Sabtu, 13 April 2013

Nizar kalah saman TV3 RM50 juta

Wadusss!!...kenapa bisa kalah yahh!!!...
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini gagal dalam kes saman fitnah RM50 juta di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), berhubung isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ini berikutan keputusan Hakim Datin Yeoh Wee Siam yang menolak tuntutan itu dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.

"Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak defendan bahawa Tweet pihak plaintif (Mohammad Nizar) jika dibaca dan difahami oleh sesiapa pun yang berfikiran waras, jelas menyindir Sultan Johor telah menggunakan dana awam untuk bidaan plat WWW 1," kata beliau.

Menurutnya, laporan pihak defendan bahawa Mohammad Nizar bermaksud menuduh Sultan Johor menggunakan dana awam, merupakan komen atau pendapat oleh pihak defendan, bukannya fakta, begitu juga dengan ungkapan bahawa kenyataan plaintif itu telah menyebabkan orang awam berasa tersinggung.

Demikian antara inti pati penghakiman bertulis setebal 30 muka surat Hakim Wee Siam yang diserahkan kepada pihak plaintif dan defendan tanpa dibacakan di mahkamah terbuka.

Semasa prosiding, hakim tersebut hanya menyatakan:

"Tuntutan pihak plaintif dalam writ saman dan pernyataan tuntutan ditolak dan kos ditanggung oleh masing-masing," katanya.

Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, beliau menerima keputusan itu dan pihaknya akan mengkaji alasan penghakiman tersebut sebelum menentukan sama ada akan memfailkan rayuan atau sebaliknya.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 10 Julai tahun lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Perak itu menyatakan, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Mei 2012.

Dakwanya, TV3 kemudian telah menyiarkan laporan berunsur fitnah berhubung Tweet beliau itu dalam siaran berita Buletin Utama pada pukul 8 malam, 30 Mei 2012.

Selain TV3, Mohammad Nizar turut memfailkan saman fitnah secara berasingan terhadap Utusan Melayu (M) Bhd., bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung isu yang sama.

Kes terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. telah selesai dibicarakan selama dua hari sehingga semalam di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub yang kemudiannya menetapkan 7 Jun ini untuk penggulungan hujah.

Dalam penghakimannya, Hakim Wee Siam berkata, dengan merujuk kepada rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), adalah jelas plaintif tidak merujuk kepada wang Sultan Johor sendiri kerana tidak logik dan tidak wajar untuk plaintif mencadangkan wang baginda digunakan untuk membina rumah PPRT.

Kata beliau, memang benar seperti hujah peguam defendan bahawa Tweet itu ditujukan oleh Tengku Mahkota Johor kepada akhbar Kosmo! sebaliknya berpendapat, Tweet itu memang ditujukan kepada plaintif apatah lagi baginda mengakhiri Tweet tersebut dengan kata-kata 'Jadi sebelum anda buka mulut anda, sila selidik'.

Katanya lagi, permohonan maaf Mohammad Nizar yang dibuat dalam kenyataan akhbar juga menunjukkan plaintif langsung tidak membuat sebarang cubaan untuk menyangkal pelbagai laporan akhbar sebelum itu yang melaporkan beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membuat bidaan tersebut.

Berhubung pembelaan defendan terhadap ulasan saksama, hakim itu berpendapat, pihak defendan berjaya memenuhi keempat-empat inti pati iaitu perkataan yang diadukan itu adalah komen dan bukan fakta, terdapat asas untuk komen tersebut, komen-komen berkenaan demi kepentingan awam dan dibuat secara jujur dan tanpa niat jahat.

"Secara keseluruhannya mahkamah mendapati bahawa laporan berita Buletin Utama sebagai komen-komen yang dibuat oleh pihak defendan," katanya.

Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni dan Mohd. Zamri Ibrahim, manakala Liew Teck Huat, Lim Qi Si dan Wee Jason mewakili pihak defendan.

Tiada ulasan: