Sabtu, 7 November 2015

Dakwaan Husam ada kebenarannya – Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat, dakwaan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengenai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor “ada kebenarannya”.

Menurut Khalid, apa yang dikatakan Husam bahawa Abdul Hadi mengaku membuat tawaran kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR untuk menyertai PAS, bagi mencukupkan bilangan untuk menubuhkan kerajaan negeri, sememangnya berlaku.

“Apabila ditanya nak tubuh kerajaan dengan siapa, Hadi diam tidak menjawab. PAS hanya ada 15 kerusi, campur Azmin dan tiga lagi Adun PKR tetap tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Di sini, semua memahami yang dimaksudkan adalah dengan Umno,” katanya.
Ujar Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu lagi, tawaran berkenaan dibuat, ketika Mohamed Azmin Ali berjumpa Abdul Hadi bagi mengucapkan terima kasih, selepas PAS menamakan beliau sebagai calon keduanya untuk jawatan Menteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
“Pada ketika itulah, Presiden PAS tawar kepada Azmin masuk PAS dan bawa dua tiga orang Adun PKR dan akan lantik beliau menjadi Menteri Besar.

“Apabila kami menegur perkara tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Hadi ada mengatakan mereka (PKR) boleh ambil dua Adun PAS sokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, takkan kita tidak boleh ambil orang mereka pula.

“Jadi, daripada situlah timbulnya tawaran Azmin dan tiga lagi Adun PKR masuk PAS, yang mana Azmin akan dilantik sebagai Menteri Besar dengan sokongan Umno,” katanya kepada The Rakyat Post, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Husam ketika memberi ceramah di Pasir Mas yang dipercayai merujuk kepada waktu Pakatan Rakyat (PR) berdepan krisis pertukaran Menteri Besar Selangor, daripada Abdul Khalid kepada Mohamed Azmin pada tahun lalu.

Tambah bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu lagi, perkara yang dibangkitkan Husam itu juga bukanlah sesuatu yang baru.

Jelasnya, beliau sendiri telah menjelaskan perkara sama dalam laman blognya, pada 21 September lalu.

Terdahulu, Mohamed Azmin telah menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan Husam berkaitan penubuhan kerajaan perpaduan itu timbul, ketika Selangor mengalami krisis Menteri Besar tahun lalu.

“Kena tanya Datuk Husam lah, saya tidak tahu. Saya tidak didedahkan kepada maklumat itu. Jadi, kamu kena tanya Datuk Husam,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim mempersoalkan tujuan sebenar Husam menyerang PAS dan juga Kerajaan Negeri Kelantan yang hanya menguntungkan Umno.

Katanya, Husam adalah sebahagian daripada kerajaan dan masalah yang telah berlaku.

“Dia menyerang Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob yang cuma mewarisi pentadbiran sebelumnya dan beliau serta pasukannya pula yang kena berhempas pulas menyelesaikan masalah satu persatu.

“Masalah itu berlaku sejak Almarhum Tok Guru Nik Aziz jadi Menteri Besar dan orang yang paling diberi kepercayaan oleh Almarhum adalah Husam sendiri serta projek-projek yang bermasalah sekarang, ada ‘kelibat’ Husam di sebaliknya,” ujarnya.

Kata Ahmad Amzad lagi, Husam mula berubah sejak Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak menamakannya sebagai Menteri Besar Kelantan bagi menggantikan beliau dan tewas dalam pemilihan di muktamar PAS.

“Sejak itu Husam berubah dan dia tidak lagi mempertahankan kerajaan PAS, tapi bekerja kuat untuk hasut rakyat agar hilang keyakinan kepada PAS.

“Di Kelantan, jatuhnya PAS, yang naik bukan Amanah dan DAP, maka jika bukan PAS, yang naik adalah Umno dan kuat sungguh kerja Husam untuk beri faedah kepada Umno,” tegasnya.

Tiada ulasan: