Sidang media Naib Presiden bersama Setiausaha Agung Pas hari ini menyaksikan perbezaan pendapatan antara Mohamad Sabu dengan Datuk Mustafa Ali dalam penyenaraian nama calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memulakan
sidang media dengan membuat kenyataan parti itu akan menolak sekiranya nama
calon Menteri Besar yang akan diumumkan oleh Sultan Selangor nanti adalah dari Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.
Katanya, beliau tetap berpegang kepada keputusan parti pada
17 Ogos lalu yang bersetuju mencalonkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
sebagai Menteri Besar, bukan dari Pas atau sesiapa selain Presiden PKR.
“Kalau Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) mengumumkan
nama dari Pas (sebagai Menteri Besar), kita (Pas Pusat) akan tolak.
“Kita kekal dengan keputusan 17 Ogos 2014,” katanya di
Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur.
Kenyataan atau keputusan Mat Sabu itu kemudian disanggah oleh
Mustafa dengan berkata, Pas akan menerima siapa sahaja yang dipilih oleh sultan
walaupun calon itu adalah satu daripada tiga nama anggota Exco Kerajaan Negeri
dari Pas.
Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai kemelut
pelantikan Menteri Besar berkata, apa yang berlaku ini bukan isu besar dan
boleh diselesaikan dengan baik oleh komponen pakatan pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan