ambil minyak.
Pak Dee tunggu dalam tiga ke lima minit, semua mereka selesai ambil minyak untuk bahagian masing-masing. Situ ada notis tertulis: “Tiga peket seorang sahaja”. Bila tiba giliran Pak Dee, tengok minyak dah habis. Tak ada satu peket pun ditinggalkan oleh kumpulan enam orang tadi.
Pak Dee cari penyelia pasar raya nak tanya kot-kot ada lagikah stok minyak masak peket, sebab yang di rak sudah habis. Jumpa dan tanya, penyelia tu jawab, dah habis. Pak Dee rasa hampa. Pak Dee keliling kelalang dalam pasar raya tu, dan Pak Dee perasan, acap kali terserempak dengan enam orang yang tadi sedang keliling rak minyak masak peket.
Pak Dee tengok dan perhati keenam-enam orang tu sambil menolak troli masing-masing dan berjalan pula beriringan antara satu sama lain. Pak Dee lihat ada kejanggalan di situ. Kalau mereka tidak ada hubungan persaudaraan sudah tentu mereka sudah lama berpecah arah. Ini macam belangkas.
Pak Dee dapat rasa ada kepelikan. Pelik sebab bila Pak Dee perhatikan, enam orang ini macam bukan orang lain-lain. Mereka ni nampak macam satu keluarga. Seorang lelaki dah agak tua sikit dan seorang wanita pun hampir sebaya dengan lelaki yang dah agak tua tu.
Kalau dikatakan suami isteri pun memang sesuai. Jalan beriringan. Manakala empat orang lagi yang sentiasa berjalan rapat-rapat dengan lelaki dan wanita yang dah agak tua itu macam budak-budak remaja.
Kalau dikatakan mereka adik beradik pun memang sesuai. Muka, iras pun hampir-hampir ada kesamaan. Yang mata sepet tu kira wajib dah. Entah-entah mereka ini satu keluarga? Datang ke pasar raya semata-mata nak borong minyak masak peket. Tak boleh jadi ni.
Bayangkan, kalau mereka betul-betul satu keluarga, enam beranak, masuk ke pasar raya dengan menolak enam troli dan tiap seorang ambil tiga peket minyak masak, dah 18 peket atau 18 kilogram mereka dapat. Ini kira main taktik kotor ni.
Orang lain nak dapatkan satu peket minyak pun susah. Mereka senang-senang datang satu keluarga, borong minyak masak. Cara atau taktik yang keluarga ini guna adalah paling jahat dan terpaling kurang ajar.
Cara mereka sama jahat dan sama kurang ajar dengan taktik warga asing yang datang beli minyak masak peket, beras dan barang bersubsidi dengan membawa seramai mungkin kawan-kawan serumah.
Pihak pasar raya kena pantau perkara macam ni. Jangan fikirkan keuntungan semata-mata. Kena juga fikirkan keperluan pelanggan. Bukan pelanggan tamak dan jahat macam keluarga tu.
Takkan pekerja pasar raya tak dapat beza orang yang beli minyak masak peket ini adalah orang perseorangan atau keluarga atau serombongan kawan serumah.
Kalau kaedah ini digunakan seharian dan dibiarkan begitu saja, kesianlah orang lain yang lebih memerlukan minyak masak tu. Entah berapa kali dalam sehari keluarga ini masuk ke pasar raya beli minyak masak peket.
Dan, entah banyak mana minyak masak peket disimpan di rumah mereka. Perkara-perkara seumpama ini pihak pasar raya perlu pantau, ambil tahu dan sentiasa perhatikan gerak geri pembeli, terutama di rak minyak masak peket.
Tak susah pun nak buat. Daripada pekerja pasar raya berkumpul di satu tempat, contohnya bahagian barang basah, tak salah letak seorang dua pekerja sebagai pemerhati, sambil-sambil buat kerja rutin di bahagian minyak masak. Atau juruwang kena main peranan, berani dan tegas.
Jadi, tengah hari semalam Pak Dee balik rumah dengan tangan kosong. Tak dapat beli satu peket pun minyak masak. Tapi, esok Pak Dee nak cuba pergi lagi. Mana tahu ada rezeki! – Nasionaldaily siaran 27 April 2024
Hari mendukacitakan, kita kehilangan 10 perwira negara
PAGI semalam (23 April 2024/Selasa) adalah hari yang paling mengejutkan, mendukacitakan dan menyedihkan. Kita digemparkan dengan insiden dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di udara dan mengorbankan 10 wira serta wirawati negara.
Semua yang terkorban adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang khidmat mereka selama ini amat diharga seluruh rakyat Malaysia kerana tanpa mengira waktu, mereka menjaga keselamatan negara.
Pak Dee ambil masa satu minit untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa yang beragama Islam dan bertafakur untuk mangsa yang bukan beragama Islam. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh wira dan wirawati negara ini. Aamiin.
Pak Dee dapat tahu insiden ini berlaku kira-kira jam 11.30 pagi. Pak Dee terputus dengan kejadian di luar sebab Pak Dee berada dalam Mahkamah Majistret Shah Alam mengikuti kes perbicaraan adik kepada seorang artis popular yang berdepan tuduhan pecah amanah tuntutan palsu.
Kerana otak menumpukan pada kes ini, Pak Dee tak ambil tahu hal luar. Bukan Pak Dee tak ada telefon. Pak Dee ada telefon, tapi malas nak tengok. Lagi pun duduk dalam mahkamah, tak seronok tengok telefon. Baik tumpu pada kes-kes yang berlaku melibatkan Orang Kena Tuduh (OKT).
Yang menyeronokkan buat liputan mahkamah ni, sementara tunggu kes perbicaraan, mahkamah diteruskan dengan kes-kes kanun keseksaan seperti dadah, menipu pelaburan, pecah amanah, bergaduh dan macam-macam lagi.
Sebab seronoklah mengikuti kes-kes yang macam-macam inilah Pak Dee terlepas dengar insiden yang mengorbankan nyawa perwira negara. Sehinggalah Pak Dee dibisikkan oleh orang sebelah, menunjukkan video kejadian dalam telefon bimbitnya.
Pak Dee terkejut. Pak Dee hilang kata-kata. Fikiran Pak Dee berbelah bahagi. Mengharapkan kejadian itu tidak berlaku di Malaysia dan bukan rakyat Malaysia yang terlibat.
Pak Dee lupakan kes yang sedang berjalan. Pak Dee buka telefon bimbit dan buat carian insiden yang berlaku. Masya-Allah, terpaku seketika Pak Dee selepas melihat rakaman video yang dikongsi dalam aplikasi Telegram, dalam portal-portal berita dan dalam media sosial.
Pak Dee terfikir dan tak boleh bayangkan, bagaimanakah perwira-perwira kita yang berada dalam dua helikopter itu berdepan dengan suasana sedemikian. Pak Dee doakan semoga Allah meringankan kesakitan mereka ketika berdepan dengan sakaratulmaut. Ya, Allah. Pak Dee hilang pedoman seketika. Pak Dee tak ambil peduli dah kes yang sedang berlangsung depan mata di mahkamah ketika itu.
Beberapa minit kemudian Pak Dee kembali normal. Pak Dee tutup telefon dan beri tumpuan pada kes mahkamah. Tapi, dalam tumpuan itu, fikiran Pak Dee melayang-layang mengenangkan insiden berkenaan.
Ketika mahkamah tangguh untuk satu jam, Pak Dee bergegas ke kantin mahkamah. Pekena teh tarik. Lega sikit. Fikiran pun dah mula tenang memikirkan insiden di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak itu.
Pak Dee cuba kuatkan semangat, buka media sosial Facebook. Majoriti status ketika itu berkisar insiden perlanggaran dua pesawat itu. Satu pesawat, jenis Agusta WestlandHOM (M503 3) dinaiki tujuh kru, manakala satu lagi pesawat, jenis Fennec (M502 6) dinaiki tiga kru.
Kru yang berada dalam dua pesawat itu bukan calang-calang anggota. Mereka adalah yang berpangkat Komander, Leftenan Komander, Leftenan, Pegawai Waran II, Bintara Muda dan Laskar Kelas I.
Negara kehilangan perwira yang tangkas, berani dan tegas. Mereka bertugas dan berkhidmat tanpa mengira bahaya dan cabaran. Semuanya demi menjamin keselamatan 33 juta rakyat Malaysia dan tanah air dari diceroboh musuh-musuh.
Cuma Allah lebih sayangkan mereka dan Allah mengambil mereka, mendahului kita yang masih bernafas ini.
Kepada keluarga dan ahli keluarga wira dan wirawati yang terkorban demi negara, sabar dan tabahlah hadapi ujian Allah. Takziah kepada mereka. Aamiin. - Nasionaldaily 24 April 2024
Selasa, 23 April 2024
Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran
APA yang berlaku dalam kes seorang suami nak tembak bunuh isterinya di KLIA1 awal pagi kelmarin, boleh menjadi pengajaran kepada kita di luar sana.
Walau amarah sekali pun, kita perlu bertindak matang, bukan membabi buta sebagaimana dilakukan Hafizul Hawari yang nekad nak bunuh isterinya, Farah Cie.
Mereka berdua sebelum ini dikatakan pasangan Bahagia. Sama-sama membina dan menjalankan sebuah syarikat umrah. Melihat gambar-gambar dalam Facebook Farah Cie, tidak ada sebab si suami mahu bertindak ganas sedemikian.
Apapun, hanya Allah dan mereka berdua yang tahu konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Dan, dikatakan sepanjang perkahwinan mereka, dua kali si isteri membuat laporan polis atas sikap jenayah suami terhadapnya.
Seperti yang Pak Dee nyatakan, walau marah mana sekali pun, jangan sampai menggunakan senjata api sebagai jalan penyelesaian. Bagi yang berakal, itu bukan jalan terbaik untuk menamatkan kemarahan atau sengketa dalam rumah tangga.
Sebagai suami, cerai talak ada pada mereka. Itulah sebenarnya jalan terbaik jika mahu kes keruntuhan rumah tangga atau dendam kesumat antara satu sama lain selesai.
Pergi ke pejabat tok kadi, atau sekurang-kurangnya lafaz cerai pada isteri. Habis cerita. Masing-masing boleh teruskan hidup baru dengan lebih aman dan bahagia. Kemudian, buat tuntutan harta sepencarian, maka tamatlah persengketaan.
Ini tidak. Kau rancang perkara lebih buruk lagi terhadap isteri. Langsung tak fikirkan nyawa orang yang pernah kita tiduri, layari kehidupan berumah tangga sebelum ini.
Dengar cerita, Hafizul mendapat pendidikan agama di sebuah pondok pengajian agama di Kelantan. Al-Hafiz pula tu, tetapi hati dan jiwa masih dikuasai hasutan iblis. Ambil tindakan sendiri, yang akhirnya bukan sahaja menamatkan kebahagian hidup, malah menyusahkan orang lain.
Hidup dalam buruan amat menyeksakan. Apatah lagi kalau sudah ditangkap polis. Direman selama tujuh hari, dihadapkan ke mahkamah dan didakwa bawah akta senjata api serta cubaan membunuh.
Tidakkah akta ini meletakkan kamu dalam kesusahan, kesakitan dan keseksaan? Menjalani hukuman penjara berpuluh tahun adalah satu hal yang sia-sia. Umur yang sepatutnya digunakan untuk perkara bermanfaat, dihabiskan begitu saja dengan meringkuk dalam penjara.
Sepatutnya boleh tidur lena, menjalani kehidupan bebas, kini masa depan kamu sudah tertutup selama-lamanya. Jika kamu keluar penjara sekalipun, kamu tidak lagi bahagia. Kebahagiaan hidup kamu sudah diragut oleh perbuatan kamu sendiri.
Ini yang dikatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian memang dah tak berguna lagi. Nak pusing balik waktu memang dah tak boleh. Sekarang kamu kena hadap masa depan yang gelap.
Sebab itu, Allah beri akal, otak dan fikiran kepada manusia. Supaya menggunakan akal untuk berfikir. Berfikir masak-masak sebelum berbuat sesuatu supaya tidak menyesal kemudian hari.
Kita hidup dalam undang-undang. Baik undang-undang al-Quran, undang-undang al-Hadis mahupun undang-undang dunia. Kita jangan fikir berbuat jahat akan terlepas. Tidak, peratusan untuk terlepas dari perbuatan jahat kita teramat kecil. Selebihnya, kita akan ditangkap, didakwa dan dipenjarakan. Itulah yang berlaku.
Walaupun kamu terlepas dan berjaya mendarat di bumi Makkah sekalipun, kelegaan itu bersifat sementara, bukan selama-lamanya. Lebih lagi, kamu dalam senarai buruan atas kesalahan jenayah.
Sebab itu, Pak Dee selalu mengingatkan diri sendiri. Beristiqomah, menyerahkan diri kepada Allah, berdoa meminta agar Allah pelihara dan lindungi diri Pak Dee dari tersalah melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri.
Pak Dee selalu beringat dan berhati-hati, baik dalam tingkah laku, perbuatan, percakapan mahupun penulisan. Pak Dee lakukan dengan waras agar tidak tersasul atau terbabas sehingga menjadi perhatian pihak berkuasa. Pak Dee takut dan memang Pak Dee seorang yang penakut dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Pak Dee nak, bila mengantuk dapat pejam mata tidur dengan lena. Pak Dee tak mahu fikiran terganggu hingga mengacau tidur atau waktu rehat Pak Dee.
Pak Dee juga tak mahu kehidupan Pak Dee diburu oleh pihak berkuasa hingga hilang kebebasan mengecapi dan menikmati kehidupan harian. Maka, Pak Dee mengajak rakan-rakan di luar sana, jauhkan diri dari perbuatan jenayah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Harapan Pak Dee, kes Hafizul ini menjadi pengajaran dan menyedarkan kita semua daripada hidup senang lenang, tiba-tiba gelap dalam sekelip mata. Fikirlah masa depan kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan ahli keluarga kita.
Tidak salah untuk berbuat kebaikan dan tidak mengahkan kita kalau melakukan kejahatan. Ingat tu. – NasionalDaily 17hb April 2024
Perantau perit balik kampung di Kelantan
TIAP kali musim perayaan, tak kiralah perayaan apa sekalipun, yang paling azab ialah perantau dari Kelantan yang mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur mahupun negeri-negeri maju.
Bersusun-susun kereta sesak di lebuh raya dan jalan negeri. Tak kiralah Lebuhraya Timur Barat, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Plus mahupun Lebuhraya Pantai Timur.
Hanya ini saja rangkaian lebuh raya yang ada, yang menghubungkan Kuala Lumpur, negeri-negeri utara ke Kelantan.
Kenapa Pak Dee sebut Kelantan, tak sebut Terengganu dan Pahang atau negeri-negeri lain? Sebab, setakat ini hanya Kelantan saja belum ada lebuh raya. Negeri lain semua dah ada lebuh raya.
Jadi, mereka balik beraya tidaklah sesak sampai 10, 12 jam sebagaimana dialami perantau dari Kelantan. Jalan negeri yang ada, tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang balik ke Kelantan.
Itu tak apa lagi, sebagai perantau, Pak Dee sudah kalih dengan kedaifan itu. Ada lebuh raya pun setakat pintu masuk Gua Musang dari Padang Tengku, Lipis. Negeri lain, lebuh raya depan rumah. Tak hadam sangat dengan kesesakan.
Rasa Pak Dee, rungutan atau keluhan berkenaan rangkaian lebuh raya atau jalan pulang ke Kelantan ni bukan sekali ini dicoretkan. Malah, setiap tahun sejak Pak Dee bergelar perantau selama hampir 17 tahun.
Namun, macam itu juga keadaannya. Bahkan, dijawabnya oleh pemimpin kerajaan negeri, perantau balik pun sekali setahun. Sedih Pak Dee dengar jawapan sebegitu. Seolah mahu lepas tangan dari laksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Apapun, Pak Dee bersyukur dan berterima kasih juga kepada kerajaan Persekutuan kerana sekurang-kurangnya ada juga lingkaran tengah atau dipanggil CSR bermula dari Padang Tengku, Kuala Lipis hingga ke Merapoh.
Dapatlah jimatkan masa sekitar satu jam dari lima atau enam jam masa diambil untuk ulang alik sehala. Kalau tak ada CSR, maka merayaplah memanjat jalan Bukit Tujuh yang bengkang bengkok lagi merbahaya tu.
Pak Dee ingat, kerajaan terutama di bahagian Kelantan bermula dari pintu masuk Gua Musang kena tekan kontraktor supaya percepatkan menyiapkan fasa akhir CSR tu. Yang dalam Pahang dah 90 peratus siap dan digunakan, kecuali CSR dari Raub ke Padang Tengku masih dalam progress penyiapan.
Kalau siap fasa Raub – Padang Tengku, Insya-Allah jarak masa balik perantau dari Kuala Lumpur ke Kelantan sekurang-kurang tiga ke empat jam. Dan, kesesakan trafik pun dapat diatasi sepenuhnya.
Sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Pak Dee hanya kecewa sedikit tengok perkembangan kerja pembinaan CSR di Gua Musang. Masih lagi dengan kerja sodok tanah dan pemasangan besi tiang.
Kalau maca mini keadaannya, Pak Dee rasa dua tiga tahun lagi belum siap. Sedangkan, proses di Pahang sudah hampir siap. Makanya, makan jem lagilah anak-anak perantau.
Pemimpin kerajaan dan pemimpin parti politik mungkin tidak pernah merasa suasana kesesakan sebab mereka ulang alik dengan kapal terbang. Sudah dan payah nak cari pemimpin zaman dulu, nak rasai sendiri nadi rakyat, mereka sanggup memandu sendiri kereta redah suasana.
Pemimpin sekarang, kerjanya duduk di kerusi empuk, bilik berhawa dingin. Naik kereta besar, pakai pemandu. Jadi, mereka tak merasai sampai perit jerih rakyat yang menggunakan jalan negeri Machang-Kuala Krai-Gua Musang dan Tanah Merah-Jeli-Dabong-Gua Musang.
Dua jalan utama bagi rakyat Kelantan ini selain struktur permukaannya tidak rata, berlubang. Ia juga agak sempit. Dengan garisan putih yang sudah pudar dan bergelap sepanjang jalan pada waktu malam.
Kalau ada lampu jalan pun, dekat-dekat nak masuk bandar atau pekan. Yang lain-lain kena pandai-pandai sendirilah memandu untuk sampai ke destinasi.
Pak Dee tahu, rungutan yang entah kali ke berapa ini tidak akan didengar oleh pemimpin. Tapi, tak apalah. Sekurang-kurangnya tanggungjawab Pak Dee untuk memaklumkan permasalahan ini kepada kerajaan negeri sudah terlaksanakan.
Di akhirat esok, mudah dan sedang Pak Dee jawab di hadapan Allah SWT. Tinggal lagi pemimpin yang cakap lain, buat lain akan menjawab di hadapan Allah akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dan apa yang mereka lakukan untuk kesenangan dan kemudahan rakyatnya.
Mereka kata memperjuangkan Islam, mereka tahulah apa yang mereka lakukan sepanjang diamanahkan sebagai pemimpin.
Pak Dee masukkan sikit data mengenai projek CSR ini;
Projek keseluruhan CSR sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos keseluruhan bernilai kira-kira RM8.7 bilion. Ia melibatkan enam fasa dengan empat daripadanya sejauh lebih 200 kilometer terletak dalam Pahang, manakala selebihnya terletak di Kelantan.
Fasa Pertama: Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit sejauh 47 kilometer
Fasa Kedua: Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang sejauh 59 kilometer
Fasa Ketiga: Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang 92.5 kilometer
Fasa Keempat: Kampung Relong ke Raub 50 kilometer
Fasa Kelima: Raub ke Bentong 54 kilometer, dan
Fasa Keenam: Bentong ke Simpang Pelangai 47.5 kilometer. – NasionalDaily 13hb April 2024
Manusia hina agama dan bangsa patut diajar
DALAM sehari dua ni galak pula pihak-pihak tertentu mempermainkan agama dan bangsa sendiri. Ada kes orang bukan agama dianutinya menghina agama lain. Ada kes bangsa sendiri hina adat, budaya dan agama sendiri.
Semuanya dilakukan semata-mata kerana nak melariskan perniagaan. Seolah tidak ada cara lain yang lebih sopan dan beradab untuk tarik minat orang ramai tahu dan beli produk mereka.
Nama Allah juga digunakan mereka secara halus dan budaya bangsa juga dijadikan bahan lawak sebagai strategi pemasaran.
Pak Dee geleng kepala lihat perangai dan sikap manusia sedemikian. Mereka langsung tidak terfikir kesan daripada perbuatan itu. Mereka seperti seronok menggunakan sentimen kebencian, kemarahan orang ramai sebagai pelaris.
Tak apa orang marah pun, janji produk aku laris atau laku. Barangkali itu yang mereka fikirkan. Ini yang membuatkan Pak Dee berasa hairan dengan manusia seperti ini.
Soal menyalahgunakan kalimah Allah, bukan sekali berlaku. Dan, bukan seorang dua dikenakan tindakan undang-undang, tapi masih ada yang melakukannya lagi. Seolah hukuman dikenakan kepada orang lain, tidak mendatangkan kesan kepada mereka.
Begitu juga soal menghina bangsa sendiri. Bukan sekali dua kumpulan tidak ada otak ini lakukan, hampir setiap tahun terutama menjelang Hari Raya mereka cetuskan dengan idea gila.
Bila netizen marah. Bila pihak berkuasa bersuara, mereka menunjukkan rasa ‘kesal’, lalu minta maaf. Siap dengan lakonan muka sedih, menangis kononnya insaf dan menyesal. Tetapi, masa akan datang buat lagi. Bila orang tegur, minta maaf lagi.
Mujurlah rakyat Malaysia dan penguatkuasa di negara ini jenis baik hati. Pesalah minta maaf saja, terus diam. Tidak ada tindakan boikot atau penahanan dibuat. Ini yang mendorong sesetengah pihak untuk ‘insaf’ sekejap, kemudian ulang lagi dan lagi.
Kali ini Pak Dee dan cadangkan kepada para netizen dan pihak berkuasa. Kalau berlaku lagi hal-hal berkaitan menghina agama dan bangsa, tanpa berlengah, pakat buat laporan polis. Heret mereka ini ke muka pengadilan. Dakwa di mahkamah dan jatuhkan hukum, baik denda ratusan ribu ringgit mahupun penjara. Biar mereka merasa habis duit dan duduk dalam penjara, dan biar kes mereka jadi pengajaran kepada yang lain.
Kalau setakat tegur dan tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil, lain kali mereka buat lagi dengan cara lain yang lebih menjelikkan. Sebab itu, perbuatan menyentuh 3R ini tidak pernah berkesudahan. Kerana, pertama hukumannya terlalu ringan atau tidak ada hukuman langsung. Kedua, menerima maaf dan dimaafkan. Dan, ketiga, tidak ada tindakan lebih tegas, malah mereka dibiarkan begitu saja.
Contoh, ada satu video yang tengah galak viral sekarang. Ia berkaitan lagu Hari Raya yang menyaksikan sekumpulan pondan tergedik-gedik dalam bilik air menari-nari macam ular kena palu. Hal sedemikian sewajarnya ada laporan polis. Bukan dibiarkan mereka terus menghina kesucian Ramadan dan Syawal.
Bukan pertama kali kumpulan lelaki tergedik ini muncul, tahun sebelumnya pun pernah muncul. Tetapi kerana tidak ada tindakan diambil, mereka muncul lagi dengan gaya mengalahkan orang kurang siuman.
Bila ditegur, mereka minta maaf. Janji tak buat lagi. Netizen pun maafkan dan tutup isu itu. Tahun depan mereka buat lagi. Netizen tegur lagi dan mereka minta maaf lagi. Begitulah seterusnya, selagi mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang dan merengkok sebulan dua atau setahun dua dalam penjara.
Jangan main-main bila dipenjarakan. Nak gedik-gedik, nahaslah kamu. Dalam tu bukan orang-orang baik macam orang kat luar. Kamu gedik saja, terimalah akibatnya. Menyesal tak sudah.
Jadi, sebelum kamu diheret ke penjara. Baik kamu insaf betul-betul mulai hari ini. Janji tak akan ulang lagi untuk selama-lamanya dan berubah jadi manusia baik.
Pak Dee bukan nak ugut. Pak Dee nak nasihat. Sebelum nasi menjadi bubur, tanaklah beras tu elok-elok. Jangan leka dengan mainan dunia. Nak meniaga pun, meniagalah cara elok. Biar hasil dapatan itu berkat.
Rezeki yang berkat walaupun dapatannya RM800 sebulan, boleh sara hidup keluarga sampai sebulan. Hidup dengan senang dan tenang. Tapi, kalau rezeki tidak berkat, dapat untung bersih RM1 juta seminggu pun, hidup tak sentiasa tenang. Kena ingat tu.
Kepada netizen, mulai hari ini jangan layan kalau muncul video-video menghina agama dan bangsa sendiri. Benda boleh boikot, kita pakat boikot. Benda boleh buat laporan polis, kita pakat lapor polis ramai-ramai. Biar mereka sedar perbuatan mereka tidak baik untuk agama, bangsa dan negara. Biar mereka papa kedana atas perbuatan yang mereka sengaja cari penyakit.
Pak Dee bukan nak menghasut, tetapi ini sajalah cara nak beri pengajaran yang sebenar-benar pengajaran kepada mereka yang tidak pernah serik ini. Sekian. – NasionalDaily 3hb April 2024
Sabtu, 30 Mac 2024
Dah tahu harga mahal, makanan busuk, kenapa beli?
BURGER dijual harga RM30?, Roti John dijual sampai RM40? Tak masuk akal, kata ramai netizen bila seorang pembeli viralkan makanan yang dibelinya di sebuah nazar Ramadan di Johor.
Pak Dee hanya senyum dengar rungutan ni. Sebab pada Pak Dee lagi tak masuk akal, orang yang membelinya. Entah ada akala tau tak. Pak Dee bukan nak hina pembeli tu, tapi Pak Dee sedih dengan pembeli tu.
Sedih sebab Allah kurniakan pancaindera mata untuk melihat, hati untuk menentukan gerak kita dan otak untuk memikirkan wajar atau tidak aku beli burger dan roti John yang aku tahu harganya teramat yahudi.
Kalau pembeli tu pakai otak, dia dah tentu tak akan beli makanan tersebut. Dah tentu harganya mahal dan tak masuk akal, buat apa nak beli. Kalau beli juga makanan yang harganya tak masuk akal tu, maknanya tak ada akallah.
Lainlah kalau pembeli beli makanan itu semata-mata nak buat konten dalam media sosial. Nak viral kepada orang ramai kononnya aku terbeli makanan yang paling mahal dalam dunia, mengalahkan harga paling yahudi.
Tapi rasanya tak logik pembeli beli bagi tujuan itu. Dah tentu dia beli untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Maklum, orang tengah puasa. Harga mahal pun beli walaupun tahu tak berbaloi.
Dalam bab ni, bukan saja pembeli tak ada akal, penjual pun tak ada akal. Boleh atau sanggup mereka jual sebiji burger dengan harga RM30 dan sebiji roti John dengan harga RM40. Sah-sah penjual ini tak ada otak. Sebab, dia tak fikir kalau jual harga mahal, makanannya pasti tak laku, melainkan yang tak ada akal akan membelinya.
Hari ini Pak Dee terpaksa berkasar sikit. Sebab Pak Dee pun ada perasaan geram kalau baca berita pasal harga makanan dan minuman di bazar Ramadan mahal, busuk, basi, masam dan sebagainya.
Pak Dee tak nak seratus peratus geram atau marah kepada penjual. Pak Dee lebih geram dan sakit hati kepada pembeli. Mereka bukan buta ketika berkunjung ke bazar Ramadan. Mereka bukan bisu untuk menegur peniaga bahawa makanan atau minuman yang dijual terlalu mahal. Atau makanan dan minuman yang dijual sudah basi, keras macam besi, lembik macam lumpur.
Dah tahu makanan basi, mereka beli juga. Dah tahu harga mahal, mereka beli juga. Lepas tu balik rumah, viral dalam media sosial. Konon nak raih simpati netizen. Mujurlah netizen sekarang ni cerdik, mereka tak melenting marahkan peniaga, sebaliknya memaki hamun pembeli.
Peniaga memang tabiat dan perangai mereka, kalau makanan atau minuman jualan dua tiga hari lalu tak habis, mereka akan campur dengan yang baharu untuk dijual. Mana mereka tahu dosa pahala dengan berbuat demikian. Yang mereka fikirkan ialah untung.
Dengan untung jual makanan basi, minuman sudah masam itulah mereka nak belanjakan sambut raya. Nak beli baju baru, seluar baru, kasut baru. Nak tukar langsir baru, alas meja baru. Nak beli kuih muih untuk jamuan raya. Mana mereka nak fikir keberkatan.
Sebab mereka meniaga pun setahun sekali, bukan sepanjang hari. Bulan ini mereka digam sebab jual makanan basi, tahun depan mereka beralih ke bazar lain pula. Mereka buat lagi perkara-perkara buruk tu.
Jadi, kesedaran membeli itu sepatutnya ada pada pembeli. Mereka yang dapat menilai, menilik, meneliti setiap jenis makanan yang nak dibeli. Itu penting dan perlunya manfaatkan sepenuhnya guna mata, hati dan otak.
Mata boleh melihat, hati boleh merasa, otak boleh menentukan sama ada nak beli atau tidak. Bukan sampai saja di gerai, terus beli. Peniaga letak harga RM30, RM40 pun bayar. Apa kejadah pembeli macam ni. Dahlah peniaga tu kejadah, kita pembeli pun ikut kejadah sama. Lepas tu sampai rumah, merungut.
Sebab itu Pak Dee selalu nasihat. Lebih baik makan makanan yang dimasak di rumah. Sesibuk mana kerja pun, majikan sudah pendekkan waktu bekerja. Sempatlah jerang nasi, goreng telur, singgang ikan. Masakan sendiri jauh lebih sedap dan segar dari beli di bazar.
Itupun Pak Dee nak kena ajar. – NasionalDaily 27hb Mac 2024
Islam didik umat berdisiplin, boikot cara terbaik
BILA isu kedai serbaneka KK Mart hangat diperkatakan, Pak Dee sekadar jadi pemerhati saja. Malas atau tak nak jadi ‘nasi tambah’ kepada isu yang sedang panas ketika itu.
Sekarang bila dah lebih seminggu berlalu, keadaan dan suasana pun dah nampak reda, barulah Pak Dee nak menitip sikit pandangan, pendapat, nasihat, kritikan dan teguran dalam isu ini.
Sepanjang menjadi pemerhati, Pak Dee tengok hanya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh yang paling lantang mempertahankan agama Islam dari diperlekeh dan dipermainkan orang-orang tak bertanggungjawab.
Yang lain-lain seperti Pemuda Pas yang mendakwa parti mereka membangun dan menjunjung Islam, senyap. Begitu juga Pemuda Amanah, Pemuda Bersatu dan Pemuda PKR, semua senyap.
Pak Dee faham kenapa mereka senyap. Mereka lebih utamakan persahabatan dengan kaum bukan Islam. Mereka nak tegur pun kena ibarat tarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berserak.
Suara mereka hanya kedengaran pun selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan anakanda baginda Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang menghina Islam.
Pak Dee rasa kalau baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor senyap, semua akan senyap, kecuali Dr. Akmal yang berseorangan dari awal hingga akhir bersuara dalam isu penghinaan kalimah Allah oleh KK Mart.
Betul, bukan KK Mart yang jual stoking itu. Pengedar rasmi kedai itu yang letak stiking di kedai itu. KK Mart sediakan ruang untuk pengedar letak dan jual produk masing-masing. Tetapi, sebagai tuan rumah kepada pengedar-pengedar, KK Mart kena patut ada rasa tanggungjawab untuk periksa dan semak semua barang-barang yang dibawa masuk ke rak untuk jualan.
Terlalu percaya atau longgar sangat syarat dikenakan kepada pengedar pun tak boleh juga. Mana kita tahu dalam ramai-ramai pengedar, ada seorang dua yang busuk hati, buruk perangai terhadap kita. Diletaknya produk salah atau haram, menangis tak berlagu la.
Dan, memang betul tekaan Pak Dee, kerana inilah yang berlaku kepada KK Mart. Kerana terlalu percayakan pengedarnya, akhirnya memakan diri sendiri. Semua pengurusan KK Mart kena kecam, kena kutuk, kena sumpah seranah dan kena panggil soal siasat.
Tika itu, panggillah semua pemegang taruh, ahli lembaga buat mesyuarat tergempar pun dah tak guna. Buat permohonan maaf dan beri pelbagai alasan pun sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Umat Islam sudah terguris.
Ini yang dikatakan, kalau Allah nak tarik nikmat seseorang, dalam sekelip mata sahaja Allah lakukan. Tetapi, manusia tak pernah mahu ambil pengajaran dari insiden yang lepas-lepas.
Dalam al-Quran sudah jelas Islam itu agama yang benar. Dan, dalam Perlembagaan Negara juga sudah termaktub, Islam itu agama Persekutuan. Tidak ada agama lain boleh mengatasi agama Islam, tetapi tidak dihalang untuk penganutnya beramal dengan agama masing-masing, asalkan jangan sentuh agama orang lain.
Dalam undang-undang juga sudah jelas dinyatakan, mana-mana penganut agama lain tidak boleh menghina agama Islam. Begitu juga yang beragama Islam tidak boleh menghina kepercayaan agama lain.
Ini yang dipanggil majmuk. Hidup bermasyarakat dengan penuh keharmonian walaupun berlainan agama. Tetapi, dalam selalu peringatan ini diperingatkan, masih ada juga yang mengambil kesempatan nak gugat keharmonian.
Mereka dengan sengaja bermain dengan sentimen keagamaan. Menyentuh sensitiviti penganut-penganut agama yang ada di Malaysia dengan tujuan untuk menimbulkan kemarahan, kekacauan dan ganggu-gugat.
Jadi, apa yang Pak Dee nak titipkan di sini, inilah yang berlaku kalau ada pihak cuba menjolok sarang tebuan. Bila tebuan mengamuk, tiada maaf bagi mu. Dan, inilah yang berlaku kepada KK Mart.
Buat perkara ditegah ni memang seronok, tapi bila kena cekup, bila sudah terhantuk baru nak tengadah. Minta maaf berjela-jela pun tak guna lagi.
Dan, dalam bab KK Mart ni, mereka patut berterima kasih kepada umat Islam Malaysia. Walaupun kalimah Allah Yang Maha Suci disentuh, umat Islam tidak seagresif seperti saudara seagamanya di negara-negara lain.
Kemarahan umat Islam di Malaysia tidak sampai tahap nak bakar kedai. Tidak sampai tahap nak berhimpun depan kedai. Umat Islam Malaysia cukup berdisiplin dalam mengajar pihak yang menghina agamanya. Iaitu, boikot.
Mereka tidak masuk membeli di kedai KK Mart. Mereka gunakan kuasa membeli mereka di kedai-kedai Muslim.
Jadi, KK Mart mahupun rakan-rakan yang sewaktu dengannya tak boleh marah kepada Muslim kalau kedai mereka tidak lagi dikunjungi. Kami sebagai umat Islam, kami patuh pada ajaran agama kami, yang minta kami berdisiplin dalam semua hal. – NasionalDaily 24hb Mac 2024
Jangan boikot bazar Ramadan, boikot peniaga jual makanan basi
SELAMAT berpuasa Pak Dee ucapkan. Belum terlambat untuk buat ucapan kepada pembaca NasionalDaily, kerana puasa baru masuk hari keempat.
Dan, hari keempat puasa juga sudah riuh pasal makanan basi, lauk berulat dan air yang dijual di bazar-bazar Ramadan sudah berbau masam.
Bab puasa ni, Pak Dee sejak dulu sampai sekarang tak pernah terbeli makanan basi, lauk berulat mahupun air sudah masam, sebab Pak Dee tak pernah beli di bazar Ramadan.
Hari-hari sepanjang 29 atau 30 hari puasa, Pak Dee masak sendiri je. Paling simple Pak Dee goreng nasi dengan cili boo, campak udang atau kerang. Masa berbuka makan nasi goreng berulamkan timun cicah budu. Lebih sedap dan lebih menyelerakan dari beli di bazar Ramadan.
Setiap kali tiba Ramadan, Pak Dee selalu ingatkan dan pesan pada saudara mara, kawan taulan, sahabat handai, jangan beli makanan atau minuman di bazar Ramadan.
Hari pertama okay lagi, semua makanan dan minuman fresh-fresh, masuk hari kedua dah rasa maung (makanan dah mula rasa macam basi). Apa tidaknya, makanan yang tak habis dijual pada puasa pertama, dicampur dengan masakan baharu pada hari kedua. Kemudian bila yang basi campur dengan yang baharu hari kedua tak habis, dicampur lagi dengan masakan baharu pada hari ketiga, maka lain macam lah makanan atau minuman tu.
Bayangkan, segala bakteria dan kuman pada sisa makanan hari pertama dan hari kedua dijual pada hari ketiga. Mahu tak sakit perut. Bila sakit perut dan termakan makanan basi, minuman masam, mulalah viral di media sosial.
Dalam bab ni, Pak Dee tak tahu nak salahkan siapa. Pak Dee percaya semua pelanggan yang berkunjung ke bazar Ramadan, matanya okay, hidungnya okay dan telinganya pun okay.
Bila semua okay, mustahil masa mereka beli makanan dan minuman tu tak dapat lihat keadaan makanan tu atau tak dapat hidu baunya. Begitu juga ada telinga, tapi tak nak dengar nasihat orang supaya jangan beli di bazar Ramadan.
Biasanya, peniaga makanan dan minuman di bazar Ramadan ni 90 peratus adalah muka baru, bukan peniaga yang sudah lama berniaga. Peniaga baru biasanya meniaga nak kaut untung, mereka tak ambil berat pun soal kualiti makanan dan minuman. Janji makanan dan minuman mereka laku.
Peniaga lama meniaga kerana nak jaga imej mereka, sebab selepas raya, mereka akan teruskan berniaga dan perlu jaga hati pelanggan. Peniaga baru, habis sebulan Ramadan, mereka bungkus segala alat-alat untuk digunakan pada Ramadan akan datang. Tak ada pelanggan tetap pun mereka tak kisah, sebab pelanggan mereka sentiasa orang baharu.
Sebab itu Pak Dee selalu pesan, jangan beli makanan dan minuman di bazar Ramadan. Dan, kerana tak dengar nasihat Pak Dee, maka hari ketiga Ramadan lagi dah bising terbeli makanan basi.
Kemudian hari ni Pak Dee dengar sosek sosek pakat nak boikot bazar Ramadan, macam mereka boikot McD, Starbuck dan KFC. Pada Pak Dee, tak wajar nak boikot sebab akan memberi kesan pada peniaga lama. Peniaga yang jual makanan fresh.
Kalau nak boikot juga, boikotlah peniaga yang jual makanan basi dan air masam tu. Kenal pasti tapak gerai dan muka peniaga tu, kemudian beritahu kepada orang ramai jangan sekali-kali singgah beli di situ. Itu cara betul nak boikot.
Bazar Ramadan tak salah. Maka tak perlu nak boikot. Yang salah ialah peniaga bidan terjun tu. Masak tah apa-apa, lebih kepada syok sendiri. Soal kualiti diletaknya ke belakang. Kemudian datang pelanggan yang mata rabun, hidung resdon terus beli makanan tu walaupun lauknya ada telur lalat. Akibatnya, kerana nila setitik habis susu sebelanga. Atau kerana seekor kerbau membawa lumpur habis terpalit pada yang lain.
Jangan, Pak Dee nasihat jangan cuba nak boikot bazar Ramadan. Kesian orang lain yang tak tau memasak nak berbuka puasa nanti. Pak Dee, walaupun tak pandai masak, arwah mak ada tinggalkan resipi singgang ikan, tumis ikan bilis dan tumis ketam.
Tiga resipi ni kalau Pak Dee masak gilir-gilir dah seminggu bertahan makan masakan sendiri. Minggu seterusnya, goreng kunyit ikan, makan dengan budu. Selera betul. Ramadan tak mestinya kita kena makan makanan sedap-sedap. Menu biasa pun menyelerakan untuk dijadikan juadah berbuka puasa. – NasionalDaily 15hb Mac 2024
Ayah Sin arkitek padi dan beras
SEJAK mutakhir ni heboh pasal padi dan beras. Heboh di Parlimen mahupun heboh di luar Parlimen. Ada yang kata padi tak bermutu, ada yang mendakwa beras tidak ada di pasaran.
Setakat ni Alhamdulillah, Pak Dee tak berdepan lagi dengan ketiadaan beras di pasaran. Pak Dee pergi ke kedai runcit, pergi ke pasar raya borong pun beras bertimbun-timbun di rak.
Yang mendakwa kata beras tak ada tu Pak Dee tahu macam mana boleh berlaku. Mungkin di kedai runcit sekitar kampung mereka lah kot tak ada bekalan. Pada Pak Dee, semuanya mencukupi.
Apa yang menarik perhatian Pak Dee mengenai padi dan beras ni, suka Pak Dee nak imbau di zaman awal 90-an, di mana Pak Dee bekerja di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kota Bharu, Kelantan.
Ketika Pak Dee mula masuk kerja, pengerusinya adalah Tan Sri Hussein Ahmad atau lebih mesra dan dikenali dengan panggilan Ayah Sin. Pak Dee bertugas sebagai Ketua Wartawan Radio KADA waktu itu.
Sebagai wartawan, tugasan harian Pak Dee ialah ikut Ayah Sin hadir ke program-program di setiap kampung. Pak Dee lihat dan merasai sendiri suasana cara Ayah Sin bekerja.
Hampir setiap bulan ketika Ayah Sin mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah KADA, agenda utama yang Ayah Sin tekan ialah, “jangan sekali-kali keluasan sawah dalam kawasan KADA berkurangan.
Ayah Sin juga tekankan kepada pegawai-pegawai kanan KADA, agar pastikan jumlah pengeluaran padi di enam kawasan seliaan agensi itu sentiasa mengatasi daripada jumlah sebelumnya.
Maknanya, Ayah Sin tekankan kepada dua aspek, keluasan sawah dan jumlah pengeluaran padi. Banyak reformasi telah Ayah Sin lakukan seperti melarang sawah ditukar kepada status pembangunan.
Maksudnya, Ayah Sin tak mahu setiap inci sawah ditukar hak milik status. Iaitu tak boleh dibina rumah atau sebarang pembangunan di atas sawah. Malah, mana-mana sawah yang terbiar, Ayah Sin minta pegawai KADA ambil dan tanam dengan padi.
Ayah Sin juga galakkan anak-anak petani ikut jejak langkah keluarga mereka. Turun ke bendang, usaha tanaman padi. Hasilnya, boleh tamping perbelanjaan diri dan keluarga.
Sebab itu, di zaman Ayah Sin, anak-anak muda tak segan silu turun berselut di bendang. Mereka tak takut pada panas. Mereka tak takut pada hujan. Jadinya, hasil pengeluaran padi bertambah setiap musim.
Kalau ada satu-satu kawasan hanya boleh usaha dua musim setahun, Ayah Sin tingkatkan kepada lima musim dua tahun. Ayah Sin tekankan jadual air. Pastikan sepanjang tali air KADA sentiasa ada air mencukupi untuk mengairi sawah.
Petani dan anak-anak mereka makin seronok. Tak cukup dengan itu, petani dan keluarga boleh tambah pendapatan dengan menternak itik dalam bendang bila habis musim menuai dan menternak ikan di sepanjang tali air.
Ayah Sin juga wujudkan Satu Kampung Satu Pengeluaran. Perkenalkan zon buah-buahan dan projek KADA Stop. Yang dapat hasil daripada semua program yang diperkenalkan ialah petani dan anak-anak mereka.
Ayah Sin juga perkenalkan projek Ladang Merdeka. Juga perkenalkan Ladang Benih. Sebab itu, setiap kali tiba musim tanaman, bekalan benih sentiasa mencukupi dan pengeluaran padi dan beras memenuhi keperluan negara.
Tak pernah dengar negara kekurangan padi. Tak pernah dengar negara kekurangan beras tempatan. Sebab proses pengeluarannya sentiasa beroperasi tanpa henti di enam kawasan KADA.
KADA mempunyai enam kawasan seliaannya yang mencakupi 70 peratus keluasan tanah Kelantan. Kawasan itu ialah Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Bachok dan Pasir Puteh. Ketika ini tidak ada satu ekar sawah pun dibina rumah. Semuanya keluasannya menghijau dan menguning dengan pokok padi.
Namun, selepas Ayah Sin tidak lagi menjadi Pengerusi KADA dan ditukar kepada orang lain, jumlah keluasan sawah dan pengeluaran padi makin merosot. Rumah-rumah, kilang-kilang dan pelbagai pembangunan dibina di sawah-sawah.
Jumlah keluasan yang dijaga dan dititik berat oleh Ayah Sin makin mengecil. Bila keluasan sawah mengecil, ia juga memberi kesan kepada jumlah pengeluaran padi.
Dari situ, negara mula berdepan dengan krisis makanan iaitu beras. Dan, mulalah rakyat Kelantan beralih selera kepada beras Siam.
Kini, setiap kali Pak Dee balik Kelantan, Pak Dee sedih, tanah-tanah sawah yang dulu menyumbang kepada pengeluaran padi dan beras mula bertukar kepada kediaman.
Ramai mengalihkan untuk membina rumah di sawah sebab harga tanahnya murah berbanding harga tanah di daratan. Maka, dengan itu, industri padi di Kelantan mula malap.
Tali air KADA juga tidak lagi ceria seperti sebelumnya. Rumah-rumah pam milik KADA di Kemubu, di Mekasar dan di Lemah mula sepi. Tidak lagi kedengaran ngauman enjinnya mengepam air dari Sungai Kelantan.
Sawah-sawah yang tidak terlibat dengan pembinaan rumah dan pembangunan mula terbiar. Anak-anak muda mula berhijrah ke ibu kota mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.
Bukan itu saja, kilang-kilang mesin beras yang dulu meriah, kini sudah hilang dari tapak, satu demi satu roboh. – NasionalDaily 07hb Mac 2024
Ahad, 3 Mac 2024
Sakit jiwa dengan sistem rawatan bercelaru
PAGI ni Pak Dee ke Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam sebab ada temujanji rawatan susulan penyakit empat serangkai yang Pak Dee hidap.
Temu janji jam 9 pagi. Pak Dee sampai jam 8.30 pagi. Sebaik sampai Pak Dee ke kaunter ambil nombor. Kaunter ni ditempatkan di luar pintu masuk ke bangunan klinik atau lebih mudah cakap, di kaki lima bangunan klinik.
Selesai ambil nombor, Pak Dee kena tunggu di kerusi luar bangunan klinik. Tunggu nombor giliran dipanggil untuk ke kaunter pendaftaran. Lebih setengah jam menunggu, nombor giliran Pak Dee tertera di papan letronik.
Papan nombor giliran letronik pun dah nampak uzur. Ada nombor terang mudah nampak, ada nombor blur sukar nak tengok.
Pak Dee berjalan masuk ke bangunan klinik. Ambil masa lebih 30 saat juga nak sampai ke kaunter pendaftaran dan dua tiga kali juga ulang sebut nombor giliran Pak Dee sementara sampai ke kaunter tu. Jaraknya taklah jauh. Ada la dalam 70 ke 100 meter. Yang sihat macam Pak Dee boleh sampai dalam 30 saat, tapi yang berkerusi roda, mahu seminit lebih nak sampai. Di sini, banyak masa lompong. Terbuang.
Dalam dua tiga minit selesai pendaftaran, Pak Dee diarah pula ke kaunter check tekanan darah dan gula. Di sini, Pak Dee tunggu hampir 20 minit untuk nama dipanggil. Selepas tiba giliran, Pak Dee diperiksa tekanan darah, diminta timbang berat badan dan dicalit sikit darah di jari untuk tengok paras gula. Selesai. Pak Dee diarah pula ke kaunter ambil darah bersekali dengan ambil air kencing.
Dalam 15 minit menunggu nama dipanggil untuk proses ambil darah dan air kencing, tiba-tiba nombor Pak Dee di bilik doktor sudah tertera. Tika ni Pak Dee serba salah, nak tunggu nama dipanggil untuk ambil darah dulu atau nak terus masuk jumpa doktor.
Sebabnya, nombor giliran Pak Dee di bilik doktor dah disebut tiga kali. Kalau melepas yang ni, Pak Dee kena tunggu lagi. Maka, Pak Dee putuskan masuk bilik doktor dulu. Masuk tanpa bawa buku rawatan dan kertas nombor giliran.
Doktor minta buku rawatan, Pak Dee kata buku dah letak di kaunter ambil darah dan air kencing. Ok, tak apa kata doktor. Dia ambil sekeping kertas catat nama-nama ubat dan tarikh temu janji akan datang (31hb Julai 2024, jam 9 pagi).
Lama juga dalam bilik doktor. Ada dekat 10 minit. Selesai jumpa doktor, Pak Dee diminta oleh doktor untuk terus ke kaunter ambil darah dan air kencing yang Pak Dee dah terlepas masa berada dalam bilik doktor.
Dekat 10 minit tunggu, Pak Dee nampak petugas letak semula buku rawatan Pak Dee dalam bakul depan pintu masuk ke bilik ambil darah.
Pak Dee ambil buku tu dan masuk ke bilik ambil darah tanya, boleh tak ambil darah saya? Petugas tegur, tadi dah dua tiga kali panggil nama, tak datang dan kena tunggu giliran semula. Pak Dee jawab, masa nama saya dipanggil saya dalam bilik doktor.
Dia tak layan. Lalu Pak Dee kata, sistem di klinik ni sungguh celaru dan mengelirukan. Lebih menyusahkan pesakit daripada melegakan pesakit. Petugas tu diam sambil selesaikan urusan ambil darah pesakit di depannya.
Pak Dee sekali lagi merungut. Pak Dee kata, sepatutnya prosedur rawatan mesti ikut sistem, bukan dalam satu masa nama pesakit dipanggil masuk di dua tempat berasingan. Pak Dee terus keluar dari bilik ambil darah dan air kencing.
Memandangkan jam dah lebih 11 pagi dan hampir dua setengah jam menunggu proses rawatan, Pak Dee ambil keputusan pergi saja ke kaunter ubat. Lupakan proses ambil darah dan air kencing dan selepas itu ada satu lagi proses yang Pak Dee kena lalui, iaitu periksa mata dan main ketuk-ketuk kaki (nak uji urat saraf Pak Dee masih berfungsi dengan elok lagi atau dah separuh lapuk).
Proses periksa mata ini pun sekurang-kurangnya ambil masa setengah jam menunggu. Jadi, Pak Dee tak nak tunggu lama, Pak Dee terus ke kaunter ubat, serahkan diskripsi yang doktor bagi dan tunggu.
Dalam 20 ke 25 minit menunggu, nombor giliran Pak Dee dipanggil untuk ambil ubat. Selesai saja dapat ubat untuk bekalan dua bulan dan dimasukkan dalam beg plastik atau jabir rokrak, Pak Dee terus bergerak balik, tanpa lalui proses ambil darah, air kencing, periksa mata dan sesi main ketuk-ketuk kaki. Biarlah.
Sebagai pesakit, tempat untuk rehat ialah di rumah, bukan di klinik. Paling lama seseorang pesakit boleh menunggu sekitar satu ke satu setengah jam. Kalau lebih dua jam belum selesai lagi, makin sakit pesakit, bukan makin sihat.
Lagi pun, pesakit ke klinik hanya nakkan ubat saja. Proses ambil darah, ambil air kencing, periksa mata dan ketuk-ketuk kaki tak perlu semua tu. Kalau nak juga Pak Dee lalui semua proses tu tunggu temu janji akan datang 31 Julai 2024 ini. - NasionalDaily
Caj mesin ATM, dulu RM1,500 + RM1, sekarang RM1,500 + RM2
PAGI tadi (28hb Feb 2024) Pak Dee pergi ke pasar raya NSK di Klang. Niat asal ke sana sebab nak gunting rambut. Kebetulan duit dalam poket tinggal berapa rial (ringgit) saja, Pak Dee ke mesin ATM nak keluarkan duit.
Sampai di mesin ATM MEP, Pak Dee masukkan kad, tekan nombor pin, tekan Bahasa Malaysia, tekan akaun Simpanan dan tekan jumlah duit nak dikeluarkan. Selesai aturan tu, duit tak keluar. Yang keluar hanya resit.
Pak Dee cuba kali kedua. Masukkan kad ATM, tekan itu tekan ini, yang keluar hanya resit, bukan duit. Pak Dee sangka mesin tak ada duit. Lepas tu Pak Dee ambil kad, beratur mesin ATM sebelah.
Kebetulan ada seorang abang sedang keluarkan duit. Dia yang maklumkan pada Pak Dee, mesin yang Pak Dee guna tu hanya boleh keluarkan duit bawah nilai RM1,000.
Abang tu kata, tu taktik licik bank. Mereka nak pelanggan keluar lebih daripada sekali di mesin berkenaan, sebab sekali keluar bank caj RM1. Kalau dua kali keluar bank dapat RM2. Ooo bijak, bijak, kata Pak Dee pada abang sebelah.
Kemudian, Pak Dee ke mesin itu lagi untuk masukkan kad ATM kali ketiga dan tekan jumlah pengeluaran RM1,000. Memang benar, duit RM1,000 keluar dari mesin itu. Kali pertama dan kedua tadi Pak Dee nak buat pengeluaran RM1,500. Duit tak keluar.
Dengan pengeluaran RM2,000 dalam dua kali proses, Pak Dee hilang RM2. Pandai bank buat untung atas angin. Atas Pak Dee seorang buat dua kali pengeluaran, bank dah dapat RM2.
Bayangkan, kalau yang buat pengeluaran duit hari tu lebih 100 orang, senang-senang bank dapat lebih RM200 untung, hanya atas caj RM1 sekali keluarkan duit sahaja.
Bayangkan juga lagi kalau puluh ribu mesin MEP kenakan taktik macam tu, berapa juta ringgit sehari bank dapat untung. Mereka senang-senang lipat untung atas kesusahan rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Oleh kerana Pak Dee hanya insan yang kerdil, kalau bersuara pun tak ada siapa yang kisah, maka akan berlarutanlah kes seperti ini berlaku di luar sana tanpa sebarang ‘teguran’ daripada kerajaan atau pihak berkaitan.
Bagaimanapun, kes macam ni berlaku pada mesin ATM yang sediakan khidmat MEP. Kalau Pak Dee guna mesin Maybank, dah barang tentu tak kena caj. Yang dikenakan caj ni kalau Pak Dee guna kad Maybank, tak cocok duit di mesin ATM bank lain.
Itu Pak Dee dah tahu, pihak bank akan kenakan caj RM1 untuk sekali pengeluaran. Tapi, dalam kes Pak Dee ni, mesin ATM berkenaan tak terima kalau kita nak keluarkan RM1,500 sekali pengeluaran. Mesin ATM tu kenakan syarat Pak Dee perlu buat dua kali pengeluaran iaitu kali pertama RM1,000 + RM1 dan kali kedua keluar RM500 + RM1.
Nampak tak? Dulu keluar RM1,500 + RM1. Sekarang keluar RM1,500 + RM2.
Memang bank tak kenakan caj yang tinggi pun, cukup sekadar RM1 saja seorang. Tapi, kalau satu juta buat pengeluaran sehari, takkah RM1 juta bank dapat untung dalam sehari?
Kepada pemilik bank yang tamak haloba, menjawablah di akhirat kelak atas caj RM1 yang kamu kenakan di bawah syarat atau peraturan baru tu. Makan duit orang kaya Pak Dee tak kisah. Ini kamu makan duit rakyat yang bekerja dengan pendapatan gaji tak sampai pun RM1,000 sebulan atau RM1,500 sebulan.
Dalam keadaan rakyat hidup bertengat, berjimat cermat, kamu kaut lagi bahagian mereka untuk tembolok kamu. Dan, kepada pihak berkaitan, cuba-cubalah tengok-tengok sikit kerenah bank ni. - NasionalDaily
Nasib tuan lah dapat majikan macam tu
PAK DEE bukanlah nak sokong sangat Menteri Pelancongan dalam bab dia gunakan kuasa menterinya untuk turunkan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dr. Ammar kepada pangkat Timbalan Ketua Pengarah.
Tetapi, Pak Dee lebih suka tengok dalam konteks ‘lama bekerja tidak semestinya cemerlang sampai ke pencen’.
Memanglah bagi seseorang yang berada di kerusi nombor satu dalam jabatan atau agensi akan berasa canggung, ralat atau kecewa kalau tiba-tiba diturunkan ke kerusi nombor dua.
Selain di mana nak letak rasa malu, terasa juga maruah diri telah diperkotak-katikkan sedemikian rupa oleh majikan, yang kebetulan pula majikan jenis angin tohor.
Pak Dee kata begini kerana Pak Dee pun ada pengalaman serupa juga dengan KP Tourism tu. Cuma, lapangan kerja Pak Dee berbeza dengan KP Tourism. Pak Dee dalam dunia dan kerjaya kewartawanan.
Sebagai pengamal media yang bekerja selama hampir 40 tahun, Pak Dee dah pegang semua jawatan yang ada. Dari pemberita sambilan, pemberita, wartawan, wartawan kanan, ketua wartawan, penyunting kanan, pengarang sampailah ke jawatan paling tinggi dan besar, ketua pengarang. Tapi setakat akhbar nyamuk saja lah.
Ketika Pak Dee berasa syok pegang jawatan pengarang, tiba-tiba majikan bagi notis tukar jawatan dan pangkat Pak Dee kepada penyunting kanan. Tukar tu kononnya khidmat Pak Dee diperlukan di biro (tak kira diperlukan di mana-mana pun, tapi kenapa sampai perlu turun pangkat?)
Memang blur lah bila mula-mula berdepan dengan tindakan majikan ni. Seminggu hilang selera makan, fikirkan nasib. Nampaknya, tak ada peluang cerah bekerja dengan majikan macam ni. Apapun, Pak Dee akur dan muhasabah dengan apa yang berlaku.
Ada yang tanya kenapa jawatan sentiasa bertukar, tidak kekal selama-lamanya atau makin lama bekerja makin tinggi jawatan, pangkat dan gaji? Jawapannya mudah saja. naik turun pangkat seseorang terletak pada majikan.
Tapi, kalau kita tanya kepada majikan kenapa dipecat, dibuang atau diturunkan pangkat? Alasannya mudah saja, kamu sudah tidak diperlukan di jabatan ini lagi. Atau, prestasi kerja kamu makin merosot, tempat kamu akan digantikan dengan orang baharu’.
Jadi, pada Pak Dee, lama atau baharu seseorang bekerja tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk orang di luar sana melihat kepada kesenioritian kita. Memang, dari segi tempoh kerja kita sudah dianggap senior, atau lebih kanan, tetapi majikan pula melihat sejauhmana idea kita berkembang untuk syarikat.
Demikianlah yang berlaku antara seorang menteri dengan KPnya. Menteri kata, KPnya tidak lagi tunjuk prestasi kerja yang bagus, selalu ingkar arahan. Jadi, jalan terbaik ialah turunkan pangkat. Itu cara betul untuk KP berkenaan balik rumah, tulis notis nak bersara awal.
Dan, memang betul apa yang dikatakan bekas Pengerusi Kada, Tan Sri Hussein Ahmad sekitar awal 90-an, mengenai kesan bila seseorang sudah terlalu lama memegang jawatan.
Ayah Sin kata, “bila seseorang itu terlalu lama sangat dengan jawatannya, akan tiba masanya fikirannya akan blur, habis idea dan akhir sekali dia akan ulang perkara sama dengan nama lain untuk kononnya nampak macam baharu.
Kalau sekali imbas, memang baharu, tetapi baharu pada nama, bukan pada kontennya. Kepada mantan KP Tourism, Pak Dee hanya mampu minta tuan bersabar dengan ujian yang menimpa tuan.
Nasib tuan lah dapat majikan macam tu. - NasionalDaily
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...