Sabtu, 7 Mei 2016

Mayat keempat ditemui

KUCHING – Mayat keempat yang dipercayai mangsa nahas helikopter telah ditemui, demikian menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman.
Menurutnya lagi, mayat ketiga disahkan sebagai Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Timbalan Menteri Datuk Noriah Kasnon.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat ketiga yang dipercayai mangsa nahas helikopter.

Muhammad Sabtu Osman berkata pasukan penyelamat sedang cuba mengeluarkan jasad itu menggunakan kaedah ‘airlift’ dari Sungai Batang Lupar.

Penemuan itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berkata jasad tersebut dikesan di tengah-tengah Sungai Batang Lupar pada 12.04 tengah hari.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan jasad kedua yang ditemui pada jam 8.31 pagi tadi adalah Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Sehingga ini tiga mayat nahas itu telah ditemui selepas jenazah mangsa pertama tragedi terbabit iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dijumpai di tebing Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, kira-kira 30km dari Lingga, tengah hari semalam.

Penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah, Asmuni Abdullah.
 
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang Khamis menghala ke Kuching sebelum terputus hubungan dan hilang dari radar.
 
Beberapa serpihan pesawat itu ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau semalam.

Tiada ulasan: