Pada hari ini
International Earth Rotation and Reference Systems (IERS) yang
berpangkalan di Paris dan berfungsi sebagai badan pemantau putaran bumi
akan menyeragamkan waktu piawaian dunia (UTC) mengikut kadar putaran
bumi yang sebenar. - Foto The Solstice Blog
Hari ini waktu harian di seluruh dunia akan bertambah satu saat berikutan fenomena dikenali sebagai "Saat Lompat" atau "Leap Second".
Menurut Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, ini bermaksud waktu keseluruhan pada hari ini akan menjadi 24 jam satu saat.
Beliau menarik perhatian bonus satu saat ini adalah berikutan faktor kadar putaran bumi di atas paksinya yang semakin perlahan.
Kadar putaran bumi antara lain, beliau menjelaskan, dipengaruhi faktor pergerakan kutub, geseran pasang surut air laut, interaksi pusat bumi dengan lapisan tengah bumi dan cuaca.
"Faktor-faktor ini boleh menyebabkan putaran bumi sama ada semakin perlahan atau cepat, jadi fenomena Saat Lompat ini juga bukan sesuatu yang tetap, ia bergantung kepada putaran bumi," katanya seperti yang dilaporkan agensi berita Bernama, di ibu negara pada Isnin.
Mohd Zamri berkata bonus satu saat itu akan diperoleh di penghujung hari ini.
Dalam hal ini, beliau berkata, International Earth Rotation and Reference Systems (IERS) yang berpangkalan di Paris dan berfungsi sebagai badan pemantau putaran bumi akan menyeragamkan waktu piawaian dunia (UTC) mengikut kadar putaran bumi yang sebenar.
"Walaupun bertambah cuma satu saat dan ramai yang terlepas pandang, namun pertambahan waktu ini memberi kesan kepada industri yang berorientasikan pemasaan kepersisan (berketepatan) tinggi," katanya.
Setakat ini, menurut Zamri, UTC telah
ditambah satu saat sebanyak 25 kali sejak tahun 1972 dengan kali
terakhir pada Ahad, 1 Julai 2012.
Sementara itu, Pengetua Kanan Metrologi,
Makmal Metrologi Kebangsaan, SIRIM Berhad, Dr Mohd Nasir Zainal Abidin,
ketika ditanya sama ada masa pada peranti elektronik seperti di telefon
bimbit perlu diselaraskan secara manual berkata, semua alat elektronik
akan disegerakan secara automatik ke masa rangkaian pelayan protokol.
Begitu juga dengan komputer saling
berkaitan atau rangkaian, katanya sambil menambah bahawa isu kemasukan
Saat Lompat hanya kritikal pada pelayan (server).
Ditanya mengenai kemungkinan pelayan
komputer gagal berfungsi dengan baik pada Selasa, beliau
menceritakan apa yang berlaku pada fenomena yang sama pada 1 Julai 2012
yang jatuh pada hujung minggu.
"Walaupun begitu, 10 peratus masa protokol rangkaian pelayan di seluruh dunia melakukan kesilapan.
"Kebanyakan pelayan dapat ditetapkan
dalam masa sejam tetapi beberapa pihak lain mengambil masa sehari,"
katanya, sambil menambah di Australia, sistem daftar masuk penerbangan
ekoran saat tambahan telah menjejaskan laman web popular.
Oleh itu, bagi hari kerja biasa hari
ini, beliau menasihatkan langkah berjaga-jaga diambil terutama dalam
perniagaan dalam talian, sistem rangkaian, pembekal perkhidmatan internet, perkhidmatan notari masa digital dan aplikasi seperti MySQL, Hadoop dan Cassandra.
"Beberapa pembekal perkhidmatan sedang
mengambil langkah untuk menggantung atau menghentikan operasi untuk
beberapa jam sebelum dan selepas perubahan masa.
"Adalah sukar untuk menyatakan dengan tepat kerana ini tidak banyak dilaporkan.
"Bagaimanapun masalah ini tidak boleh
diabaikan kerana jumlah besar transaksi perniagaan boleh berlaku dalam
masa sesaat. Tambahan pula, transaksi tidak terhad kepada zon masa
tunggal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan