Isnin, 22 April 2013

Hadi Dakwa Calon PKR Dikalangan Pengikut Marxisme, Pengedar Dadah

MARANG: PAS tetap meletakkan calonnya di tujuh kerusi yang ditandingi sekutu mereka Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah bagi 'menyelamatkan pakatan pembangkang', kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi mendakwa PAS mendapati calon yang diletakkan oleh PKR di beberapa kerusi berkenaan mempunyai masalah moral dan ada juga yang dikaitkan dengan idealisme 'Marxisme'

"PAS mahu menyelamatkan Pakatan kerana kami tidak mahu insiden yang berlaku di Perak berulang lagi, apabila kita hanya dapat memerintah sebuah negeri dalam tempoh yang singkat bila ada ahli berpaling tadah.

"Kita mendapat maklumat, salah satu calon adalah pengedar yang menjual dadah jenis methamphetamine. Kami (PAS) tidak boleh bekerjasama dengan calon seperti ini.

"Kita juga tahu salah satu calon turut dikaitkan dengan ideologi Marxisme dan poster tokoh-tokoh Marxis seperti Karl Marx, Joseph Stalin dan Valdimir Lenin turut digantung di bilik gerakan mereka.

"Saya tidak akan mengumumkan siapa mereka, namun PAS tidak boleh bekerja dengan orang seperti mereka," kata Abdul Hadi dalam ceramah di Kg Tebakang lewat malam Ahad.

Beliau menambah, PAS juga membuat keputusan di saat-saat akhir untuk meletakkan calon di Panti, Johor apabila calon PKR hanya muncul 10 minit sebelum proses penamaan calon berakhir.

"Kita mahu mengelakkan Barisan Nasional (BN) daripada menang tanpa bertanding sebab itu kita masuk dan meletakkan calon kita sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan dengan PKR dan DAP dalam Pakatan dan apa yang dilakukannya adalah demi ‘menyelamatkan’ pakatan.

"Kita tidak ada masalah dengan Pakatan, namun kita tidak boleh terima calon seperti ini," katanya.

Selain Panti, PAS turut berdepan dengan calon PKR di kerusi Parlimen Labuan dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Kota Damansara, Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi.


Pertindihan Kerusi: PKR Terengganu Tarik Diri Tanding Tiga Kerusi DUN

KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat Terengganu telah memutuskan untuk menarik diri bagi tiga calon mereka yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut ditandingi oleh PAS.

Setiausaha PKR Terengganu, Azan Ismail membuat pengumuman tersebut pada Isnin dan beliau menggesa semua penyokong PKR untuk mengundi calon PAS di kerusi DUN Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi.

PKR bagaimanapun belum membuat pendirian mereka bagi pertindihan kerusi di Parlimen Labuan dan DUN Sungai Acheh, Kota Damansara dan Panti.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, PAS membatalkan sidang media untuk mengumumkan mengenai pendirian mereka berhubung pertindihan kerusi berkenaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu dalam ‘tempoh beberapa hari’ lagi dan pengumuman mengenainya akan dibuat kemudian.

Beliau berkata, pertindihan kerusi yang berlaku merupakan kes terpencil dan ia tidak akan menjejaskan kerjasama PAS dengan parti komponen dalam Pakatan Rakyat.


Calon PKR Sg Acheh Yakin Tidak Akan Diminta Tarik Diri

NIBONG TEBAL: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shahrin yakin beliau tidak akan diminta menarik diri untuk memberi laluan kepada calon PAS, Ysni Mat Piah, 38, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.

Badrul Hisham yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard, 35, berkata, beliau ada mendengar mengenai perbincangan yang sedang dijalankan oleh ibu pejabat PKR berhubung saingan tiga penjuru di Sungai Acheh.

"Bagaimanapun, saya akan menerima keputusan parti. Saya hanyalah ahli PKR dan saya bertanding di Sungai Acheh atas arahan parti," katanya kepada pemberita di pejabat PKR di Taman Keramat, Nibong Tebal pada Isnin.

Beliau berkata, semua calon PKR telah menerima watikah pelantikan calon pada petang sebelum hari penamaan calon pada 19, April, dan tarikh kuat kuasa bermula 20 April.

Tiada ulasan: