Jumaat, 6 November 2015

Anjing tak makan daging manusia - Pengarah Veterinar



IPOH: Anjing tidak makan daging manusia, kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Norlizan Mohd Noor. 

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa anjing peliharaan suspek dalam kes pembunuhan kejam di Tapah diberi makan daging mangsa, yang hangat diperkatakan kini, tidak mungkin berlaku. 

"Anjing adalah binatang yang pintar, ia tidak makan daging manusia, bagaimanapun ia ada kemungkinan dilatih menggigit manusia bagi tujuan menjaga keselamatan di sesuatu kawasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
Dr Norlizan berkata, anjing peliharaan empat sekeluarga dalam kes bunuh sekurang-kurangnya empat mangsa di kawasan bengkel kenderaan berat di Jalan Pahang, Tapah dilatih sebagai pengawal atau penjaga di lokasi berkenaan.

Beliau mengulas laporan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa anjing peliharaan suspek dalam kes bunuh Tapah diberi makan daging mangsa.

Bagaimanapun, Dr Norlizan berkata beliau tidak pasti sama ada polis menyiasat anjing diberi makan daging mangsa dalam kes berkenaan sebegitu secara mendalam. 

Beliau berkata, dalam kes itu, polis ada menghubungi pihaknya bagi membantu menidurkan anjing terbabit kerana haiwan berkenaan mengawal sekitar kawasan premis (bengkel) milik suspek. 

"Ketika kami tiba di lokasi kejadian, pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar cuma perlu menembak ubat penenang ke arah beberapa ekor anjing sebelum meninggalkan tempat berkenaan," katanya, sambil menambah pegawai berkenaan tidak mahu mengganggu siasatan kes bunuh itu. 

Dr Norlizan berkata kebajikan anjing terbabit perlu dijaga sekiranya suspek didapati salah dalam kes itu kelak. 

"Kesemua haiwan berkenaan kini di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Tapah dan ia perlu diletak di bawah seliaan polis di tempat lain jika mereka ingin melakukan siasatan lanjut yang membabitkan anjing milik suspek," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: