Selasa, 23 April 2013

Pakatan usir Muslim Rohingya

BANGKOK: Kerajaan Myanmar bersama sami Buddha melakukan penghapusan etnik Rohingya selepas 125,000 penduduk Islam terpaksa lari dari rumah di negeri Rakhine dan kubur mangsa bunuh beramai-ramai ditemui.

Dakwaan itu dibuat pertubuhan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) di sini semalam.
Penduduk Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar berhadapan dengan jenayah kemanusiaan termasuk pembunuhan, penindasan, pengusiran dan dipaksa berpindah, lapor HRW yang berpejabat di New York.

Pertubuhan itu menuduh pihak berkuasa Myanmar, pemimpin komuniti dan sami menganjur dan menggalakkan rusuhan dengan sokongan pasukan keselamatan negeri menyerang perkampungan Rohingya di Rakhine, Oktober lalu.
Kerajaan Myanmar melakukan penghapusan etnik terhadap penduduk Rohingya sehingga hari ini dengan menafikan bantuan dan menyekat kebebasan bergerak, kata Timbalan Pengarah HRW di Asia, Phil Robertson.

Penghapusan etnik secara asasnya ditakrif sebagai dasar satu etnik atau kumpulan agama untuk menghapuskan kumpulan lain dari kawasan tertentu secara ganas.

Di Rakhine, lebih 125,000 penduduk Rohingya yang dipaksa meninggalkan kediaman mereka, tidak diberi bantuan kemanusiaan dan tidak dapat pulang ke rumah mereka.

Selain itu, 180 orang mati dalam dua keganasan etnik di Rakhine sejak Jun 2012, kata angka rasmi tetapi HRW percaya angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Dalam laporan berdasarkan 100 temu bual, HRW mendapat bukti empat kawasan kubur besar di Rakhine dan menuduh pasukan keselamatan memusnahkan bukti pembunuhan. - AGENSI

Myanmar dituduh lakukan pembersihan etnik Rohingya

BANGKOK - Myanmar telah melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas etnik Rohingya beragama Islam, lapor Human Rights Watch (HRW) yang mengaitkan wujudnya perkuburan besar-besaran dan pengusiran melibatkan puluhan ribu etnik tersebut.

Etnik Rohingya yang dinafikan kerakyatan mereka itu berdepan dengan jenayah kemanusiaan seperti pembunuhan, penganiayaan dan pengusiran, jelas HRW yang berpangkalan di New York.

Para pegawai pemerintah Myanmar, pemimpin komuniti dan sami Buddha telah menganjur serta menggalakkan samseng-samseng yang dilindungi oleh pihak berkuasa negeri untuk melakukan serangan terancang ke atas perkampungan Islam di negeri Rakhine Oktober tahun lalu.

"Pemerintah Myanmar terlibat dalam kempen pembersihan etnik Rohingya yang berterusan hingga ke hari ini dengan menyekat bantuan dan pergerakan mereka," kata Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson.

Jurucakap Presiden Myanmar, Ye Htut bagaimanapun menegaskan pemerintah tidak akan memberi perhatian terhadap laporan yang bersifat sebelah pihak itu.

Pemerintah Myanmar sebaliknya menunggu laporan kajian suruhanjaya rasmi yang ditubuhkannya untuk menyiasat keganasan tersebut. Namun, pendedahan laporan itu sudah ditangguh beberapa kali.

Di Rakhine, lebih 125,000 orang etnik Rohingya dan penganut Islam lain telah diusir. Mereka juga disekat daripada menerima bantuan kemanusiaan dan dilarang pulang ke rumah masing-masing. - AFP

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran