Isnin, 8 September 2014

Pemuda PR desak kepimpinan selesai segera isu MB



Pemuda Pakatan Rakyat (PR) menggesa kepimpinan utama ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang mencari jalan menyelesaikan segera krisis Menteri Besar Selangor yang berlarutan sejak sekian lama.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, tiga sayap parti iaitu Pemuda Pas, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Dapsy Malaysia mempunyai sebab untuk membuat gesaan itu kepada pucuk kepimpinan mereka kerana senario hari ini menunjukkan sokongan serta keyakinan rakyat Selangor terhadap PR semakin terhakis.

Katanya, beliau bersama Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Dapsy Malaysia, Teo Kok Seong telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menyampaikan hasrat mereka.
Pertemuan itu, ujarnya, akan diadakan dalam waktu terdekat dengan harapan hasrat Pemuda Pakatan Rakyat dan anak muda Malaysia didengari, sekali gus segala krisis serta kemelut mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan selesai.

“Kita sedar krisis yang berlaku ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan mereka mula hilang keyakinan terhadap Pas, PKR dan DAP.

“Justeru, kita harap ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti ini dapat meluangkan masa dan bersedia menerima kunjungan kami untuk mendengar hasrat kami yang tidak mahu krisis ini berpanjangan sehingga diambil kesempatan oleh pihak lain mengeruhkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sidang media di sebuah hotel di Subang hari ini. Turut hadir, Nik Nazmi, Kok Seong dan beberapa Exco dari Pemuda Pas, AMK dan Dapsy.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, dalam mesyuarat pagi tadi, Pemuda PR memandang serius tindakan siri tangkapan di bawah Akta Hasutan sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, tindakan itu jelas bercanggah dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hendak memansuhkan undang-undang berkenaan dan berjanji akan memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional pada tahun 2012.

Bagi menyatakan pendirian itu, katanya, Pemuda PKR akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di kementerian di di Putrajaya pada Khamis ini, jam 11 pagi.

“Pertemuan ini adalah untuk kami meminta penjelasan segera daripada Ahmad Zahid berhubung isu-isu yang berbangkit mengenai tangkapan beberapa pemimpin pakatan pembangkang.

“Pertemuan ini adalah salah satu daripada permulaan siri kempen Pemuda PR untuk memastikan akta itu dimansuhkan serta merta dan memastikan juga agar tiada lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa undang-undang itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau, Suhaizan dan Kok Seong turut mendesak polis membuka semula kertas siasatan berhubung kematian Teo Beng Hock lima tahun lalu.

Kata Nik Nazmi, desakan itu dibuat berikutan Mahkamah Persekutuan pada 5 September lalu telah membuat keputusan yang konklusif berkenaan menukar keputusan terbuka coroner dalam inkues kematian Beng Hock itu.

“Tiga hakim yang bersidang pada hari itu telah sebulat suara memerintahkan supaya siasatan terperinci dijalankan tanpa mengecualikan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Dengan itu, Pemuda PR menggesa Ketua Polis Negara memastikan siasatan terperinci dan telus segera dilakukan demi mencari kebenaran berkaitan kematian Beng Hock,” katanya.

Katanya, sebarang pertemuan berhubung kes itu pastinya menjadi amat signifikan kerana banyak kematian dalam tahanan pihak berkuasa sama ada kes Ahmad Sarbaini dan lain-lain.

Tiada ulasan: