Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal 14 Jun.
Katanya, SPR dimaklumkan oleh Dewan Rakyat pada 9 Mei lalu mengenai kekosongan kedua-dua kerusi Parlimen itu.
"Dengan ini SPR mengumumkan 13 Mei iaitu hari ini sebagai tarikh keluar writ, 14 Mei tarikh notis pilihan raya, 5 Jun hari penamaan calon dan 18 Jun sebagai tarikh pengundian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di sini, sebentar tadi.
Katanya, kedua-dua PRK berkenaan akan menggunakan daftar pemilih induk (DPI) 2015 yang dikemas kini masing-masing sehingga 7 Mei 2015 bagi Kuala Kangsar dan 6 Mei 2015 (Sungai Besar).
Kedua-dua kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi kerusi Sungai Besar dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam tragedi helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak 5 Mei lalu.
Allahyarham Noriah dan Wan Mohammad antara enam mangsa kemalangan helikopter itu yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Noriah menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi dalam pertandingan satu lawan satu di kerusi Sungai Besar, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan