Sabtu, 13 April 2013

Mustafa enggan ulas isu video seks

DUNGUN – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali (gambar) enggan mengulas mengenai isu penyebaran video seks membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip seorang pemimpin pembangkang dari Pantai Timur yang tersebar luas di beberapa laman sosial internet sejak kelmarin.

Katanya, beliau menyerahkan kepada peguamnya berhubung perkara itu.

“Sudah... sudah, saya dah bagi tahu tak nak cakap apa-apa. Saya dah serah kepada peguam, itu saja.

“Not worth commenting (Tidak berbaloi kalau saya bagi komen),” katanya lalu masuk ke dalam kenderaan sebelum beredar.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Markas Pemuda Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka di sini malam tadi.


Terdahulu semasa ucapannya, Mustafa turut menafikan beliau akan meletak jawatan dalam parti Pas.

“Ada pula antara blog-blog yang kata saya letak jawatan sebagai Setiausaha Agung (Pas) kerana isu video ini.

“Saya hidup lagi ni, (masih) Setiausaha Agung Pas lagi,” ujarnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, Pas tidak akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu penyebaran video seks membabitkan seorang lelaki mirip pemimpin parti pembangkang kerana menganggap ia sebagai fitnah.

Abdul Hadi berkata, beliau tidak mengambil serius dan tidak percaya dengan isu tersebut kerana yakin ia sengaja dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan pemimpin terbabit.

“Pas tak perlu bermesyuarat untuk bincang isu ini. Lebih baik kita guna masa untuk buat banyak lagi benda lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila dekat sini semalam.

Beliau mengulas penyiaran gambar serta video seks yang dipercayai membabitkan lelaki mirip seorang pemimpin pembangkang dari Pantai Timur yang dipaparkan di beberapa laman blog sejak kelmarin.

Dalam pada itu, Mustafa digosipkan tidak mahu bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selepas tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat pada PRU 2004 dan 2008.

Mustafa turut tewas bagi perebutan kerusi Parlimen Dungun pada tahun 2004.

Sementara itu, kombinasi muka lama dan baharu dikhabarkan bakal mewakili Pas Terengganu pada PRU-13 untuk terus meraih sokongan pengundi di negeri tersebut.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran