Sabtu, 7 Mei 2016

Jenazah Noriah Kasnon selamat dikebumi


Anis Athirah Asmuni, 21, (tiga, kanan) Ain Shafinaz Asmuni (dua, kanan) dan Adam Aidid Suhaili, 19 (empat, kiri) menyiram air ke pusara ibu mereka, Allahyarhamah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, 52, sejurus selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong
TANJONG KARANG, 7 Mei (Bernama) -- Jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong di sini, malam ini.

Jenazah Allahyarhamah disemadikan kira-kira jam 2 pagi di kampung kelahirannya selepas disembahyangkan di Masjid Ar Rahmah, Batu 12 di sini.

Selain anggota keluarga, turut hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Naib presiden Gerakan Datuk A. Kohilan Pillay.

Allahyarhamah, 52, yang juga anggota Parlimen Sungai Besar meninggalkan empat orang anak berumur 29, 24, 21 dan 19 tahun daripada perkahwinan beliau sebelum ini serta seorang anak angkat berumur tiga tahun.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.

Turut menaiki helikopter sama ialah suami Allahyarhamah Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Tiga lagi turut menaiki pesawat malang itu.ialah Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas. - BERNAMA

Tiada ulasan: