Ahad, 21 April 2013

PRU-13 paling sengit

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 579 kertas penamaan calon bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,324 kertas penamaan bagi 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sepanjang tempoh penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi semalam.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, semua kerusi bagi Parlimen dan DUN menyaksikan pertandingan antara parti-parti yang mengambil bahagian dalam PRU-13.

"Tiada calon menang tanpa bertanding dan tiada calon menarik diri hingga tempoh akhir penamaan, pukul 10 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Untuk rekod, pada PRU-12, sebanyak 10 kerusi Parlimen dan DUN diisytiharkan menang tanpa bertanding iaitu di kawasan Pensiangan, Pengerang, Kalabakan, Tanjong Manis, Igan, Kanowit, Selangau, Kapit, Sementa dan Bugaya.

Kata Kamaruddin, sebanyak tiga kertas pencalonan bagi kerusi DUN ditolak oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerana calon yang datang mengemukakan kertas pencalonan mereka didapati tidak mempunyai kelayakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Proses penamaan calon di seluruh negara berjalan lancar tanpa sebarang insiden biarpun dipenuhi penyokong calon yang bertanding dengan membawa bendera parti masing-masing.

Pilihan raya kali ini dilihat paling sengit memandangkan terdapat kawasan yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru seperti di Kunak, Sabah.

Terdapat parti pakatan pembangkang meletakkan calon di kawasan sama seperti di kerusi Parlimen Labuan dan DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang, menyaksikan parti Pas dan PKR bertanding sesama sendiri.

Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 4 April lalu untuk membolehkan PRU-13 diadakan, disusuli dengan pembubaran DUN di setiap negeri kecuali Sarawak.

Ini bagi membolehkan PRU-13 diadakan serentak di seluruh negara. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon semalam, manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 15 hari dengan 5 Mei ini diisytiharkan tarikh mengundi.

Tiada ulasan: