PAS kini mula mengikut trend "bahaya" di mana fokus diberikan kepada
menghukum mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Islamik, kata
Mohamad Sabu, salah seorang pemimpin "progresif" dalam parti itu yang
digulingkan.
Bekas timbalan presiden parti popular itu dikenali sebagai Mat Sabu,
yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini berkata, kecenderungan itu
dalam amalan Islam hari ini bermula di Timur Tengah, dan PAS menyertai
gerakan "takfiri" itu (umat Islam menuduh saudara Islam lain murtad)
ketika berdepan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan mereka.
"Kamu tidak bersetuju dengan kami, maka kamu tidak bersama kami. Kamu kafir, liberal, munafik.
"Ini berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Somalia, Algeria dan Pakistan. Ia
sangat bahaya dan pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah,
membawanya pulang bersama mereka," katanya ketika ditemu bual The
Malaysian Insider.
Mat Sabu turut memberi gambaran kesan lebih besar kepada Malaysia jika cara pemikiran seumpama itu berterusan.
"Apa yang sedang berlaku berbahaya kepada parti dan pada masa depan, ia juga akan membahayakan negara.
"Persaingan di Timur Tengah mungkin akan ambil masa lebih panjang
daripada 20 atau 30 tahun untuk berakhir. Di Malaysia, ia belum bermula
lagi, tetapi benihnya sudah mula ditanam dan kuntumnya tidak lama lagi
akan berbunga," katanya.
Kesannya ialah beberapa pemimpin dan ahli PAS jadi lebih fokus terhadap
sama ada seseorang itu berada di pihak mereka atau tidak, bukannya
bergantung pada rekod kecemerlangan seseorang dalam berkhidmat kepada
parti, katanya.
Merujuk kisahnya sendiri, Mat Sabu berkata, tidak kisahlah jika beliau
pernah dipenjarakan dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan
keluar masuk balai polis mempertahankan perjuangan PAS dan isu berkaitan
rakyat Malaysia.
"Apa yang mereka bincang hanyalah sama ada Abang Mat berada di pihak
mereka atau tidak. Mereka tidak peduli selama ini kamu berpenat lelah
untuk parti dan hanya balik rumah beberapa hari saja dalam sebulan.
"Mereka lihat Hanipa dan label dia liberal dan kata dia mesti ditolak.
Tidak peduli berapa hebat dia berbahas di Dewan Rakyat atau mahkamah,
mempertahankan rakyat. Kerjanya tidak ada nilai kerana dia dilabel
liberal," katanya merujuk kepada peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang
turut gagal mempertahankan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat.
"Inilah aliran pemikiran dunia Islam hari ini... dan PAS pun sedang berdepan penyakit ini," kata Mat Sabu.
Beliau dan Hanipa adalah antara bekas pemimpin parti yang dikatakan
progresif kerana pendirian mereka yang lebih terbuka terhadap bukan
Islam dan mereka percaya perjanjian persefahaman di bawah Pakatan Rakyat
(PR) yang kini tidak berfungsi lagi, sepatutnya dihormati.
Mereka juga bersifat kritis terhadap kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang berikutan beliau sering mengingkari keputusan sebulat
suara yang dibuat kepimpinan PR berhubung beberapa isu.
Mat Sabu, ahli PAS selama 37 tahun dan pernah menjadi ahli Parlimen
selama tiga penggal di bawah tiket parti itu berkata, patah hatinya melihat
PAS berubah hala tuju, walaupun beliau tidak berkata akan keluar parti.
"Sudah tentu saya kecewa. Ini parti saya, darah daging saya... terlalu
banyak yang diusahakan untuk parti. Bukan mudah untuk meninggalkan
parti, walaupun ini satu keadaan yang ganjil," katanya.
Pengakhiran PR bermula dengan usul yang diterima dalam muktamar tahunan
PAS awal bulan ini, yang hasilnya memutuskan hubungan dengan DAP, pihak
yang bertelingkah dengan Hadi dan beberapa pemimpin konservatif lain.
Kini ada kemungkinan pemimpin progresif PAS yang digulingkan membentuk
parti mereka sendiri, tetapi Mat Sabu berkata masih terlalu awal untuk
bercakap lebih banyak mengenai idea itu.
"Kita perlu berbincang lagi sama ada kita akan perlukan parti baharu
atau kita boleh cari cara untuk memulihkan ahli PAS... baik pulih
semuanya.
"Walau apa pun, parti itu perlu berasaskan Islam kerana hanya dengan
itu kita boleh menarik umat Islam untuk menyokongnya," katanya, sambil
menambah, parti dengan asas Islam tidak akan ditolak bukan Islam.
Ini kerana PAS berjaya menawan sokongan bukan Islam dengan slogan “PAS
untuk semua” yang digunakan pada pilihan raya umum 2013. Konsep negara
berkebajikan juga menerima sokongan daripada bukan Islam, kata Mohamad.
"PAS diterima masyarakat Cina. Kita pernah nampak orang Cina pakai kemeja T dengan logo PAS pada masa itu.
"Islam bukan masalah. Masalahnya ialah cara pemikiran pemimpin (PAS)," katanya.
Jika satu parti baharu dibentuk barisan pemimpin sepertinya yang
tersingkir daripada kepimpinan PAS, Mat Sabu berkata ia akan meneruskan
cita-cita yang kini diabaikan parti Islam itu.
Cita-cita itu ialah untuk memperjuangkan nilai seperti keharmonian
pelbagai bangsa, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang bersih.
"Lihat ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mereka yang bercakap mengenai
rasuah, tadbir urus kerajaan yang baik dan nilai adalah orang seperti
(Ahli Parlimen Parit Buntar) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, (Ahli Parlimen
Shah Alam) Khalid Samad, (Ahli Parlimen Sepang) Hanipa dan beberapa
lagi yang seperti mereka," katanya.
Semua nama disebutkan itu turut kalah dalam pemilihan parti.
"Tadbir urus kerajaan yang baik, memerangi rasuah, menepati masa,
memastikan bandar kita bersih, semua itu Islamik. Tetapi mereka yang
kononnya ulama kelihatan lemah dalam mengendalikan perkara seumpama itu.
"Nilai dan amalan itu bukan keutamaan pemimpin PAS sekarang. Semua itu
menggambarkan cara pemikiran mereka," katanya. – 20 Jun, 2015.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan