Isnin, 8 September 2014

Sultan terima senarai nama, tapi dukacita dengan DAP dan PKR


Istana Selangor hari ini mengesahkan telah menerima senarai nama calon Menteri Besar Selangor dari ketiga-tiga parti pakatan pembangkang sebagaimana titah Tuanku dalam surat bertarikh 27 Ogos lalu.

Bagaimanapun, daripada tiga parti itu, hanya Pas yang akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar yang baharu.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dua parti lagi iaitu DAP dan PKR measing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar.

“Sultan amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan Keadilan (PKR) yang engkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos.

“Tindakan DAP dan Keadilan ini menggambarkan kebiadapan kepada Institusi Raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah sultan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Mohamad Munir berkata, titah Sultan Selangor kepada setiap parti dalam PR supaya mengemukakan senarai lebih daripada dua calon adalah satu amalan atau konvensi yang dilaksanakan oleh sultan selama ini.


Ini katanya, bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut.

“Ciri-ciri ini amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri Selangor agar berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat.

“Baginda sultan berkeyakinan bahawa terdapat ramai calon dalam parti PR yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti yang disebutkan itu bagi menerajui kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, dengan penerimaan senarai calon itu, maka Sultan Selangor akan menelitinya dan mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap calon sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam masa sama, memandangkan kuasa melantik Menteri Besar terletak pada budi bicara sultan, maka baginda juga akan meneliti nama-nama ADUN yang lain dari PR yang berkelayakan dan pada fikiran sultan mendapat kepercayaan majoriti ADUN,” katanya.

Tiada ulasan: