PAS Kelantan berasa kurang senang apabila Presiden PKR,
Datuk Seri Dr. Azizah Wan Ismail berkunjung ke negeri itu
bagi melancarkan Pakatan Harapan (PH) Kelantan.
Bagi ADUN Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi, kehadiran Azizah seolah-olah tidak menghormati kerjasama antara PAS dan PKR.
"Jangan sampai ahli PAS di peringkat bawah menuntut PKR buat pilihan di
Kelantan, sama ada nak bekerjasama dengan Amanah atau meneruskan
kerjasama dengan PAS," katanya.
Malah, tindakan Azizah melancarkan PH di negeri itu bertentangan dengan
usaha parti berkenaan yang bertindak menghantar Naib Presidennya, Dr
Shaharuddin Badaruddin dua minggu lalu bagi menyatakan ikrar PKR untuk
terus berhubungan baik dengan PAS Kelantan.
"Kunjungan (Dr Shaharuddin) mahu menyatakan bahawa PKR ini walau apapun
yang berlaku dalam negara, PKR akan tetap terus mengharmonikan hubungan
dengan PAS.
"Kita memang menyambut baik dan dalam kita berurusan dengan PKR, kita
tak pernah khianat walau di Kelantan ini kita ada majoriti yang besar,"
ujar Che Abdullah.
Che Abdullah berkata merujuk kepada kain rentang yang dipasang di
merata-rata tempat di negeri itu, Azizah dijadualkan melancarkan PH
Kelantan bersama pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu,
Salahuddin Ayub dan Dr Aziz Bari mewakili DAP.
Majlis pelancaran di Pasir Mas, malam ini adalah penutup kepada siri jelajah PH ke seluruh negara sebelum ini.
Ujar Che Abdullah, PAS Kelantan kecewa dengan perkembangan berkenaa
berikutan parti Islam itu tidak pernah sekali-kali mengkhianati PKR.
"Kita tak khianat walau pun di peringkat akar umbi (PAS) di setiap
pilihan raya meminta supaya ambil beberapa Parlimen yang bagi mereka
kuat dan boleh dimenangi parti, tapi kita menghormati persefahaman yang
ada, kita bahagi mengikut status quo dan meletak tepi dahulu desakan
akar umbi itu," kata beliau.
"Sehingga hari ini hubungan kami antara Pimpinan PAS dan PKR Kelantan cukup Baik", tambah beliau.
"Kalau nak kalahkan Umno, maknanya kena memperkuatkan kerajaan
Kelantan, jadi kalau bersama program dengan Amanah itu kita bimbang
desakan ahli bawahan," katanya lagi.
Bagaimanapun jika PKR tidak terlibat di dalam program tersebut, parti itu diminta tampil menafikan penglibatannya.
PAS kini hanya menjalinkan kerjasama bersama PKR setelah Pakatan Rakyat 'berkubur' ekoran krisis berpanjangan bersama DAP.
Dalam masa yang sama, PKR menjalinkan kerjasama bersama DAP dan parti
serpihan PAS iaitu Amanah menerusi blok pembangkang baru, PH.
Selain tidak dijemput untuk menyertai PH, PAS juga berikrar tidak akan
menyertai gagasan itu kerana enggan bekerjasama dengan Amanah yang
disifatkan sebagai 'pengkhianat'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan