SAYA ditanya mengenai desas desus pembentukan Kerajaan PAS-UMNO-Ex PKR di Selangor. Saya katakan, bukan sahaja sukar tetapi mustahil.
Baik dari sudut bilangan, prinsip, pelaksanaan dan kesan jangka pendek dan panjang serta dinamisma parti-parti yang terlibat.
Untuk Ex PKR diterima menjadi ahli PAS bagi mencukupkan bilangan untuk digabungkan dengan 12 ADUN UMNO menjadikan bilangannya 29 bagi membentuk kerajaan minoriti, perlu diputuskan oleh AJK PAS Pusat.
Saya tidak nampak keahlian mereka akan diluluskan oleh PAS Pusat.
Banyak sebab asas kenapa saya berpandangan demikian tetapi rasanya tidak
perlu dihuraikan di sini.
Pokoknya, keahlian mereka tidak akan diterima.
Untuk permohonan mereka diangkat ke dalam mesyuarat PAS Pusat, mereka
mesti terlebih dahulu secara rasmi keluar dari parti mereka.
Saya tidak fikir, jika ada, mana-mana pemimpin PKR akan mengambil risiko sedemikian.
Kalau ada orang bertanya kenapa mustahil bagi PAS Pusat menerima
keahlian bakal Ex PKR, jawabnya sama seperti disebut oleh Presiden PAS
sendiri semasa merasmikan Nekad hari ini (2 September) - itulah PAS. PAS
berbeza dari parti-parti lain.
Saya tahu ada usaha terancang
dari setengah kalangan UMNO untuk menyerapkan agenda mereka ke dalam
PAS. Khususnya dari team TPM.
Team ini berpendapat, dengan
menguasai institusi tertentu dalam PAS, PAS akan bergerak mengikut
kehendak mereka. Mereka gagal memahami PAS adalah parti yang berbeza
dengan UMNO.
Dalam UMNO, jika Presiden menetapkan satu agenda
tertentu, MKT akan bersetuju dan perhimpunan Agung UMNO hanya akan
menunggu untuk mengangguk.
PAS tidak sama.
Muktamar PAS adalah kuasa tertinggi. Majlis Syura sekalipun tidak boleh mengatasi Muktamar.
Tidak mudah untuk UMNO menguasai 2/3 kawasan-kawasan PAS seluruh negara
untuk menguasai Muktamar. Hasrat utama team ini adalah mencapai dua
pertiga di Parlimen dan seterusnya meluluskan tambahan kerusi Parlimen
yang kononnya memperkuat kuasa politik Melayu.
Selangor adalah umpan terdekat mereka.
Pelbagai helah dicari untuk memisahkan ikatan PR. Jika PAS sudah berpisah, fikir mereka, mudahlah UMNO masuk meminang.
Masalah utama strategi mereka adalah tidak cukup bilang.
Dulu PAS mempunyai lima belas ADUN dan UMNO ada 12. Jumlahnya 27.
Campur TSKI, komplot ini hanya memerlukan tambahan satu orang ADUN
sahaja lagi.
Melengah-lengahkan penyelesaian di Selangor memungkinkan satu dua orang lagi dapat dipancing.
Namun, trend yang kuat wujud supaya dua ADUN yang membuat kenyataan
terbuka menolak TSKI dan mengambil keputusan memperkuat kerajaan PR di
Selangor untuk dipecat.
Malah, secara tidak rasmi, mereka sudah
tidak dibilang sebagai ADUN PAS. Dengan itu, dari lima belas, bilangan
ADUN PAS susut menjadi tiga belas.
Gagalnya TSKI mengajak rakan ADUN yang lain memerlukan calon alternatif.
Untuk mengekalkan TSKI, mustahil untuk mendapatkan Azmin. Ia ibarat mendapatkan khutub utara, terlepas khutub selatan.
Team UMNO tadi cuba meneroka untuk mencicirkan TSKI dan memancing tokoh lain PKR.
Jika PAS hendak dilihat menerajui Selangor, UMNO kena mengizinkan tokoh bakal EX PKR itu menyertai PAS.
Saya telah jelaskan tadi, ia akan buntu. Mereka tidak akan diterima
sebagai ahli PAS. Jika mereka tidak diterima sebagai ahli PAS, pilihan
mereka adalah samada berdiri sebagai ADUN bebas atau menjadi ahli UMNO.
Jika Ex PKR dibiar berdiri sebagai ADUN bebas, sukar bagi PAS dan UMNO
untuk menjelaskan kepada orang ramai bagaimana mereka boleh mendokong
ADUN bebas sebagai MB sedangkan parti mereka mempunyai kerusi yang lebih
banyak.
Jika mereka menjadi ahli UMNO, terlepaslah peluang PAS
mendapat post MB Selangor dan tiga belas ADUN PAS Selangor terpaksa
berketuakan UMNO dalam sekelip mata.
Rasanya, pengundi mereka dan ahli PAS akan mengutuk mereka dan hiduplah mereka terlaknat sepanjang masa.
Dari sudut bilangan dan strukturnya sahaja pun, ia sudah mustahil.
Apa lagi, dari segi hukum dan amalan demokratik, tiga belas ADUN PAS
harus diberikan kebebasan, dalam situasi itu, sama ada untuk sama
bersekongkol dalam persepakatan pintu belakang seperti itu atau
membebaskan diri mereka.
Jika kebebasan diberi, rasanya bilangan tiga belas itu boleh susut tinggal separuh.
Kerajaan Bebas-PAS-UMNO atau Kerajaan UMNO-PAS tadi akan runtuh sekelip mata juga.
Kerana itu, saya ingin meyakinkan rakyat Selangor dan Malaysia amnya,
tidak ada mana-mana pemimpin PAS akan terfikir perkara itu.
Ia sebahagain dari khayalan UMNO dan itu pun team tertentu dalam UMNO.
Team ini masih dalam rangka agenda dalaman mereka sesama UMNO.
Itulah sebabnya team PM tidak berminat sepenuhnya dengan apa yang cuba diatur.
Mendapatkan PAS melalui pintu belakang Selangor bermakna akan berlaku garis pemisah politik Malaysia yang sangat menakutkan.
UMNO mendapat tambahan sokongan pengundi Melayu dengan dukungan PAS
melalui pencabulan moral politik itu. Tetapi kesannya adalah akan
menjarakkan lagi sokongan pengundi bukan Melayu kepada BN.
Pengundi bukan Melayu terpaksa terus menyokong PR tanpa PAS. Malaysia terbelah dua.
PAS akan menjadi parti yang malang kerana Islam yang universal untuk
melindungi semua kaum dan menjadi teraju utama politik Malaysia akan
memencilkan dirinya kembali di dalam politik kemelayuan sempit untuk
dekad-dekad yang panjang.
Serangan T Mahathir terhadap Najib
ada asasnya. Selain skandal 1MDB yang telah terperangkap dalam hutang
bukan untuk kepentingan negara sebanyak berbillion-billion ringgit,
Najib gagal memulihkan kepercayaan majoriti rakyat Malaysia sampai hari
ini.
Setakat yang saya ikuti perbincangan pelbagai kumpulan
strategik UMNO, masalah terbesar UMNO kini bukan sangat parti-parti PR
tetapi telah menjadi satu trend umum bahawa UMNO ditolak oleh rakyat
atas nama dan sifat mereka sebagai UMNO. Rakyat yang menolak UMNO.
Najib gagal pada mata Tun M.
Jika UMNO mahu diselamatkan, Najib kena diundurkan.
Dalam rangka itu juga lah sesetengah team dalam UMNO melihat peluang
dari keadaan di Selangor sekarang. Tinggal lagi, mereka gagal memahami
PAS sepenuhnya dalam rangka gerakan strategi mereka.
Jika Tun M melepaskan semua pelurunya, Najib tiadk mungkin dapat bernafas panjang.
Apa pula pendirian pimpinan PAS?
Kerajaan Selangor adalah sebahagain dari kerajaan PAS juga. Exco-exco
dari PAS mendapat gaji dan elaun dari Kerajaan Selangor. Hingga kini
mereka masih berada dalam kerajaan.
Untuk bekerjasama dengan UMNO, ia akan melanggar sekian banyak prinsip, kaedah, cara dan proses.
Secara mudah, ia telah dijelaskan melalui kenyataan akhbar SUP Presiden
PAS bahawa usaha mewujudkan Kerajaan PAS-UMNO-Azmin tidak wujud.
Kita bertolak dari jaminan Presiden PAS itu kerana orang Islam, seperti
kata Nabi Muhammad s.a.w, tidak akan sama sekali berbohong.
Kini, semua parti dalam PR perlu duduk bersama menguruskan isu di Selangor. Lupakan UMNO.
Ia perlu diurus.
Tanpa diurus, dua ADUN PAS misalnya telah mengambil pendirian sendiri.
Saya difahamkan, sepanjang masa itu Perhubungan PAS Selangor tidak pun
bersidang.
Dalam pengalaman PAS Kelantan, lazimnya dalam situasi sebegini, semua ADUN diuruskan.
Hari-hari yang tinggal, jika tidak diuruskan dengan baik, memungkin segala kemungkinan, termasuk pembubaran DUN Selangor.
Jika DUN Selangor dibubar, semua parti khususnya PAS mesti melihat
unjuran politik yang bakal diterimanya. Saya tidak ingin menghuraikan
unjuran itu di sini.
Dalam pendekatan politik Islam, tidak ada
pelepasan perasaan, atau dalam bahasa lain, memuaskan nafsu geram dan
marah, sehingga mengundang mudharat dan menolak maslahah.
Jika
atas apa jua sebab syar’ie PAS tidak boleh mencadangakan calon MB dan
mengambil langkah menyerahkan kepada budi bicara Tuanku Sultan sehingga
PAS terkesan kehilangan Selangor, pada hemat saya, ia jauh lebih tidak
syar’ie lagi.
Malah rekod kepimpinan PAS kerana gagal
menguruskan isu ini dengan cara yang sebaik-baiknya, termasuk saya, akan
kekal hitam untuk tempoh yang lama.
Bagi Saudara Azmin,
sekalipun namanya saya sebutkan di sini untuk tujuan perbincangan, saya
terkesan dengan kata-kata ringkas semasa pertemuan sebelum mesyuarat PR
pada 17 Ogos lalu: ‘Saya nak pastikan Kerajaan Pakatan Rakyat kekal.’
Saya kagumi sikap dan pendirian beliau.
Sebenarnya bukan untuk kita, tetapi untuk perjuangan kita yang masih panjang di hari muka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan