Sabtu, 20 April 2013

PRU-13: Kejutan Kamilia tanding Bebas di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR - Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau yang pada mulanya disangka tiba untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), dilihat memasuki pusat penamaan calon Parlimen Kuala Kangsar di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kamilia akan menentang calon (BN), Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr. Khalil Idham Lim daripada Pas.


Kamilia dipecat secara automatik kerana jadi calon Bebas

PAGOH - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata, tindakan Kamilia menyebabkan beliau secara automatik dipecat daripada UMNO.

"Tindakan beliau (Kamilia) jelas bertentangan dengan perlembagaan dan peraturan UMNO, serta tidak selari dengan semangat perjuangan parti.

"Kita dah nyatakan sebelum ini, secara automatik beliau dipecat daripada parti,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon yang akan bertanding di Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin berkata tindakan pemecatan itu menunjukkan ketegasan parti untuk menangani anggota yang belot terhadap parti.

"Bagi saya, keputusan beliau (Kamilia) adalah sesuatu yang mendukacitakan,” katanya.

Kamilia akan menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr. Khalil Idham Lim daripada Pas. - Bernama


PRU-13: Tindakan Kamilia satu pengkhianatan kepada parti - Rafidah

KUALA KANGSAR - Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz kecewa dengan tindakan Naib Ketua pergerakan tersebut, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar yang disifatkannya satu pengkhianatan kepada parti.

Rafidah yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar selama lebih 30 tahun berkata, tindakan Kamilia itu amat mengecewakan ahli Wanita UMNO khususnya di Kuala Kangsar.

"Ini sangat mendukacitakan, beliau tidak setia dan tidak patuh kepada keputusan parti. Beliau tahu apa tindakan parti selepas ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyertai rombongan penyokong BN di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah di sini hari ini.


PRU-13: Tindakan Kamilia tidak jejas peluang BN di Parlimen Kuala Kangsar

LUMUT  - Tindakan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar tidak akan menggugat peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi tersebut, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

"Saya kecewa beliau (Kamilia) buat keputusan tersebut selepas tidak dapat menerima keputusan parti yang menawarkan DUN Bukit Chandan. Sedangkan Datuk M. Kayveas sendiri sanggup galas amanah bertanding di DUN Pasir Bedarmar biarpun Presiden PPP," katanya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran