Rabu, 3 September 2014

Allahyarhamah Ku Noor Asiah dalam sejarah

Bicara Tokoh: Yang Mulia Berhormat Dato’ Tengku Noor Asiah (1930 - 2013)

Yang Mulia Berhormat, Dato’ Tengku Noor Asiah atau lebih mesra dipanggil Tengku Noor (Ku Noor) dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 11 November 1930. 

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Merbau (1935-1938). Selepas itu, beliau menuntut di Government Girls English School antara 1939-1940. 

Beliau tidak dapat meneruskan pendidikan selepas itu disebabkan Tanah Melayu diserang tentera Jepun.

Beliau mula terlibat dalam politik apabila menyertai Parti Negara pada tahun 1956. Kemudian menyertai UMNO dan dilantik menjadi Ketua Wanita UMNO Cawangan Merbau dari 1963-1974.

Pada tahun 1969 hingga 1974, beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Ahli Jawatankuasa Majis Tertinggi UMNO Malaysia pada 1968.

Semasa krisis UMNO Kelantan yang membawa penubuhan Parti Melayu Semangat 46 di bawah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), beliau dilantik menjadi Ketua Wanita Semangat 46 Semalaysia dan kembali semula ke dalam UMNO apabila Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.

Dato’ Tengku Noor Asiah memang lahir dalam keluarga politik. Ayahandanya, dikenali dengan YAM Tengku Ahmad Panglima Raja Kelantan merupakan salah seorang Pengasas dan Pengerusi UMNO Kelantan sebelum merdeka.

YAM Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin YTM Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar Ibni Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah) berperanan sebagai penabal Al-Sultan Kelantan.

 Beberapa saudaranya ikut aktif dalam politik. Semasa menjadi Anggota Parlimen 1974, adiknya Tengku Zaid Tengku Ahmad juga menjadi Anggota Parlimen Pasir Mas mewakili Pas.

Beliau juga adalah kekanda kepada Sultanah Johor, Tengku Zahariah Tengku Ahmad dan Sultanah Nora Tengku Ahmad dan juga Tengku Iskandar Tengku Ahmad adiknya.

Dato' Tengku Noor Asiah menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1978 bagi kawasan Tumpat, negeri Kelantan.

Beliau bertanding atas tiket parti Barisan Nasional dan beliau meninggal pada 27hb Sept 2013. Al-fatihah.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran