Jumaat, 26 Jun 2015

Tumbukan silat Melayu tumpaskan Bruce Lee

Ramai generasi muda sekarang seakan lupa sebenarnya seni Silat Melayu lebih dihormati dan mempunyai kuasa yang lebih hebat berbanding seni kung fu. Penulis sendiri telah bertemu dengan salah seorang mahaguru silat gayung untuk mendengar sendiri kisah pertarungan antara Bruce Lee dengan Dato Meor Rahman.

Semuanya bermula pada 1970, bila Dato Meor mengadakan persembahan silat selama dua minggu di Osaka Jepun. Semasa di Osaka inilah Seni Silat Gayong dan Dato Meor Rahman mendapat liputan media yang sewajarnya dan mula dikenali ramai. Bermulalah cabar mencabar bertitik tolak daripada Osaka Jepun.

Pada tahun 1972, anak murid Bruce Lee datang untuk cabar Dato Meor di Taiping. Selepas itu Bruce Lee bertemu sendiri dengan Dato Meor di Hong Kong pada tahun 1973.

brucelee

Bruce Lee yang terkenal menerusi filemnya The Way Of Dragon telah menumpaskan Chuck Norris dalam filem tersebut. Ketangkasan kung fu Bruce Lee dengan gaya Wing Chun sekarang ini sudah boleh dilihat menerusi gaya kung fu dalam filem IP Man.

Ketika zaman gemilang beliau, Bruce Lee giat mencabar mana mana guru seni mempertahankan diri untuk menguji kehandalan beliau. Antara yang dicabar adalah mahaguru silat gayong Malaysia, Dato Meor Abd. Rahman.

Pada tahun 1973, Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato’ Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya.

Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do (JKD). Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Seni Silat Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato’ Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu.

Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, tetapi jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia.

Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato’ Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato’ Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut.

Sebaik sahaja melihat Dato’ Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato’ Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan (Kipas Senandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee.

Pukulan tangan Dato’ Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato’ Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut.

Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato’ Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya.

Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee.

Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato’ Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato’ Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato’ Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut.

Kemudian, Dato’ Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim. Kesemua enam pengikut Bruce Lee itu tumpas di tangan Cikgu Ahmad Lazim.

Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato’ Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga.

601705_431021166930352_1997534389_n DMAR VS BLEE


Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato’ Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu.

Pada tahun 1973, Bruce Lee meninggal dunia pada 20 Julai 1973. Menurut Dr Langford yang merawat Bruce Lee, beliau berkata tiada siapa yang membunuh Bruce Lee, Bruce Lee yang membunuh dirinya sendiri dengan mengambil dadah secara berlebihan.

bruce lee 1a 
Gambar (Bruce Lee & Dan Inosanto dalam Filem ”Game Of The Death”)

Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)

Cerita pertarungan itu telah tersebar secara meluas dikalangan pengamal bela diri antarabangsa, tetapi menjadi sudah sekian lama rahsia itu tersimpan rapi disebabkan faktor yang tertentu.

Rentetan dari kisah yang tersebar itu wartawan majalah Black Belt telah mengeluarkan lagi sekali artikel berkenaan Silat Seni Gayong dan Dato Meor Rahman pada tahun 1974. Di kalangan masyarakat awam pula, terdengar juga desas desus pertarungan Bruce Lee ini sebenarnya adalah dengan Dicky Zulkarnain seorang aktor Indonesia yang terkenal dalam cerita persilatan Si Pitung yang dihasilkan pada tahun 1970.

Namun begitu Dicky Zulkarnain sendiri pernah menafikannya pada tahun 1987 di Kejuaraan Silat Sedunia di Kuala Lumpur dan mendakwa orang yang menewaskan Bruce Lee ialah seorang mahaguru yang berada di sini (di dalam stadium tersebut).

Terdapat juga kisah lain dimana Bruce Lee pernah ditewaskan oleh pakar shaolin, kung fu dan mereka yang tidak berpuas hati dengan beliau. Walaubagaimanapun, apa sahaja cerita sebenar yang berlaku hanya diketahui oleh rakan rakan Bruce Lee yang berada bersamanya ketika kejadian tersebut.

Diakui sendiri oleh salah seorang mahaguru seni silat gayung masih ada bahawa tumbukan Kipas Senandung itu memang amat berbisa dan punyai kekuatannya sendiri. Pesilat yang menjaga agama, akhlak dan belajar ilmu dengan tujuan yang benar memang akan mewarisi seni silat yang hebat dan luar biasa. Semua itu adalah anugerah daripada Allah SWT yang hanya diberikan sedikit kepada hambanya yang berjuang ikhlas untuk menjaga agama dan bangsa.

Difahamkan, anak murid Dato Meor yang mewarisi tumbukan Kipas Senandung (yang tumpaskan Bruce Lee) ini masih ada namun berada dalam keadaan pasif dan tidak menonjol di kalangan masyarakat. Ilmu yang ada hanya digunakan untuk tujuan tertentu ketika waktu terdesak sahaja bagi menjaga agama, bangsa dan tanahair.

Oleh itu, generasi muda Melayu sekarang perlulah aktif mempelajari ilmu persilatan ini bagi menjaga maruah bangsa dan agama. Usah terlalu agung wira wira dalam filem luar, seni silat Melayu juga sudah terbukti lebih hebat dan handal. Tuntutlah ilmu.

Tiada ulasan: