Sabtu, 7 Mei 2016

Polis sahkan jenazah ketiga ditemui pengawal peribadi Noriah

 
Gambar terakhir Ahmad Sobri Harun yang dihantar kepada keluarganya melalui pesanan aplikasi WhatsApp ketika menaiki helikopter  
 
KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Polis mengesahkan jenazah ketiga tragedi helikopter di Sarawak, yang ditemukan tengah hari tadi adalah pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri, Datuk Noriah Kasnon, Konstabel Ahmad Sobri Harun.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, ini berdasarkan kad kuasa polis yang ditemui bersama jenazah dan perkara itu juga disahkan Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak.

"Beliau dikenal pasti melalui kad kuasa polis yang ada bersamanya ketika ditemui. Jenazah akan dibawa pulang ke Terengganu oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas selesai urusan di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, Ahmad Sobri, 26, yang berasal dari Terengganu kini bertugas di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan membantu pengurusan jenazah Allahyarham Ahmad Sobri.

"Selepas selesai disempurnakan, dimandikan, dikafankan, kita akan bantu dalam urusan pengebumian," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak, di sini petang ini.

Dalam tragedi itu, helikopter tersebut yang dinaiki enam orang, berlepas dari Betong pada 4.12 petang Khamis, dalam penerbangan ke Kuching sebelum pesawat itu hilang.

Selain Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Ahmad Sobri, turut berada dalam helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, Pengerusi MPOB yang juga Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad serta juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas. - BERNAMA

Tiada ulasan: