Sabtu, 7 Mei 2016

Siapa Datuk Noriah Kasnon?

KUCHING: Datuk Noriah Kasnon, 52, seorang daripada empat penumpang yang hilang dalam helikopter yang tebang dari Spaoh, Betong ke Kuching petang Khamis ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ketika menaiki pesawat itu pada jam 11 pagi semalam, beliau memakai pakaian berwarna putih bertudung biru, lambang warna Barisan Nasional. Para penumpang sempat bergambar dengan Kapten Rudolf Rex Ragas.

heli hilang

Yang turut bersama dalam pesawat itu ialah suami beliau, Asmuni Abdullah,58.

Difahamkan beliau dalam usaha membantu gerak kerja kempen BN Sarawak di kawasan Bukit Saban yang ditandingi Menteri Perusahaan Perladangan, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Noriah yang mempunyai emat anak, dua perempuan dan dua lelaki mulai membabitkan diri dalam politik pada 1999.

Noriah yang dilahirkan di Tanjong Karang, Selangor pada 2 Januari 1964 mendapat ijazah dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1988.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Selangor yang dimenanginya pada 2003, pernah bertugas sementara di Bank Negara Malaysia (BNM).

Bermula sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan selama empat tahun sejak Mac 2004, Noriah dinaikkan jawatan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat di bawah Kabinet baharu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada April 2009, di bawah pentadbiran baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Pada 2012, beliau ditukarkan ke jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan setahun kemudian selepas Pilihan Raya Umum 2013, beliau dipindahkan ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi hingga sekarang.

Sebelum menaiki pesawat berkenaan beliau sempat memuat naik status terkini dalam laman Facebooknya, memohon agar mendoakan mereka selamat mendarat di Betong.

Menggunakan identiti ‘Nur Nin’, Ahli Parlimen Sungai Besar tiga penggal, yang mulai dimenanginya pada 2004 itu memuat naik catatan berkenaan ketika masih di Kuching sekitar 11 pagi semalam.

Yang turut menaiki pesawat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, 58; dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dan pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun.

Allahyarham Noriah kelihatan lebih banyak berdiam diri kebelakangan ini, kata Setiausaha Sulitnya Abidin Supardi, seperti dipetik Bernama.

Abidin yang sudah 12 tahun menjadi Setiausaha Sulit Noriah berkata: "Semasa dalam helikopter kami datang ke Betong, saya tengok beliau banyak berdiam diri," kata Abidin yang turut menaiki helikopter bersama Noriah ketika itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Hospital Umum Sarawak.


Abidin berkata, setelah membuat pengecaman dari segi pakaian dan anggota badan, beliau mengesahkan ia adalah mayat Allahyarham Noriah.- Sarawakvoice.com

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran